Cacar Monyet : Punca, Gejala dan Peringkat Jangkitan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Cacar monyet atau monkeypox merupakan wabak jangkitan virus yang berpunca daripada haiwan. Penyakit ini pertama kali dikenalpasti pada tahun 1970 di Congo, Afrika.

Pada tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan lebih daripada 3,400 kes monkeypox dari lebih 50 buah negara dengan satu kematian.

Baca Juga : Dos Penggalak Kedua Covid-19: Kelayakan, Syarat & Selang Masa

Punca Jangkitan Cacar Monyet

Pemerhatian WHO didapati sebilangan besar kes cacar monyet ini berlaku di kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

Penyebaran penyakit monkeypox antara manusia berlaku melalui sentuhan langsung dengan luka di kulit, air liur dan cecair dari tubuh yang tersebar melalui batuk dan bersin serta permukaan yang tercemar dengan virus cacar monyet.

Ia juga boleh berjangkit menerusi cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

Gejala

Secara umumnya, gejala penyakit cacar monyet ini mirip dengan penyakit cacar (smallpox). Antara gejala yang boleh dikenalpasti adalah :

  • Demam
  • Ruam kulit yang melepuh
  • Bengkak pada kelenjar getah bening (lymph node) pada bahagian ketiak.
Cacar Monyet

Peringkat Jangkitan Cacar Monyet

Menurut perkongsian daripada WHO, jangkitan cacar monyet boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu Peringkat Jangkitan dan Peringkat Kemunculan Ruam Pada Kulit (Skin Eruption).

Peringkat Jangkitan

Peringkat jangkitan ini berlaku dalam 5 hari pertama setelah pesakit terdedah pada virus untuk kali pertama.

Ketika pesakit berada dalam peringkat ini, pesakit akan menunjukkan beberapa gejala cacar monyet seperti :

  • Demam
  • Sakit kepala yang teruk
  • Bengkak pada kelenjar getah bening di bahagian ketiak
  • Sakit pinggang dan otot
  • Badan terasa lemah (asthenia)

Peringkat Kemunculan Ruam Pada Kulit (Skin Eruption)

Peringkat ini bermula setelah pesakit mengalami demam selama kira-kira 3 hari. Gejala utama peringkat ini adalah kemunculan ruam pada kulit.

Ruam ini pertama kali muncul di muka kemudian merebak ke seluruh tubuh.

Kawasan yang didapati tumbuh ruam paling ketara adalah pada bahagian muka dan telapak tangan.

Cacar Monyet

Ruam pada awalnya muncul sebagai bintikan pada kulit, kemudian ia berubah sebagai ruam berisi air.

Dalam beberapa hari, ruam akan menjadi kering dan membuatkan permukaan kulit berkuping. Fasa perkembangan ruam ini mengambil masa kira-kira 10 hari.

Untuk memastikan seluruh kuping pada kulit hilang dengan sendirinya, ia boleh mengambil masa sehingga 3 minggu.

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Jika anda merasakan berlakunya sentuhan dengan seseorang atau haiwan liar yang terjangkit virus ini, rujuklah pada doktor secepat mungkin.

Lebih-lebih lagi, jika anda baru pulang dari negara yang mencatatkan kes cacar monyet.

Setakat ini, pakar masih belum menemukan penawar khusus bagi penyakit cacar monyet. Namun, ia dapat ditangani dengan pengurusan gejala serta penggunaan ubat antivirus untuk rawatan cacar (smallpox).

Meskipun negara kita masih terselamat daripada jangkitan wabak cacar monyet setakat ini, namun kita masih perlu ambil langkah berjaga-jaga.

Tambahan pula, terdapat kes yang dicatatkan di negara jiran kita, Singapura.

Oleh itu, kita perlulah kekal menjaga kebersihan diri dan kerap mencuci tangan dengan sabun serta amalkan penjarakan sosial serta penggunaan pelitup muka ketika berada di tempat awam

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut