BBQ Lamb KL Kemensah – Makan Sambil Rendam Kaki!
Kalau anda dah bosan makan di restoran biasa dan nak cuba pengalaman makan di tempat yang unik, BBQ Lamb KL Kemensah adalah destinasi pilihan yang wajib anda cuba.
Lokasinya pun tak jauh, betul-betul dekat Ampang, Selangor.
Di sini anda boleh makan sambil rendam kaki di dalam air sungai tau. Kiri kanan pula pokok-pokok hijau. Fuh, memang lain macam!
Jom baca lebih lanjut apa lagi yang menarik di Restoran BBQ Lamb KL Kemensah ini.
BBQ Lamb KL Kemensah
BBQ Lamb KL Kemensah adalah sebuah restoran BBQ yang terkenal dengan konsep “river dining” atau makan di dalam sungai. Restoran ini diasaskan oleh Encik Zainuddin Yatim bersama isterinya, Puan S.ibariyanurmi.
Dengan konsepnya yang unik, restoran ini berjaya menarik perhatian ramai termasuklah pelancong dari luar negara.
Aliran air yang jernih, bunyi deruan sungai dan udara segar semula jadi membuatkan sesi makan di sini lebih santai dan terasa seperti berkelah.
Bagi pengunjung yang tidak mahu basah, anda boleh makan di kawasan yang disediakan berhampiran sungai.
Pilihan hidangan yang ditawarkan adalah hidangan BBQ yang semestinya memikat selera. Harganya pun sangat berpatutan.
Lokasi & Waktu Operasi
Alamat: 19, Jalan Taman Zooview, Kampung Kemensah, 68000 Ampang, Selangor, Malaysia (Berdekataan Zoo Negara, 5 minit menaiki kereta)
Waktu Operasi:
- Isnin & Selasa: 12.00 tengah hari – 8.00 malam
- Rabu hingga Sabtu: 12.00 tengah hari – 7.00 malam
- Ahad: 10.00 pagi – 10.00 malam (Last call pada jam 7.00 malam)
Lokasi restoran ini memang sangat dekat dengan Zoo Negara. Anda boleh guna aplikasi navigasi seperti Google Maps atau Waze untuk membantu anda mencari jalan.
Sedikit peringatan, laluan ke BBQ Lamb KL Kemensah agak sempit dan berliku selepas melepasi Zoo Negara. Pastikan anda berhati-hati juga kerana terdapat banyak kereta yang diparkir di tepi jalan.
NOTA: Anda disarankan untuk membuat tempahan awal kerana tempat duduk adalah terhad dan restoran ini sering penuh terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
BACA JUGA: KLIA Jungle Boardwalk – Tempat Menarik di KLIA
Menu di BBQ Lamb KL Kemensah
Mesti tak sabar nak tahu menu apa yang ada di sini kan?
Untuk pengetahuan anda, BBQ Lamb KL Kemensah menawarkan pelbagai pilihan menu BBQ dan hidangan barat.
Antara menu utama di sini ialah daging kambing, ayam, itik, lembu dan makanan laut yang dipanggang dengan perapan istimewa. Kemudian, dihidangkan bersama pelbagai sos seperti BBQ, ranch, tartar dan sambal belacan.
Selain itu, BBQ Lamb KL Kemensah turut menyediakan pelbagai set hidangan yang lengkap dengan lauk sampingan seperti nasi, sup, coleslaw, wedges, buah-buahan koktel, dan minuman refill tanpa had untuk setiap pelanggan.
Bagi penggemar makanan laut, terdapat pilihan seperti udang segar, ketam lembut, sotong dan salmon yang dipanggang segar dan dihidangkan bersama set lengkap yang sama.
Restoran ini juga menawarkan menu barat seperti chicken chop dan tortilla bersama sayuran. Memang sesuailah untuk mereka yang mahukan variasi selain BBQ.
Pendek kata, menu di BBQ Lamb KL Kemensah sangat pelbagai dan memenuhi citarasa pelanggan yang ingin menikmati daging panggang, makanan laut segar serta hidangan barat dalam suasana unik di dalam sungai.
Memang berbaloi!
Apa yang menarik di BBQ Lamb KL Kemensah?
1. Pengalaman Makan Dalam Sungai
Apabila berkunjung ke restoran ini, anda boleh pilih untuk menikmati hidangan BBQ sambil duduk dan rendam kaki di dalam sungai yang cetek.
Selain itu, suasana alam semula jadi memberikan ketenangan dan pengalaman makan yang sangat unik serta sukar didapati di tempat lain.
2. Pilihan Menu yang Pelbagai
Restoran ini menawarkan pelbagai pilihan menu untuk dinikmati. Semua hidangan diperap dengan ramuan istimewa dan dihidangkan bersama pelbagai jenis sos. Sekain sedap, harganya pun sangat berpatutan.
3. Portion Hidangan Besar & Sesuai Untuk Berkongsi
Set BBQ di sini hadir dalam beberapa saiz (kecil, sederhana, besar, XL) dan boleh dikongsi antara 2 hingga 4 orang. Ini menjadikannya sangat berbaloi untuk keluarga atau kumpulan rakan. Setiap hidangan lengkap dengan nasi, sup, buah, koktel dan minuman refill tanpa had.
4. Tempat Mesra Keluarga & Kanak-Kanak
BBQ Lamb KL Kemensah sesuai untuk semua peringkat umur dan sangat mesra keluarga. Kanak-kanak pasti seronok bermain air sungai sambil menunggu makanan, manakala ibu bapa boleh bersantai menikmati hidangan dalam suasana santai.
5. Kemudahan Lengkap
Restoran ini menyediakan kemudahan asas seperti surau, tandas lelaki dan wanita, serta tempat letak kereta (walaupun terhad).
Tips/Info Penting
- Tempahan awal sangat digalakkan kerana restoran sering penuh terutama pada hujung minggu.
- Bawa kasut getah atau sandal kerana anda perlu berjalan di dalam sungai berbatu yang mungkin tidak selesa jika berkaki ayam.
- Perkhidmatan dan kebersihan kadangkala menjadi isu mengikut ulasan pengunjung, jadi bersedialah dengan pengalaman yang lebih santai dan ‘nature-based’.
- Tidak mesra warga emas atau OKU kerana laluan ke sungai agak curam dan licin.
- Bawa baju lebih terutamanya untuk kanak-kanak yang ingin bermain di kawasan sungai.
BACA JUGA: Senarai Cat Cafe di Malaysia 2025 (KL & Selangor)
Maklumat Lanjut
Untuk dapatkan info terkini dan maklumat lanjut, anda boleh layari https://kemensahbbqlamb.com/ dan ikuti Facebook Bbq Lamb KL Kemensah dan Tiktok bbqlambklkemensah