Cara Memohon Pertukaran Ujrah & Penangguhan Bayaran Balik PTPTN

bayaran balik ptptn ujrah
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Ingin membuat penangguhan bayaran balik PTPTN? Atau ingin memohon pertukaran ujrah PTPTN?

Berikut dikongsikan segala maklumat terkini yang perlu anda tahu tentang cara-cara memohon pertukaran Ujrah dan macam mana untuk membuat penangguhan bayaran balik pinjaman anda.

Cara Memohon Pertukaran Ujrah

Sejak Disember 2008, PTPTN telah menukar bentuk pinjaman konvensional kepada Pinjaman Ujrah yang patuh syariah.

Walau bagaimanapun, pinjaman konvensional yang dibuat sebelum Disember 2008 tidak bertukar menjadi Pinjaman Ujrah secara automatik.

Sekiranya peminjam dana PTPTN mahu menjadikan pinjaman mereka patuh syariah, peminjam harus memohon pertukaran pinjaman daripada konvensional kepada Pinjaman Ujrah. 

Pertukaran ini boleh menjimatkan kos pembayaran balik PTPTN antara 47% hingga 49%.

Ini kerana pinjaman konvensional PTPTN mengenakan kadar faedah 3%, manakala Pinjaman Ujrah hanya mengenakan kos upah 1% sahaja.

Proses pertukaran ini dibenarkan sejak 1 Ogos 2009 lagi.

Bagaimana Proses Pertukaran Boleh Dibuat?

Proses pertukaran ini akan melibatkan dua peringkat, iaitu:

  1. Permohonan pinjaman sekali lagi dalam bentuk Pinjaman Ujrah. Peminjam boleh mengunjungi mana-mana kaunter PTPTN seluruh negara untuk tujuan ini. Dokumen tawaran baharu untuk pertukaran akan diberikan dan perlu dikembalikan sebelum tamat tempoh sah laku iaitu dalam masa 14 hari.
  2. Tandatangan dokumen pinjaman baharu dengan jumlah pinjaman yang baharu dan Jadual Bayaran Balik (JBB) baharu juga.

Langkah-langkah yang perlu dibuat:

  • Muat turun Borang Kemas Kini Maklumat di portal rasmi PTPTN (http://www.ptptn.gov.my) atau boleh ke mana-mana kaunter PTPTN untuk ambil borang.
  • Hantar Borang Kemas Kini Maklumat ke kaunter PTPTN.
  • Peminjam akan diberikan 2 set dokumen tawaran Ujrah. Setiap dokumen ini perlu dilekatkan setem hasil RM10.
  • Serah semula dokumen lengkap di kaunter PTPTN atau poskan.
  • Bayaran balik boleh mula dibuat mengikut Jadual Bayaran Balik (JBB) baharu.

Proses ini perlu dilakukan kerana kedua-dua pinjaman berada di bawah prinsip yang berbeza iaitu konvensional dan syariah.

Adakah Semua Peminjam Layak Membuat Pertukaran Kepada Pinjaman Ujrah?

Jika anda ialah peminjam konvesional yang belum lagi bertukar kepada Pinjaman Ujrah, maka anda layak membuat permohonan pertukaran.

Malah, kalau peminjam sudah dikenakan tindakan penguatkuasaan pun, masih lagi layak membuat pertukaran ini, dengan beberapa syarat seperti dijelaskan di bawah.

Bagaimana pula kalau memiliki lebih daripada satu pinjaman? Misalnya, untuk kali pertama membuat pinjaman konvensional untuk ijazah, manakala kali kedua membuat Pinjaman Ujrah untuk sarjana.

Bagi kes seperti ini, peminjam diwajibkan membuat penggabungan pinjaman sebelum memohon pertukaran kepada skim Ujrah. Hal ini telah dikuatkuasakan sejak 1 Oktober 2014.

Siapa Pula yang Tidak Layak Membuat Pertukaran?

Ada dua keadaan peminjam yang tidak layak membuat pertukaran, iaitu:

  1. Mereka yang menerima Wang Pendahuluan Pendidikan (WPP) sahaja, tetapi bukan peminjam.
  2. Peminjam yang ada dua pinjaman, satu konvensional dan satu lagi Ujrah. Tetapi peminjam tidak bersetuju untuk membuat penggabungan kedua-dua pinjaman.

