Bendera Sarawak: Lambang Ibu Pertiwi Rakyat Sarawak

Pada sambutan ambang tahun baru yang lepas, Tan Sri Abang Johari (Premier Sarawak) telah mengumumkan nama baru bagi bendera Sarawak iaitu “Ibu Pertiwi”. Nama baru ini melambangkan kedaulatan dan kehebatan negeri dan rakyat sarawak itu sendiri.

Untuk mengetahui lebih lagi berkenaan penghasilan Ibu Pertiwi dan makna disebalik lambang dan warna didalamnya. Pastikan anda teruskan pembacaan anda sehingga ke penghujung artikel ini.

Bendera Sarawak

bendera-sarawak

Berikut merupakan makna warna dan lambang dalam bendera Sarawak diatas. Sumber makna bendera ini diperoleh sendiri daripada portal rasmi Kerajaan Negeri Sarawak.

  • Warna merah 
    • Melambangkan keberanian, kesungguhan dan pengorbanan Rakyat dalam daya usaha mereka yang berterusan untuk mengejar serta mempertahankan kemajuan dan ketinggian maruah dalam proses  membina Sarawak sebagai Negeri Contoh.
  • Warna kuning 
    • Melambangkan keagungan dan kedaulatan perundangan dan peraturan (order) serta perpaduan yang stabil di dalam masyarakat Sarawak yang berbilang kaum.
  • Warna hitam 
    • Melambangkan kekayaan sumber asli Sarawak seperti minyak mentah, balak dan sebagainya yang merupakan landasan bagi memajukan rakyat Sarawak.
  • Bintang Kuning Berbucu Sembilan 
    • Sembilan (9) bucu pada bintang ini melambangkan sembilan (9) bahagian yang membentuk apa yang digelar Sarawak Bumi Kenyalang itu.
    • Warna kuning pada bintang merujuk kepada cita-cita tinggi rakyat mereka dan hasrat perjuangan mereka untuk meninggikan mutu kehidupan selepas Merdeka.

Sejarah Ibu Pertiwi

Pembentukan bendera Sarawak ini bermula apabila Raja James Brooke bersetuju dengan reka bentuk bendera yang mempunyai palang bersilang berwarna merah dan ungu. Bendera ini telah digunakan sehingga pendudukan Jepun pada tahun 1942.

Setelah Tentera Jepun menyerah kalah, bendera Sarawak telah ditukar kepada jata negara dalam bentuk Blue Ensign apabila Sarawak diserahkan dibawah naungan Mahkota British semula pada 1946. 

Apabila majoriti pemimpin Sarawak bersetuju dengan pembentukan Malaysia, usaha dibuat untuk membentuk identiti baharu untuk Sarawak. Namun demikian Sarawak telah mengambil keputusan mengekalkan bendera lama selepas penubuhan Malaysia.

Bendera (Ibu Pertiwi) yang digunakan hari ini pula adalah atas cetusan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud. Bendera ini mengembalikan warna-warna bendera asal zaman Brooke.

Namun begitu terdapatnya perbezaan iaitu ada dua garis melintang (merah dan hitam) dari penjuru atas kiri ke penjuru bawah sebelah kanan, manakala bintang bucu sembilan diletakkan di tengah-tengah bendera yang digunakan sekarang ini.

Sumber: Utusan Sarawak – Pembikinan Bendera Sarawak

Lagu Negeri Sarawak

Seperti negeri-negeri lain, Sarawak juga mempunyai lagu negerinya yang tersendiri. Judul lagu tersebut adalah sama dengan nama bendera negeri Kenyalang itu, iaitu “Ibu Pertiwi Ku”.

Lagu ini telah diterima pakai pada tahun 1988. Lagu tersebut digubal oleh Wan Othman Hamid manakala liriknya ditulis oleh Ismail Hassan (1922-1991).  Berikut adalah lirik Ibu Pertiwi Ku:

Sarawak Tanah Air Ku

Negeri Ku Tanah Air Ku Sarawak

Engkaulah Tanah Pusaka ku

Tanah Tumpah Darah Ku

Ibu Pertiwi Ku

Rakyat Hidup Mesra Dan Bahagia

Damai Muhibbah Sentiasa

Bersatu Berusaha Berbakti

Untuk Sarawak Ku Cintai

Sarawak Dalam Malaysia

Aman Makmur Rahmat Tuhan Maha Esa

Kekallah Sarawak Bertuah

Teras Perjuangan Rakyat

Berjaya Berdaulat

Jika anda inginkan maklumat berkenaan sejarah dan makna disebalik bendera negeri Johor anda boleh lawat artikel kami yang bertajuk – Bendera Johor : Sejarah & Makna Bendera

Bantu kami share artikel ini: