Cara hilangkan panau dengan berkesan memerlukan gabungan rawatan yang sesuai dan penjagaan kulit yang betul.
Panau ialah jangkitan kulat yang menyebabkan tompokan kulit berubah warna dan boleh mengganggu penampilan.
Dalam artikel ini, kami kongsikan pelbagai kaedah cara hilangkan panau serta tip pakar kulit untuk mencegah panau daripada kembali berulang.
Baca juga: Kulit Kering Sebab Apa? Ini Punca, Cara Cegah & Tips Pilih Produk
Apa itu Panau?
Panau, atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai tinea versicolor (juga dipanggil pityriasis versicolor), ialah sejenis jangkitan kulat pada kulit yang biasa berlaku.
Ia berpunca daripada pertumbuhan berlebihan yis semula jadi yang memang wujud di permukaan kulit manusia. Apabila yis membiak tanpa kawalan, ia akan mengganggu penghasilan pigmen kulit normal dan menyebabkan munculnya tompokan kecil yang berubah warna.
Tompokan ini boleh berwarna lebih cerah atau lebih gelap daripada warna kulit asal dan lazimnya muncul di bahagian badan seperti dada, belakang, bahu atau lengan atas.
Kadangkala, panau juga boleh menyebabkan rasa gatal ringan, terutamanya apabila berpeluh atau terdedah kepada panas.
Walaupun tidak berbahaya, panau boleh mengganggu penampilan kulit dan memberi kesan kepada keyakinan diri jika tidak dirawat.
Punca Panau
Panau berlaku apabila yis pada permukaan kulit membiak secara berlebihan.
Yis ini mudah membiak dalam keadaan yang panas, lembap dan berminyak, lalu menyebabkan ia tumbuh secara tidak terkawal dalam kelompok kecil.
Kelompok yis inilah yang menyebabkan gejala panau. Beberapa faktor yang boleh menjadi punca pertumbuhan yis secara berlebihan termasuklah seperti:
- Perubahan hormon
- Sistem imun yang lemah
- Cuaca panas dan lembap
- Berpeluh dengan banyak
- Kulit yang berminyak
Simptom & Gejala
Simptom paling ketara bagi panau ialah tompokan kulit yang berubah warna. Tompokan ini biasanya muncul di bahagian seperti:
- Lengan
- Dada
- Leher
- Belakang badan
Tompok-tompok ini juga mungkin mempunyai ciri seperti:
- lebih cerah atau lebih gelap daripada kulit sekeliling
- berwarna coklat, perang, merah jambu, atau kemerahan
- kering, gatal dan bersisik
- lebih jelas kelihatan apabila kulit menjadi gelap akibat berjemur
- cenderung untuk hilang apabila cuaca menjadi sejuk dan kurang lembap
Hipopigmentasi ialah keadaan di mana warna kulit menjadi lebih cerah atau kehilangan warna. Namun, bagi sesetengah orang, kulit mungkin menjadi lebih gelap, keadaan ini dipanggil hiperpigmentasi.
Ada juga individu yang mengalami kegatalan pada kulit akibat panau.
Cara Hilangkan Panau di Rumah
1. Cuka Epal
Cuka epal dikenali sebagai bahan semula jadi yang membantu mengawal pertumbuhan kulat.
Menurut satu kajian kecil oleh Verywell Mind, gabungan cuka epal dengan syampu antikulat ketoconazole 2% menunjukkan kesan yang lebih baik dalam merawat panau berbanding penggunaan syampu sahaja.
Campuran ini mempercepatkan proses penyembuhan. Sapukan terus campuran tersebut pada kulit dan biarkan seketika sebelum dibilas.
2. Madu
Madu mempunyai sifat antikulat yang membantu melawan jangkitan kulit seperti panau. Madu akasia disarankan kerana keberkesanannya.
Ia boleh disapu terus ke bahagian kulit yang terjejas, atau dicampur dengan minyak zaitun dan lilin lebah untuk hasil lebih baik.
3. Aloe Vera
Aloe vera mengandungi sifat anti-radang dan antikulat. Ia mampu menghalang pertumbuhan kulat penyebab panau, malah berkesan terhadap jenis kulat yang tahan ubat.
Campurkan gel aloe vera dengan minyak zaitun dan sapukan pada tompokan panau beberapa kali sehari sehingga kulit pulih.
4. Minyak Kelapa
Minyak kelapa mengandungi sifat antikulat dan antibakteria yang digunakan sebagai cara hilangkan panau secara semula jadi.
Ia juga boleh dicampur dengan kapur barus (camphor) untuk meningkatkan keberkesanan.
Sapukan pada kulit setiap hari untuk membantu mengurangkan pertumbuhan kulat dan meredakan kegatalan.
5. Kunyit
Kunyit digunakan dalam perubatan Ayurveda dan terkenal untuk mengurangkan kegatalan serta pigmentasi pada kulit.
Anda boleh jadikan pes kunyit dengan mencampur serbuk kunyit dengan sedikit air dan sapukan pada kawasan panau.
6. Ubat Antikulat Dengan Preskripsi
Untuk kes yang lebih serius atau berulang, doktor mungkin menyarankan ubat antikulat preskripsi sama ada dalam bentuk sapuan atau pil. Sapuan topikal seperti:
- Ketoconazole (Nizoral®, Extina®)
- Ciclopirox (Loprox®, Penlac®)
Jika jangkitan melibatkan kawasan luas atau berulang, ubat oral seperti:
- Fluconazole (Diflucan®)
- Itraconazole (Onmel®, Sporanox®)
Ubat ini lebih cepat berkesan tetapi perlu dipantau oleh doktor kerana boleh menyebabkan kesan sampingan tertentu.
Baca juga: Ubat Psoriasis Untuk Kepala dan Kulit Yang Boleh Didapati di Farmasi
7. Ubat Antikulat Tanpa Preskripsi
Panau yang ringan biasanya boleh dirawat dengan krim, losyen atau syampu antikulat yang boleh dibeli di farmasi.
Produk ini digunakan terus pada kulit selama beberapa minit hingga beberapa jam sebelum dibilas. Antara ubat yang disyorkan termasuk:
- Clotrimazole (Lotrimin AF®)
- Miconazole (Micaderm®)
- Selenium sulfide (Selsun Blue®)
- Terbinafine (Lamisil AT®)
- Sabun Zinc pyrithione
Baca juga: Ubat Panau : Jenis dan Cara Mencegah Jangkitan Berulang
Cara untuk Mencegah Panau
Menurut American Academy of Dermatology Association untuk mencegah panau daripada berlaku atau berulang, beberapa langkah penjagaan diri boleh diamalkan secara konsisten.
1. Rawatan Awal di Rumah
Sekiranya panau masih dalam tahap ringan, anda boleh mencubanya rawatan sendiri di rumah menggunakan produk antikulat yang boleh dibeli tanpa preskripsi, seperti syampu yang mengandungi selenium sulfide, atau krim dan salap antikulat yang mengandungi miconazole, clotrimazole, atau terbinafine.
Sebelum menggunakannya, pastikan kulit dibasuh dan dikeringkan terlebih dahulu. Sapu lapisan nipis krim sekali atau dua kali sehari selama sekurang-kurangnya dua minggu.
Jika menggunakan syampu, biarkan ia di kulit kepala selama 5 hingga 10 minit sebelum dibilas.
2. Gunakan Produk Penjagaan Kulit yang Sesuai
Selain rawatan, penjagaan harian sangat penting untuk mencegah panau daripada merebak atau muncul kembali.
Gunakan produk penjagaan kulit yang bebas minyak (oil-free) dan elakkan produk yang membuatkan kulit berminyak.
Pilih produk berlabel “non-comedogenic” yang tidak menyumbat liang pori.
3. Pilih Pakaian yang Sesuai
Pakai pakaian longgar dan tidak ketat agar kulit boleh bernafas dan tidak terlalu lembap akibat peluh.
4. Lindungi Kulit Daripada Matahari
Perlindungan daripada cahaya matahari juga penting kerana kulit yang gelap akibat sinaran matahari akan menjadikan tompokan panau lebih ketara.
Oleh itu, elakkan penggunaan katil penyamakan (tanning bed) atau lampu penyinaran. Amalkan penggunaan sunscreen setiap hari, sekurang-kurangnya 20 minit sebelum keluar rumah.
Pastikan sunscreen tersebut mengandungi perlindungan spektrum luas (UVA dan UVB), mempunyai SPF 30 atau lebih, serta bersifat tidak berminyak.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Walaupun panau biasanya tidak berbahaya dan boleh dirawat di rumah, anda disarankan berjumpa doktor jika mengalami keadaan seperti:
- Tompok-tompok kulit berubah warna muncul tanpa sebab yang jelas
- Gejala tidak hilang walaupun sudah mencuba rawatan antikulat di rumah selama dua minggu atau lebih
- Panau sering berulang walaupun selepas rawatan
- Anda mengalami ketidakselesaan yang teruk, seperti kegatalan melampau atau kulit menjadi sangat kering dan bersisik
Jika anda mengalami sebarang perubahan warna kulit yang mencurigakan, sebaiknya dapatkan pemeriksaan doktor untuk diagnosis yang tepat. Ini kerana terdapat beberapa keadaan lain yang mempunyai rupa yang hampir sama dengan panau, antaranya:
- Pityriasis rosea
- Seborrheic dermatitis
- Tinea corporis (kurap)
- Vitiligo
- Erythrasma
Doktor akan memeriksa kulit anda dan mungkin melakukan ujian lanjut sebelum mencadangkan rawatan yang sesuai. Dengan diagnosis yang betul, rawatan yang diberikan juga akan lebih berkesan dan selamat.