Adakah bunga kegemaran anda bunga matahari? Memang tak dinafikan warna kuning terangnya sangat menyerlah dan boleh membuatkan seseorang berasa lebih gembira hanya dengan melihatnya.
Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai sunflower kerana bunganya sering menghadap ke arah matahari.
Sementara itu, nama saintifik bagi bunga matahari adalah Helianthus annuus.
Nama saintifik ini juga dipercayai berasal daripada gabungan perkataan bahasa Yunani iaitu Helios (matahari) dan Anthos (flower).
Sesetengah orang turut menghadiahkan bunga matahari kepada orang tersayang sebagai tanda kebahagiaan yang kekal dan panjang umur.
Walau apapun maksudnya, bunga ini tetap mempunyai peminatnya kerana warnanya yang menyerlah dan mampu menceriakan sesiapa sahaja.
Fakta Menarik
- Terdapat sehingga 70 spesis bunga matahari dan terdapat juga yang berwarna perang, merah dan ungu.
- Bunga yang sinonim dengan warna kuning ini juga mampu menyerap toksin dalam tanah seperti uranium, plumbum dan arsenik. Jutaan pokok bunga matahari telah ditanam di kawasan radioaktif bagi menyerap sisa bahan kimia berbahaya.
- Salah satu keistimewaan bunga ini adalah ia mampu untuk lakukan proses pendebungaan sendiri demi kelangsungan spesis. Walau bagaimanapun, tumbuhan ini turut bergantung kepada pendebunga utamanya iaitu lebah.
- Bukan sahaja bijinya, malah dari akar sehingga ke daun, pokok bunga ini telah diolah untuk menjadi pelbagai produk seperti teh bunga, mentega dan salad.
Khasiat Bunga Matahari
Bunga matahari bukan sahaja popular sebagai tanaman, malah ia turut diusahakan dalam skala besar kerana biji (kuaci) serta minyaknya yang dikomersialkan ke serata dunia.
Bagi yang belum tahu, sebenarnya kuaci dan minyak bunga matahari dihasilkan oleh spesis bunga matahari yang berbeza. Kedua-dua jenis ini juga merupakan spesis yang paling banyak diusahakan.
Kuaci yang dihasilkan oleh bunga ini sememangnya cukup popular bukan sahaja sebagai snek, malah sebagai pelengkap hidangan sihat seperti oat, roti pelbagai bijirin dan sebagainya.
Kuaci padat dengan pelbagai khasiat penting untuk tubuh termasuk vitamin E, selenium dan antioksida.
Ia juga kaya dengan magnesium dan asid lemak tidak tepu yang baik untuk mencegah masalah berkaitan jantung seperti tekanan darah dan kolesterol.
Kajian lain turut mendapati bahawa pengambilan kuaci bunga secara konsisten dapat membantu merendahkan paras gula dalam darah.
Pada masa yang sama, ramai yang turut mengamalkan pengunaan minyak bunga matahari sebagai alternatif kepada sumber minyak yang lebih sihat.
Minyak daripada bunga ini juga sering dikaitkan dengan khasiat asid oleic iaitu asid lemak mono tidak tepu yang berpotensi membantu merendahkan paras kolesterol dan baik untuk jantung.
Walau bagaimanapun, minyak daripada bunga ini didapati boleh menghasilkan kompaun toksid sekiranya dipanaskan pada suhu tertentu.
Oleh itu, minyak ini dilihat lebih sesuai digunakan bagi kaedah masakan seperti goreng kilas atau dijadikan sebagai ramuan salad.
Bunga berwarna kuning cerah ini bukan sahaja cantik semata-mata, rupanya ia mempunyai banyak khasiat untuk tubuh khususnya sebagai pembekal vitamin serta sumber lemak sihat.
Jadi, tidak hairanlah mengapa ramai yang mengamalkan pengambilan kuaci bunga ini atau minyaknya.
Di samping itu, bunga ini turut membawa maksud yang positif kepada penerimanya.
Sumber : Healthline (1), (2), Happy Bunch
Baca Juga : Bunga Kemboja : Nama Saintifik dan Fakta Menarik