Anda suka makan bayam? Memang tak dinafikan sayur yang satu ini memang ramai penggemarnya. Tambahan pula, harganya sangat berpatutan dan mudah untuk dijumpai di pasar raya.
Nak memasaknya pun tidak rumit. Ia boleh disediakan dengan cara merebus, tumis air atau digoreng ringkas.
Ia juga merupakan antara sayuran yang ramai syorkan untuk menambah darah. Namun, apa lagi kebaikan yang terkandung dalam sayur ini?
Ayuh kita kenali sayur bayam dengan lebih dekat.
Jenis Bayam Yang Terkenal di Malaysia
1.Bayam Hijau Berdaun Bulat
- Mempunyai nama lain iaitu Round Green Amaranth.
- Memiliki daun berbentuk bulat dan berwarna hijau.
- Mengandungi tahap klorofil dan betakarotin yang lebih tinggi daripada bayam merah.
2. Bayam Hijau Berdaun Lonjong
Turut digelar sebagai Pointed Green Amaranth, bayam daun tajam atau bayam daun panjang.
3. Bayam Merah
- Juga dikenali sebagai Amaranth All Red
- Mempunyai daun dan tangkai yang berwarna merah keunguan secara keseluruhannya.
- Daun berbentuk bulat
- Memiliki kandungan antosianin dan betasianin yang lebih tinggi berbanding bayam hijau
4. Bayam Merah Hijau
- Mempunyai nama lain seperti bayam belang, bayam batik dan Red Green Spinach.
- Terhasil daripada persilangan antara bayam hijau dan merah.
- Sayuran ini terdiri daripada dua warna iaitu warna merah di bahagian tengah daun dan warna hijau di bahagian tepi daun. Tangkainya pula cenderung berwarna hijau.
- Seperti bayam merah, sayur ini juga akan mengeluarkan air berwarna ungu kemerahan ketika dimasak kerana pigmen antosianin yang tinggi.
5. Bayam Brazil
- Dikenali sebagai Brazillian Spinach kerana berasal dari Brazil dan negara sekitar benua Amerika Selatan.
- Daun berwarna hijau dan kerinting.
- Berbanding kebanyakan jenis bayam yang dibiak menggunakan biji benih, sayuran ini dibiak dengan menggunakan keratan batang.
- Merupakan antara sayuran yang popular ditanam di rumah kerana mudah membiak, senang dijaga dan tumbuh dengan cepat.
6. Bayam Duri
- Juga digelar sebagai bayam liar, bayam hutan atau Wild Amaranth.
- Sering dijumpai di kawasan hutan dan tanah terbiar.
- Digunakan secara tradisional untuk merawat demam campak.
- Mempunyai bentuk daun yang bujur dengan hujung daun runcing.
- Sesuai dengan namanya, batang, di hujung daun dan bunga bagi tumbuhan ini memiliki duri halus.
- Membiak melalui biji benih dan keratan batang.
7. Bayam Pasir
- Turut dikenali dengan nama lain seperti bayam kukur atau Slender Amaranth.
- Tumbuh subur di kawasan berpasir
- Boleh dijumpai sebagai tumbuhan liar dan turut ditanam sebagai sayuran
- Daunnya berwarna hijau, berbentuk lebar dan bujur.
- Sayur ini sering direbus dan digunakan secara tradisional untuk merawat cacing dalam perut.
- Sayuran ini membiak menerusi biji benih atau disebar melalui angin.
Khasiat & Nutrisi Bayam
Secawan bayam mampu membekalkan anggaran nutrisi seperti berikut :
- 0.86 protein
- 29.7 mg kalsium
- 0.81 g zat besi
- 24 mg magnesium
- 167 mg kalium
- 141 mikrogram vitamin A
- 58 mcg folat
Di samping itu, sayur ini juga padat dengan vitamin dan mineral penting lain seperti vitamin K, serat, fosforus, dan thiamine untuk kesihatan tubuh.
Ayuh sama-sama kita lihat manfaatnya.
Melawan Penyakit Jantung
Daun bayam didapati mengandungi kompaun nitrate (NO3) yang tinggi. Beberapa kajian menunjukkan bahawa kompaun ini membantu dalam menstabilkan tekanan darah dan mengurangkan risiko sakit jantung.
Kajian lain juga menunjukkan bahawa pengambilan sayur ini dapat meningkatkan kesihatan jantung.
Mengurangkan Risiko Sesetengah Jenis Kanser
Terdapat dua komponen khas yang dikenalpasti dalam sayur ini iaitu MGDG dan SQDG.
Dalam sebuah kajian, kedua-dua kompaun ini telah menunjukkan potensi dalam memperlahankan pertumbuhan dan mengurangkan saiz tumor di serviks.
Kajian lain turut menyebut bahawa sayur ini mempunyai potensi dalam mengurangkan potensi kanser prostat dan kanser payudara.
Potensi antikanser ini turut dikaitkan dengan kandungan antioksida yang tinggi dalam sayuran ini.
Sumber Zat Besi Yang Baik
Bagi individu yang mempunyai masalah kekurangan darah merah, anda pasti pernah dengar bahawa sayur bayam boleh membantu.
Ini adalah disebabkan kandungan zat besinya yang tinggi.
Mineral ini sangat penting bagi menghasilkan sel darah merah yang sihat dan menyokong sistem pertahanan tubuh.
Ibu hamil juga digalakkan untuk amalkan sayur ini untuk perkembangan bayi yang sihat.
Baik Untuk Kesihatan Mata
Sayur ini juga kaya dengan zeaxanthin dan lutein, iaitu karotenoid yang memainkan peranan dalam mencegah kerosakan makular dan katarak.
Mengekalkan Kesihatan Tulang
Kurang pengambilan vitamin K sering dikaitkan dengan risiko tulang rapuh. Oleh, anda sangat disarankan untuk nikmati sayur yang padat dengan vitamin K ini bersama seisi keluarga bagi menjaga kesihatan serta perkembangan tulang.
Dengan pengambilan vitamin K yang mencukupi, ia dapat meningkatkan penyerapan kalsium dan sekaligus mengekalkan ketumpatan tulang.
Pada masa yang sama, bayam juga merupakan antara sayuran yang mempunyai kandungan kalsium yang tertinggi.
Dengan pelbagai khasiat yang terkandung dalam sayur ini, memang rugi jika anda tidak nikmatinya bersama seisi keluarga setiap hari.
Ia padat dengan pelbagai mineral dan vitamin penting seperti kalsium, fosforus, vitamin A, C dan K untuk kesihatan menyeluruh.
Sayur ini juga sesuai untuk dimakan kerana teksturnya yang lembut selepas dimasak dan mudah untuk dihadam. Ia juga boleh disediakan dalam bentuk puri untuk diberikan kepada bayi.
Sumber : Public Health Malaysia, Medical News Today, Healthline, Instagram Faiz Fadzli