Cara Hilangkan Batuk Bayi & Selsema Di Rumah (Tanpa Ubat)

Cara Hilangkan Batuk Bayi Dari Rumah

Sejak akhir-akhir ini, ramai yang sakit disebabkan penularan wabak Covid-19 yang meningkat. Kanak-kanak termasuk bayi juga tidak terkecuali untuk turut terkena batuk.

Ibu bapa pasti runsing melihat keadaan anak. Namun, jangan risau. Terdapat beberapa cara hilangkan batuk yang anda boleh cuba bagi meredakan gejala yang anak alami.

Punca Bayi Mengalami Batuk

Bayi anda mungkin alami batuk disebabkan salah satu punca berikut :

  • Selsema
  • Pencemaran udara
  • Penyakit serius seperti pneumonia, batuk kokol, bronchiolitis atau objek asing tersekat di saluran pernafasan.
  • Alahan makanan, bahan tertentu atau alahan bermusim
  • Asma yang mungkin disertai dengan gejala seperti kesukaran bernafas serta berdehit.
cara hilangkan batuk bayi

Waspada Dengan Ubat Selsema & Batuk Untuk Kanak-kanak Bawah 2 Tahun

Waspada, ubat batuk & selsema TIDAK SESUAI untuk diberikan kepada kanak kanak berusia 2 tahun ke bawah.

Menurut Public Health Malaysia, pemberian ubat menyebabkan risiko:

  • Sawan
  • Jantung berdegup kencang
  • Kematian

Pada lazimnya, masalah batuk dan selesema adalah berpunca daripada jangkitan virus yang mana badan kita secara semulajadi mempunyai mekanisme pertahanan diri untuk melawan jangkitan tersebut.

Simptom awal selesema yang dialami pesakit adalah seperti sakit kerongkong, lemah-lemah badan dan diikuti dengan hidung berair dan tersumbat, batuk dan juga sakit kepala. Batuk dan selesema tidak memerlukan rawatan yang spesifik untuk sembuh. Kebiasaannya badan kita akan melawan jangkitan tersebut dan simptom akan beransur pulih dalam tempoh tertentu.

Rawatan yang diberi adalah lebih kepada untuk melegakan simptom, mencegah komplikasi serta mengelakkan penyebaran jangkitan tersebut. Ubat yang biasa diberikan adalah dari jenis antihistamin (seperti chlorpheniramine), antitusif (seperti dextromethorphan) dan dekongestan (seperti pseudoephedrine) yang secara amnya adalah selamat untuk digunakan.

Walau bagaimanapun, ubat batuk dan selesema ini boleh memudaratkan jika diberi pada kanak-kanak yang berumur di bawah 2 tahun. Kanak-kanak ini berisiko mendapat kesan advers yang serius seperti masalah pernafasan, terlalu mengantuk dan sawan serta berpotensi untuk menyebabkan kematian terutamanya akibat penekanan saluran pernafasan.

Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari masa ke semasa ada menerima laporan kesan advers melibatkan penggunaan ubat batuk dan selesema di kalangan kanak-kanak berusia di bawah 2 tahun.

Sebagai langkah pengurangan risiko bagi isu keselamatan ini, pihak KKM telah mewajibkan pihak syarikat meletakkan label yang jelas pada botol ubat tentang larangan penggunaan ubat batuk dan selesema bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun serta ubat-ubat tersebut perlu disediakan dalam bentuk pek saiz pesakit (patient dispensing pack) dengan isipadu tidak melebihi kuantiti maksima 120mL.

Sekiranya bayi atau kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah mengalami masalah batuk dan selsema, terdapat beberapa kaedah rawatan yang boleh dipertimbangkan sebagai alternatif kepada ubat batuk dan selsema. Antara kaedah-kaedah tersebut adalah:

i. Menggunakan garam isotonik (normal saline atau sodium chloride 0.9%) dalam bentuk titisan atau semburan hidung cecair

ii. Menggunakan alat penyedut rongga hidung (nasal suction) untuk menyedut keluar mukus daripada rongga hidung

iii. Memberikan bayi atau kanak-kanak minum air secara kerap untuk menggalakkan penghidratan badan

Dalam sesetengah keadaan, penggunaan ubat batuk dan selsema amat perlu bagi tujuan rawatan untuk pesakit kanak-kanak setelah faedah dan risiko yang berkaitan dipertimbangkan sepenuhnya. Walau bagaimanapun terdapat beberapa perkara berikut perlu diberi perhatian.

Pertama, pastikan ubat ubat batuk dan selsema yang diberikan tidak melebihi dos dan kekerapan yang dicadangkan dalam label dan arahan penggunaan ubat tersebut. Kedua, pastikan ubat disukat dengan menggunakan alat penyukat yang tepat seperti picagari. Sukatan dengan menggunakan tudung penyukat, camca atau sudu adalah tidak tepat dan mungkin boleh menyebabkan dos berlebihan.

Ketiga, pastikan ubat batuk dan selsema yang dipreskripsikan kepada pesakit kanak-kanak, tidak boleh dikongsikan kepada pesakit kanak-kanak yang lain walaupun mereka mengalami gejala penyakit yang sama. Perkara ini adalah kerana dos ubat-ubatan dalam kalangan kanak-kanak adalah berbeza mengikut kiraan berat badan mereka.

Kesimpulannya, ubat batuk dan selsema merupakan bahan aktif yang digunakan secara meluas dalam produk ubat batuk dan selsema. Secara umum, ubat ini adalah selamat untuk digunakan. Namun penggunaannya tidak disyorkan untuk kanak-kanak berumur 2 tahun ke bawah. Dapatkan nasihat daripada ahli farmasi atau doktor sebelum menggunakan ubat antihistamin untuk kanak-kanak bawah umur 2 tahun.

Sila laporkan sebarang kesan sampingan ubat-ubatan disyaki kepada Pusat Pemonitoran Kesan Advers Kebangsaan melalui laman sesawang www.bpfk.gov.my.Sekiranya orang awam mempunyai sebarang pertanyaan am berkenaan ubat-ubatan, anda boleh bertanya kepada mana-mana ahli farmasi atau menguhubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722. Kami sedia membantu.

Disediakan oleh

Khairul Naim Bin Zainal Abidin
Klinik Kesihatan Lembah Klau, Raub Pahang

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Cara Hilangkan Batuk Bayi

Berikut dikongsikan beberapa kaedah yang selamat untuk ibu ayah membantu anak kecil melegakan simptom selsema dan batuk yang dialami.

1. Gunakan Pelembap Udara

Pelembap dapat membantu mencairkan lendir dan seterusnya dapat meredakan batuk bayi.

Dengan menambahkan wap air ke udara, ia juga dapat melancarkan pernafasan anak.

Pelembap udara juga dianggap berkesan kerana ia lebih selamat digunakan untuk bayi. Untuk menggunakan pelembap udara, pasangkannya pada waktu siang ketika bayi berjaga dan di dalam bilik apabila mereka tidur pada waktu malam.

2. Madu

Campuran madu bersama air suam dan lemon pula merupakan kaedah hilangkan batuk yang sesuai untuk bayi berusia 1 tahun ke atas.

Khasiat semulajadi madu yang boleh menyekat pembiakan bakteria juga menjadikan ia ramuan yang sesuai untuk meredakan sakit tekak.

Namun, anda perlulah elakkan untuk memberi madu kepada bayi berusia setahun kebawah kerana berisiko mengalami botulisme (keracunan makanan).

Sumber: Public Health Malaysia

3. Ambil Lebih Banyak Cecair

Jika bayi mengalami batuk berkahak, adalah penting untuk si ibu kekalkan kelembapan tubuh bayi. Hal ini dapat memastikan saluran udara bayi kekal lembap dan dapat membantu tubuh si kecil melawan penyakit dengan lebih baik.

Oleh itu, anda perlulah memberikan air, susu ibu atau susu formula dengan lebih kerap ketika bayi tidak sihat dan mengalami batuk berkahak.

Namun, anda tidak boleh memberikan air kosong kepada bayi berusia 6 bulan kerana ini boleh mengakibatkan hiponatremia.

cara hilangkan batuk bayi
cara hilangkan batuk bayi

4. Air Garam Saline

Pengunaan air garam (saline) juga merupakan salah satu cara  hilangkan batuk bayi yang ramai ibu bapa amalkan.  

Air titisan garam ini berfungsi membersihkan hidung, mencairkan kahak dalam tekak serta membantu memudahkan anak untuk batuk terutamanya sebelum tidur.

Titisan air garam ini juga bermanfaat apabila anak selsema kerana ia membantu melembutkan lendir dan seterusnya memudahkan ia untuk keluar daripada saluran pernafasan.

Untuk menggunakan air titisan garam, condongkan kepala anak ke belakang kemudian picitkan titisan air garam ke dalam setiap lubang hidung. Kemudian, ulanginya sekiranya perlu.

cara hilangkan batuk bayi

5. Guna Penyedut Hingus

Selain menggunakan nasal spray, anda juga boleh menggunakan penyedut hingus bayi / aspirator yang boleh dibeli di farmasi.

Rujuk cara guna dalam infografik di bawah:

cara hilangkan batuk bayi
Kredit: Public Health Malaysia

Kesimpulan

Anda tidak perlu risau kerana masalah batuk bayi adalah perkara normal dan boleh berlanjutan untuk tempoh yang lama.

Namun, anda boleh cuba cara hilangkan batuk bayi dengan kaedah yang kami kongsikan di atas. Elakkan untuk memberi sebarang ubat tanpa preskripsi kepada anak tanpa berunding dengan doktor terlebih dahulu.

Sekiranya anda dapati batuk bayi masih tidak berkurangan atau lebih teruk, segeralah bawa anak untuk dapatkan pemeriksaan doktor.

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!