Peminjam yang Menerima Notis Tuntutan /Peringatan Terakhir dan Peminjam yang Disenarai Hitam

Kedua-dua kategori peminjam ini juga layak memohon bertukar kepada Pinjaman Ujrah. Mereka dikira sebagai peminjam yang dalam proses tindakan penguatkuasaan atau telah dikenakan tindakan.

Bagi yang telah menerima notis peringatan terakhir atau tuntutan, boleh menjelaskan sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah tunggakan, semua kos penguatkuasaan dan kos pelbagai (sekiranya ada). Ini dikira sebagai komitmen pembayaran oleh peminjam.

Selepas membuat pembayaran, peminjam boleh memaklumkan kepada PTPTN untuk proses pertukaran kepada Ujrah. 

Begitu juga peminjam yang disenarai hitam, mereka perlu membayar sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah tunggakan.

Nama mereka akan dikeluarkan daripada senarai hitam selepas itu, dan mereka boleh memulakan proses pertukaran kepada Ujrah.

Penangguhan Bayaran Balik PTPTN

Apabila membayar balik pinjaman PTPTN, peminjam perlu membayar pokok pinjaman, kos upah, perlindungan takaful, cukai hasil dan lain-lain pembayaran seperti yang dinyatakan dalam Dokumen Tawaran Pinjaman.

Bayaran balik sepatutnya bermula pada bulan ke-13 selepas tamat pengajian, walaupun notis belum sampai ke tangan peminjam. Oleh itu, peminjam ada tempoh 12 bulan sebelum kos upah (ujrah) mula dikenakan. 

Katakanlah selepas 12 bulan, peminjam masih belum dapat membayar balik PTPTN kerana sebab-sebab tertentu, maka bolehlah memohon tangguh.

Namun, PTPTN memberi kelayakan penangguhan kepada empat golongan sahaja iaitu: 

  1. Mereka yang tamat pengajian, kemudian sambung belajar lagi sepenuh masa. Tempoh penangguhan ialah sehingga pengajian terkini tamat.
  2. Mereka yang mengikuti kursus berkembar dengan institusi luar negara (2+1 atau 2+2). Seperti yang diketahui, mereka ini mendapat pinjaman PTPTN untuk tempoh di dalam negara sahaja, tetapi tidak di luar negara. Jadi sepanjang tempoh belajar di luar negara, mereka diberi tangguh.
  3. Mereka yang terpaksa ‘extend’ atau mengambil semester tambahan/lanjutan. Tempoh penangguhan hanya mengikut semester yang diizinkan oleh universiti masing-masing.
  4. Tidak bekerja. Tempoh penangguhan boleh dimohon setiap 6 bulan, selama 24 bulan keseluruhan. Jadi peminjam tidak boleh leka dan berasa selesa tetapi tetap perlu berusaha mencari pekerjaan dan membayar pinjaman.

Selain 4 kategori ini, PTPTN tidak akan memberi kelonggaran.

Cara Memohon Penangguhan Bayaran Balik PTPTN

Ada dua cara untuk memohon penangguhan:

  1. Tulis surat rasmi kepada PTPTN untuk meminta penangguhan, atau 
  2. Muat turun borang penangguhan bayaran balik di sini.

Beberapa dokumen sokongan perlu disediakan untuk tujuan ini:

  • Mereka yang menyambung pengajian, sertakan surat tawaran pengajian terkini dari IPT tempat sambung pengajian. Surat ini mesti menyatakan tarikh sebenar tamat pengajian;
  • Mereka yang belum mendapat kerja, sediakan surat akuan sumpah tidak bekerja;
  • Sertakan juga penyata KWSP terkini atau surat pengesahan KWSP menunjukkan peminjam belum mencarum.

Permohonan yang tidak lengkap tidak akan diproses.

Untuk maklumat lanjut tentang proses pertukaran Ujrah dan penangguhan bayaran balik PTPTN, anda boleh rujuk portal rasmi PTPTN di sini.

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut