Pink Oktober : Bulan Kesedaran Kanser Payudara (Pinktober)

bulan kesedaran kanser payudara pink oktober
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bulan Oktober adalah Bulan Kesedaran Kanser Payudara, di mana pada bulan ini Kempen Pink Oktober @ Pinktober disambut setiap tahun.

Jom belajar mengenai kanser untuk sama-sama meningkatkan kesedaran mengenai Kanser Payudara dengan berkongsi maklumat dengan keluarga dan kawan-kawan! 

Pinktober : Bulan Kesedaran Kanser Payudara (Pink Oktober)

Bulan Oktober setiap tahun merupakan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia. Kempen ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai selain mendidik dan menyokong mereka yang menghidap penyakit ini.

Kanser payudara merupakan kanser paling tinggi di kalangan wanita di dunia.
Trend kini sudah berubah kerana lebih ramai wanita bawah 40 tahun didiagnosis menghidap kanser payudara.

Kebanyakan Kanser Payudara di Malaysia dikesan pada peringkat akhir iaitu tahap 3 dan 4 sekaligus meningkatkan risiko kematian. Kurang sokongan ahli keluarga dan sukar menerima kenyataan antara faktor pesakit lewat mendapatkan rawatan terutamanya wanita luar bandar.

Malaysian Study on Cancer Survival pada 2018 menyatakan risiko kematian bagi kanser yang dikesan pada tahap 4 adalah 7.52 kali ganda lebih tinggi berbanding kanser yang dikesan pada tahap satu.

Namun, jika dikesan awal, pesakit ada harapan sembuh & boleh menyelamatkan nyawa.

Jenis Kanser Payudara

Tahukah anda, terdapat beberapa jenis barah payudara yang berbeza:

  1. Kanser setempat ‘Carcinoma in situ’: Istilah ini merujuk kepada kanser peringkat awal dan masih berada di tempat ia bermula iaitu terhad di saluran atau kelenjar susu payudara.
  2. Kanser saluran ‘Ductal carcinoma in situ’ (DCIS): Ia adalah jenis kanser payudara yang tidak merebak (noninvasive) dan berada di sekitar saluran susu payudara.
  3. Kanser lobular (Lobular carcinoma in situ) (LCIS): Keadaan ini bermula di kelenjar susu dan tidak melepasi dindingnya.
  4. Kanser saluran merebak (Invasive (infiltrating) ductal carcinoma) (IDC): Merupakan kanser payudara yang paling biasa. Bermula pada saluran susu, melepasi dinding saluran dan merebak ke tisu payudara lain.
  5. Kanser lobul merebak (Invasive (infiltrating) lobular carcinoma (ILC)): Kanser ini bermula pada kelenjar susu. Ia boleh merebak ke bahagian tubuh yang lain.
bulan kanser payudara pinktober pink oktober

Cara Melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP)

Jangan biarkan nyawa diri anda “diancam” oleh kanser payudara. Kesan dan atasi masalah ini dari awal lagi dengan melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP) yang mudah di rumah. PSP ini perlu dilakukan setiap bulan, kira-kira 7-10 hari selepas anda datang haid pertama. Jika kitaran menstruasi sudah terhenti, anda boleh tetapkan sendiri satu tarikh untuk melakukan PSP tersebut.

PSP ini amatlah mudah dilakukan kerana hanya perlu ikuti 3 langkah sahaja. Macamana? Hanya rujuk pada gambar dibawah.

bulan kanser payudara pinktober pink oktober
bulan kanser payudara pinktober pink oktober
bulan kanser payudara pinktober pink oktober
Sumber: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Jika ketiga-tiga langkah sudah dilakukan dan terasa ada perubahan, sila dapatkan pemeriksaan dan rawatan selanjutnya secepat mungkin.

Cara Memberi Sokongan Kepada Kempen Pinktober

Kita semua boleh menyertai kempen Pinktober ini dengan:

  1. Memakai riben merah jambu tanda sokongan.
  2. Meningkatkan pengetahuan tentang kanser payudara dan rawatan melalui bacaan dan mendengar ceramah.
  3. Menyebarkan maklumat tentang pentingnya pengesanan awal, rawatan berkesan kepada sahabat dan saudara mara.
  4. Membuat pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan.
  5. Melakukan ujian pengesanan terutamanya jika anda merupakan golongan berisiko Contoh: Mamogram dan ultrasound payudara.
  6. Pilihlah gaya hidup sihat dengan berhenti merokok dan alkohol. Makan secara sihat.
  7. Mengambil bahagian dalam aktiviti riadah serta kawal stress.
  8. Jadi sukarelawan atau ziarah beri sokongan kpd pesakit yang sedang menjalani rawatan.
  9. Anjurkan majlis dalam kumpulan kecil di kejiranan, tempat kerja, atau keluarga untuk berkongsi maklumat kesedaran atau sertai kempen dan aktiviti anjuran hospital @NGO persatuan.
  10. Menderma ke tabung kanser dan libat diri dengan aktiviti mengumpul dana kewangan membantu pesakit dan keluarga.
  11. Kepada pejuang kanser, berkongsilah pengalaman bagaimana anda boleh sihat dan sebarkan positiviti kepada masyarakat bahawa kanser bukanlah garis penamat.
  12. Tak lupa ucapkan terima kasih kepada orang tersayang tanda penghargaan kepada mereka yang menjadi inspirasi dan penyokong anda semasa menempuhi rawatan.

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut