Doa Tidur Lena Mengikut Ajaran Rasulullah (Hadis Sahih)

doa tidur lena
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Doa Tidur Lena Mengikut Ajaran Rasulullah

Tidur adalah merupakan keperluan bagi setiap manusia. Namun tidak dinafikan, terdapat segelintir individu yang mengalami kesukaran untuk tidur malam. 

Sekiranya anda salah satunya, anda boleh cuba amalkan doa tidur lena yang diajarkan oleh Rasulullah SAW seperti yang dikongsikan di bawah. 

BACA JUGA: Doa Nabi Yunus, Amalkan Ketika Sedang Kesusahan

Cara Atasi Masalah Sukar Tidur

1. Bangun dan tidur pada waktu yang sama setiap hari. Latih diri anda untuk tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari untuk menyelaraskan kitaran tidur semula jadi badan anda, atau irama sirkadian.

2. Kawal pendedahan kepada cahaya. Dedahkan diri kepada cahaya matahari pada siang hari dan elakkan menghadap skrin (gadget dll) sekitar 1 atau 2 jam sebelum waktu tidur.

3. Jaga pemakanan. Elakkan pengambilan kafein, nikotin, alkohol dan makanan berat sebelum waktu tidur. Kurangkan juga pengambila makanan bergula dan karbohidrat halus.

4. Amalkan teknik relaksasi. Cuba bertenang dan elakkan berfikir sesuatu yang dalam sebelum tidur. Malapkan cahaya bilik tidur, mandi air suam, dengar alunan muzik lembut yang mendamaikan, dan pakai pakaian yang selesa.

5. Rajin Bersenam. Lakukan senaman ringan setiap hari seperti berjalan kaki. Individu yang kerap bersenam akan tidur lena dan lebih nyenyak pada waktu malam, serta rasa kurang mengantuk pada siang hari.

Doa Tidur Lena

DOA TIDUR 1

Diriwayatkan oleh At-Tabraniy dan Ibn al-Sunni, dari Hajjaj bin Imran As-Sadusiy, dari Amru bin Al-Husain, dari Muhammad bin Abdillah dari Thaur bin Yazid dari Khalid bin Ma’dan dari Abdul Malik bin Marwan bahawa:

Bapanya pernah mengatakan bahawa Zaid bin Thabit pernah mengadu kepada Nabi saw tentang penyakit tidak boleh tidur malam yang menimpanya, lalu baginda saw mengajarnya sebuah doa. 

Doa tersebut ialah: 

اللَّهُمَّ غَارَتِ النُّجُومُ ، وَهَدَأَتِ الْعُيُونُ ، وَأَنْتَ حَيٌّ قَيُّومٌ
يَا حَيُّ ، يَا قَيُّومُ ، أَنِمْ عَيْنَيَّ وَأَهْدِئْ لَيْلِي

Maksudnya: Ya Allah, telah malap bintang-bintang, dan telah tenang mata-mata manusia, dan Engkau maha berkuasa, Wahai yang Maha Berkuasa, lelapkanlah mataku dan tenangkanlah malamku ini .

DOA TIDUR 2

Antara doa sunnah yang sangat baik diamalkan sebelum tidur ialah:

اللَّهُمَّ أسْلَمْتُ وجْهِي إلَيْكَ، وفَوَّضْتُ أمْرِي إلَيْكَ، وأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إلَيْكَ، رَغْبَةً ورَهْبَةً إلَيْكَ، لا مَلْجَأَ ولَا مَنْجَا مِنْكَ إلَّا إلَيْكَ، اللَّهُمَّ آمَنْتُ بكِتَابِكَ الذي أنْزَلْتَ، وبِنَبِيِّكَ الذي أرْسَلْتَ

“Ya Allah, aku pasrahkan diriku kepada-Mu, aku pasrahkan urusanku kepada-Mu, aku hadapkan wajahku kepada-Mu, aku bertumpu kepada-Mu kerana aku ingin dan takut kepada-Mu. Tiada tempat kembali dan tiada penyelamat selain dari-Mu, melainkan kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab yang Engkau turunkan dan Nabi-Mu yang telah Engkau utuskan”.

Doa Tidur Lena
Doa Tidur Lena
Doa Tidur Lena

Berdasarkan riwayat al-Bukhari, bacalah doa ini selepas kita:

  1. Berwuduk.
  2. Kemudian membaca al-Mu’awwidzat (surah al-Ikhlas, al-Falaq & al-Nas).
  3. Kemudian tiupkan pada kedua tangan lalu diusapkan pada seluruh badan.

Jadikanlah doa tersebut akhir perkataan kita yang diucapkan sebelum tidur.

Sabda Nabi SAW: “Sekiranya kamu mati (pada malam tersebut), maka kamu mati di atas fitrah (iaitu Islam dan sunnah sebaik-baik manusia)” (HR al-Bukhari, hadis sahih)

Sumber : Dr. Kamilin Jamilin, Ustazah Asma Harun

Amalan Sebelum Tidur

Terdapat banyak hadis-hadis yang sahih yang menyebut tentang amalan-amalan yang boleh dilakukan sebelum tidur. Antaranya ialah:

1. Mengambil Wuduk

Daripada Al-Bara’ Bin ‘Azib bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ وقُلْ: اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ، فَإِنْ مُتَّ مُتَّ عَلَى الْفِطْرَةِ فاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَقُولُ

Maksudnya:

“Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwuduklah sepertimana kamu berwuduk untuk solat. Kemudian berbaringlah dengan lambung kananmu dan sebutlah:

Ya Allah aku berserah diri pada-Mu. Aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dengan penuh rasa cinta dan takut. Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah Engkau utuskan

Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan.”

Riwayat Al-Bukhari (6311)

2. Membaca 3 Qul

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى اللهُ عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ، جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا: ﴿ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَد ﴾ وَ﴿ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَق ﴾ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاس  ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ، وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ، يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya:

“Sesungguhnya Nabi SAW jika Baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembuskan ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca : Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu Birabil Falaq dan Qul A’uzu birabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”

Riwayat Al-Bukhari (5017)

3. Membaca Dua Ayat Terakhir Daripada Surah Al-Baqarah

Daripada Abu Huraira R.A bahawa Nabi SAW bersabda :

مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya : “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.”

Riwayat Al-Bukhari (5009)

RUJUKAN: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/4437- 

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut