Bengkak Leher: Penyebab, Tanda, & Rawatan

Bengkak Leher
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bengkak leher atau bengkak kelenjar leher merupakan satu tanda penyakit yang tidak boleh di ambil ringan. Hal ini demikian kerana ia boleh menjadi tanda-tanda penyakit berbahaya yang boleh membawa maut, seperti kanser.

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lagi tentang tanda-tanda, penyebab dan rawatan yang boleh diambil untuk penyakit ini, pastikan anda terus membaca sehingga ke penghujung artikel.

Apa itu Bengkak Leher / Bengkak Kelenjar Leher?

Bengkak leher atau bengkak kelenjar leher merupakan gejala atau tanda bahawa terdapatnya jangkitan atau penyakit lain di dalam badan anda. Dalam kebanyakan kes, bengkak kelenjar air liur yang muncul akan reda atau hilang secara sendiri.

Namun begitu, jika benjolan yang berlaku tidak surut dan semakin teruk dalam tempoh beberapa hari, ia mungkin disebabkan oleh penyakit lain yang lebih berbahaya seperti kanser.

Oleh itu, sangat penting untuk anda berjumpa dengan doktor pilihan anda bagi mendapatkan maklumat tentang penyakit yang menyebabkan benjolan tersebut, dan seterusnya mendapatkan rawatan yang sesuai berdasarkan punca penyakit.

Penyebab Bengkak Leher

Berikut merupakan beberapa penyakit yang boleh menyebabkan benjolan atau bengkak pada leher anda berlaku:

  • Radang Tekak:
    • Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Streptococcus dan kerap mengakibatkan sakit tekak.
    • Jaringan tisu dan struktur di sekitar faring atau tekak akan mengalami jangkitan dan keradangan.
  • Kelenjar Tiroid:
    • Kelenjar ini boleh membengkak dan menyebabkan benjolan yang dikenali sebagai goiter.
    • Penyebab goiter termasuk kekurangan iodin, kelenjar tiroid yang terlalu aktif atau kurang aktif, dan kanser tiroid.
  • Kanser:
    • Bengkak di leher boleh menjadi tanda pertama kanser mulut, tekak, dan pita suara.
    • Kanser darah putih (leukemia), payudara, atau paru-paru juga boleh menyebabkan benjolan di leher.
  • Kelenjar Ludah:
    • Bengkak di leher sebelah kiri atau kanan selalunya berasal dari kelenjar ludah atau parotitis.
    • Jangkitan virus mumps adalah penyebab utama bengkak di sekitar kelenjar ludah.
  • Radang Tonsil:
    • Radang tonsil biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Penyebabnya termasuk jangkitan bakteria atau virus, penurunan imuniti, kekurangan kebersihan diri, kurang minum air, dan kontaminasi zat kimia.
    • Kes radang tonsil yang kerap mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang tonsil.
  • Kerengsaan dan Alergi:
    • Kerengsaan akibat geseran antara kulit atau pakaian boleh menyebabkan benjolan di leher. Alergi juga boleh menyebabkan kerengsaan yang berpunca dari makanan, ubatan, suhu dingin, atau bulu binatang tertentu.
  • Kecederaan Otot Leher:
    • Kecederaan atau tortikolis (leher kaku) boleh menyebabkan bengkak di sekitar otot leher.
  • Difteri:
    • Penyakit ini menjangkiti selaput lendir pada hidung dan tekak, menyebabkan bengkak.
  • Abses:
    • Abses yang berpunca dari gigi akibat jangkitan bakteria juga boleh menyebabkan benjolan di leher.
    • Pada awalnya, bengkak ini berlaku di bawah gigi dan gusi, dan jika tidak dirawat, ia boleh merebak ke jaringan bahagian bawah leher.
  • Kista (Cyst):
    • Benjolan ini mengandungi cecair, udara, atau nanah. Walaupun biasanya tidak berbahaya, nasihat doktor harus didapatkan.
  • Limfoma:
    • Limfoma adalah kanser sistem limfatik atau sistem imun tubuh. Terdapat dua jenis limfoma, iaitu limfoma Hodgkin dan non-Hodgkin.
    • Perubahan tidak normal berlaku pada sel-sel limfosit dalam darah. Biopsi pada benjolan diperlukan untuk mengenal pasti penyakit ini.

Sumber: DoctorOnCall

Tanda-tanda Penyakit

Keradangan atau bengkak di leher selalunya merupakan salah satu tanda awal yang dipamerkan oleh badan sebagai tindak balas kepada jangkitan. Bergantung kepada penyebabnya, pesakit mungkin mempunyai tanda dan gejala berikut:

  • Hidung berair atau berdarah
  • Sukar bernafas
  • Bengkak di seluruh badan
  • Demam
  • Perubahan berat badan
  • Berpeluh pada waktu malam
  • Kesukaran Menelan
  • Sakit di Telinga
  • Sakit Tekak
  • Keletihan
  • Batuk
  • Sakit dada

Sumber: CARE Hospital

Rawatan yang Boleh Diambil

Jika bengkak di leher ini berlaku akibat jangkitan virus, ia biasanya akan hilang secara sendiri dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Namun begitu, jika ia masih berlanjutan atau keadaan bengkak semakin teruk, anda sangat digalakkan untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Hal ini demikian kerana, benjolan pada leher juga boleh menjadi tanda bagi penyakit-penyakit yang lebih berbahaya seperti yang telah dinyatakan di bahagian sebelum ini.

Jadi, jika anda pergi ke hospital, ujian diagnostik akan dilakukan oleh pakar dan rawatan yang bersesuaian dengan penyakit yang anda alami akan diberikan secepat mungkin.

Baca juga: Warna Air Kencing dan Tahap Kesihatan Badan Kita

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut