Borang 34 PERKESO – Kegunaannya & Cara Mengisi Borang Dengan Betul
Dengan mengisi Borang 34 PERKESO, anda boleh membuat tuntutan kepada pihak PERKESO sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini seperti kemalangan di tempat kerja atau sakit yang berpunca dari tempat kerja.
Terdapat beberapa info penting yang anda perlu ketahui bagi memastikan tuntutan/claim anda diterima dengan mudah.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenai Borang 34 PERKESO untuk rujukan semua.
BACA JUGA: Cara Claim PERKESO Jika MC Atau Cuti Sakit
Apa itu Borang 34 PERKESO?
Borang 34 PERKESO, atau Borang Butiran Notis Dan Tuntutan Faedah adalah dokumen yang digunakan oleh pencarum untuk membuat tuntutan faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan yang diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Malaysia.
Borang ini digunakan dalam situasi di mana pekerja mengalami kecederaan, penyakit disebabkan pekerjaan, atau kematian semasa bekerja.
Tuntutan ini membolehkan pekerja yang mengalami kecacatan kekal atau waris pekerja yang meninggal dunia untuk mendapat pampasan daripada PERKESO.
>> Skim Bencana Pekerjaan
Skim Bencana Pekerjaan memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang berpunca atau terbit daripada pekerjaannya. Perlindungan di bawah skim ini meliputi kemalangan berikut:
Kemalangan Semasa Menjalankan Pekerjaan
Kemalangan yang ditimpa ketika berada di tempat kerja atau sedang menjalankan urusan kerja.
Kemalangan Semasa Dalam Perjalanan
Mengikut laluan di antara tempat kediamannya atau tempat tinggalnya dengan tempat kerjanya
Dibuat bagi apa-apa sebab yang secara langsung berkaitan dengan penggajiannya
Di antara tempat kerjanya dengan tempat pergi makan dalam masa rehat yang dibenarkan
Kemalangan Semasa Kecemasan
Kemalangan yang berlaku semasa pekerja berada dalam atau berdekatan dengan mana-mana premis tempat bekerjanya bagi tujuan menyelamatkan, membantu atau melindungi orang yang mendapat bencana atau bahaya semasa kecemasan.
Penyakit Khidmat
Penyakit yang berpunca atau terbit daripada pekerjaan sebagaimana yang disenaraikan di Jadual Kelima, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Contoh Penyakit Khidmat:
- Hilang pendengaran disebabkan oleh paras tekanan bunyi tinggi yang berterusan
- Penyakit asma disebabkan oleh pekerjaan yang melibatkan pendedahan berterusan kepada sedutan habuk atau bahan kimia yang berbahaya dan sebagainya
Fungsi dan Kegunaan Borang 34 PERKESO
Borang 34 PERKESO berfungsi sebagai alat utama yang memudahkan pekerja membuat tuntutan pelbagai faedah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Borang ini digunakan terutamanya untuk mengurus tuntutan yang berkaitan dengan kecederaan pekerjaan, penyakit pekerjaan, atau kematian pekerja akibat kemalangan di tempat kerja.
Berikut adalah huraian lebih lanjut mengenai setiap jenis faedah yang boleh dituntut melalui borang ini:
1. Faedah Hilang Upaya Sementara (HUT)
Apa Itu Faedah Hilang Upaya Sementara (HUT)?
Faedah Hilang Upaya Sementara (HUT) adalah faedah yang diberikan kepada pekerja yang tidak dapat bekerja buat sementara waktu akibat kecederaan atau penyakit yang berpunca daripada kemalangan atau kejadian di tempat kerja.
Dalam situasi ini, pekerja masih dalam proses pemulihan dan belum pulih sepenuhnya untuk kembali bekerja.
Siapa yang Layak?
Faedah Hilang Upaya Sementara dibayar kepada pekerja sepanjang tempoh cuti sakitnya yang disahkan oleh doktor dan mestilah sekurang-kurangnya 4 hari termasuk hari kemalangan.
Walau bagaimanapun, Faedah Hilang Upaya Sementara TIDAK akan dibayar pada hari di mana pekerja hadir bekerja dan dibayar gaji.
Kadar Faedah:
Kadar harian Faedah Hilang Upaya Sementara adalah 80% daripada gaji harian purata anggapan pekerja. Kadar minimum bayaran faedah adalah RM30.00 sehari dan maksimum RM132 sehari.
2. Faedah Perubatan
Apa Itu Faedah Perubatan?
Pekerja yang ditimpa bencana pekerjaan atau menghidap penyakit khidmat boleh mendapat rawatan perubatan secara percuma di klinik panel PERKESO atau klinik/hospital Kerajaan sehingga pulih sepenuhnya.
Bagi kecederaan parah, rawatan mestilah diperolehi dari hospital Kerajaan dan pekerja akan diberi rawatan di wad kelas dua. Rawatan pakar akan diberi jika per
Siapa yang Layak?
Pekerja yang terlibat dalam kemalangan semasa bekerja atau yang mengalami penyakit pekerjaan yang disahkan oleh doktor layak menerima faedah ini. Faedah perubatan boleh digunakan selagi rawatan perubatan diperlukan untuk pemulihan.
Jenis Rawatan yang Ditanggung:
- Rawatan pesakit luar di klinik atau hospital panel PERKESO.
- Rawatan pesakit dalam seperti pembedahan atau rawatan lanjut di hospital kerajaan atau panel yang diiktiraf oleh PERKESO.
- Kos ubat-ubatan, peralatan perubatan (seperti tongkat atau kerusi roda) dan keperluan rawatan lain yang disarankan oleh doktor.
3. Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK)
Apa Itu Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK)?
Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) adalah faedah yang diberikan kepada pekerja yang mengalami kecederaan yang menyebabkan hilang upaya secara kekal.
Kecacatan ini boleh menghalang pekerja daripada bekerja seperti biasa atau mungkin menghadkan kapasiti kerja mereka.
Hilang Upaya Kekal boleh melibatkan kehilangan anggota badan, fungsi badan, atau gangguan mental akibat kecederaan atau penyakit pekerjaan.
Siapa yang Layak?
Pekerja yang mengalami kecacatan kekal disebabkan oleh kemalangan semasa bekerja atau yang didiagnosis dengan penyakit pekerjaan yang menjejaskan keupayaan mereka bekerja layak membuat tuntutan HUK.
Kadar Faedah:
Kadar harian Faedah Hilang Upaya Kekal adalah 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM148.50 sehari.
4. Elaun Layanan Sentiasa
Pekerja yang menerima taksiran hilang upaya langsung yang kekal dan tidak berdaya dengan teruknya hingga sentiasa memerlukan layanan seseorang lain, layak menerima elaun ini dengan pengesyoran Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Khas atau Jemaah Doktor Rayuan.
Jumlah Elaun Layanan Sentiasa adalah ditetapkan sebanyak RM500 sebulan.
5. Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional
Kemudahan ini diberikan kepada pekerja yang layak dalam bentuk:
- Pemulihan jasmani termasuk:
- Fisioterapi
- Terapi pekerjaan
- Pembedahan rekonstruktif
- Bekalan prostetik, ortotik dan lain-lain alat
- Bekalan ortopedik seperti kerusi roda, tongkat, alat pendengaran, cermin mata, kasut khas dan lain-lain
- Pemulihan vokasional termasuk:
- Latihan dalam bidang seperti elektrikal, jahitan, membaiki radio / TV, menaip dan lain-lain.
- Semua perbelanjaan kemudahan pemulihan di atas ditanggung oleh PERKESO mengikut kadar dan syarat-syarat yang ditetapkan.
6. Faedah Orang Tanggungan (FOT)
Orang tanggungan layak menerima faedah ini sekiranya pekerja terlibat meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.
Kadar Faedah Harian Yang Akan Dibayar
Kadar harian adalah 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM148.50 sehari.
7. Faedah Pengurusan Mayat
Amaun sebanyak RM3,000 (berkuatkuasa mulai 1 Jun 2024) akan dibayar sekiranya seseorang pekerja meninggal dunia akibat daripada bencana kerja atau semasa menerima Faedah Hilang Upaya Kekal berkala.
Pembayaran faedah akan dibuat kepada waris-waris yang layak. Sekiranya tiada waris, faedah akan dibayar kepada pihak yang menanggung segala perbelanjaan pengebumian itu.
Jumlah bayaran akan dibayar sama ada jumlah sebenar perbelanjaan ataupun RM3,000 mengikut mana yang lebih rendah berdasarkan resit yang dikemukakan.
8. Faedah Pendidikan
Faedah Pendidikan merupakan suatu kemudahan dalam bentuk pinjaman disediakan kepada anak tanggungan sekiranya orang berinsurans:
- Meninggal dunia akibat bencana pekerjaan
- Menerima bayaran berkala Faedah Hilang Upaya Kekal
- Permohonan tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan PERKESO.
BACA JUGA: Check SOCSO – Cara Semakan No PERKESO (TERKINI)
Cara Mengisi Borang 34 PERKESO
Untuk mengisi borang 34 PERKESO dengan mudah, anda boleh rujuk fail PDF berikut:
Senarai Semak Dokumen Permohonan Borang 34
Rujuk SENARAI SEMAK DOKUMEN PERMOHONAN BORANG 34 melalui PDF berikut:
Muat turun BORANG 34 PERKESO
Cara Menghantar Borang 34 PERKESO
1. Persediaan Borang
- Isi Borang: Pastikan Borang 34 diisi dengan lengkap dan tepat, termasuk semua maklumat peribadi dan butiran mengenai kemalangan atau penyakit.
- Dokumen Sokongan: Sediakan dokumen sokongan yang diperlukan, seperti:
- Salinan kad pengenalan (depan dan belakang).
- Sijil cuti sakit asal.
- Laporan perubatan jika berkaitan.
- Laporan polis jika melibatkan kemalangan jalan raya.
- Salinan penyata akaun bank.
2. Penghantaran Secara Manual
- Hantar ke Pejabat PERKESO: Anda boleh menghantar borang yang telah lengkap diisi bersama dokumen sokongan ke pejabat PERKESO terdekat. Pastikan anda menyimpan salinan borang dan dokumen untuk rekod peribadi.
3. Semakan Status
- Selepas menghantar borang, anda boleh menyemak status tuntutan anda melalui portal atau dengan menghubungi pejabat PERKESO untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Maklumat Lanjut
Untuk sebarang maklumat lanjut dan info terkini, sila rujuk portal rasmi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
- Email: [email protected]
- Talian khidmat pelanggan: 1-300-22-8000