Doa Nabi Yunus, Amalkan Ketika Sedang Kesusahan

Doa Nabi Yunus, Amalkan Ketika Kesusahan

Doa Nabi Yunus atau juga dikenali sebagai Istighfar Nabi Yunus atau Zikir Nabi Yunus adalah merupakan zikir yang dibaca oleh Nabi Yunus A.S. ketika Baginda berada dalam perut ikan nun.

Asbab doa ini, Allah telah menyelamatkan Baginda dan dikeluarkan daripada perut ikan nun. Doa ini adalah doa yang terbaik kerana mengandungi elemen tauhid, tasbih dan istighfar.

Berikut dikongsikan lebih lanjut mengenainya.

BACA JUGA: Doa Bulan Rejab & Amalan Sunat Yang Digalakkan

Sumber: JAKIM

Doa Nabi Yunus

Doa ini telah dirakamkan dalam Al-Quran, Surah Al-Anbiya’ ayat 87;

لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. [al-Anbiya’:87]

Doa Nabi Yunus

Kisah Disebalik Doa Ini

Di dalam tafsir Ibn Kathir ada menceritakan kisah bagaimana Nabi Yunus AS ditelan oleh ikan paus.

Ia bermula apabila Nabi Yunus AS telah pergi dengan menaiki kapal laut kerana ‘membawa diri’ daripada kaumnya.

Hatinya dipenuhi dengan perasaan marah kepada kaumnya kerana mereka tidak beriman.

Kemudian baginda keluar dalam keadaan marah dan menetapkan untuk meninggalkan mereka.

Namun, malangnya kapal tersebut dipukul ombak besar lalu mereka merasa takut kapal itu akan karam.

Lalu, mereka mengundi salah seorang di antara mereka yang harus dibuang ke laut untuk meringankan bebanan kapal tersebut.

Maka undian pun terkena kepada Nabi Yunus AS. Akan tetapi, mereka enggan untuk membuangnya.

Lalu mereka pun mengulanginya dan undian tersebut terkena lagi kepada Nabi Yunus AS. Akan tetapi, mereka juga enggan untuk membuangnya.

Lalu mereka pun mengulanginya untuk kali yang ketiga dan undian tersebut terkena juga kepada Nabi Yunus AS.

Akhirnya, dicampaklah Nabi Yunus ke lautan.

Setelah dicampak ke lautan, Nabi Yunus a.s telah ditelan oleh seekor ikan paus yang besar.

Nabi Yunus a.s. sangat terkejut ketika mendapati dirinya dalam perut ikan.

Ikan itu membawanya ke dasar lautan dalam kegelapan dan akhirnya ikan tersebut tertidur.

Baginda terpenjara dalam tiga kegelapan. Tiga kegelapan yang dialami oleh Nabi Yunus a.s. iaitu:

  1. kegelapan di dalam perut ikan
  2. kegelapan di dasar lautan
  3. kegelapan malam

Nabi Yunus a.s. mulai menangis dan bertasbih kepada Allah SWT. Ikan-ikan yang lain dan tumbuh-tumbuhan dan semua makhluk yang hidup di dasar lautan mendengar tasbih Nabi Yunus.

Kemudian semua makhluk-makhluk itu berkumpul di sekitar ikan paus itu dan mereka pun ikut bertasbih kepada Allah SWT.

Setiap dari mereka bertasbih dengan caranya dan bahasanya sendiri.

Ikan yang memakan Nabi Yunus itu terbangun dan mendengar suara-suara tasbih begitu riuh dan gemuruh.

Dan ia mulai menyadari bahawa ia sedang menelan seseorang, iaitu Nabi Yunus.

Allah SWT melihat ketulusan taubat Nabi Yunus a.s, menurunkan perintah kepada ikan itu agar mengeluarkan Yunus a.s. ke permukaan laut dan membuangnya di suatu pulau yang ditentukan oleh Allah SWT.

Ikan itu pun mentaati perintah Ilahi.

Tubuh Nabi Yunus a.s. merasakan kepanasan di perut ikan.

Baginda sedang  sakit tenat, lalu matahari bersinar dan menyentuh badannya yang kepanasan itu. Kemudian Allah SWT menumbuhkan pohon Yaqthin (jenis labu), iaitu pohon yang daun-daunnya lebar yang dapat melindungi dari sinar matahari.

Dan Allah SWT menyembuhkannya dan mengampuninya.

Allah SWT memberitahunya bahawa kalau bukan kerana tasbih yang diucapkannya nescaya ia akan tetap tinggal di perut ikan sampai hari kiamat.

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang rasul. (Ingatlah) ketika ia lari ke kapal yang penuh muatan, kemudian ia ikut undi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian. Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya ia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah, nescaya ia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit. Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang ia dalam keadaan sakit. Dan kami tumbuhkan untuk dia sebatang pohon dari jenis labu. Dan Kami utus dia kepada seratus ribu orang atau lebih. Lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.”

(Surah as-Saffat ayat 139-148)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya) maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: ‘ Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk  orang-orang yang zalim. Maka Kami kabulkan (doanya) dan Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Anbiya’ ayat 87-88)

Rujukan:

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!