Anak Lambat Bercakap? Ini Yang Ibu Bapa Perlu Tahu

anak lambat bercakap
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Anak lambat bercakap sering menjadi kebimbangan utama dalam kalangan ibu bapa, terutamanya apabila anak tidak menunjukkan perkembangan bahasa mengikut usia.

Menurut anggaran, kira-kira 10 peratus daripada 400,000 kanak-kanak di negara ini mengalami masalah kelewatan pertuturan atau speech delay, yang boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk berkomunikasi dengan ibu bapa serta individu lain di sekeliling.

Secara umumnya, perkembangan pertuturan berlaku mengikut peringkat umur. Sebagai contoh, pada usia 12 tahun, kebanyakan bayi sudah boleh menyebut perkataan mudah seperti “mama” dan “papa”, serta satu atau dua perkataan lain.

Namun, jika anak anda masih belum menunjukkan kemahiran ini, mungkin sudah tiba masanya untuk memberi perhatian lebih serius terhadap perkembangan bahasanya.

Artikel ini akan mengupas punca, tanda-tanda awal dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi membantu masalah anak lambat bercakap.

Baca juga: Screen Time Untuk Anak : Had Waktu & Kesannya kepada Anak

Apa itu Anak Lambat Bercakap

anak lambat bercakap

Speech delay atau masalah anak lambat bercakap merujuk kepada keadaan di mana perkembangan pertuturan kanak-kanak berlaku lebih lambat berbanding tahap perkembangan normal mengikut umur mereka.

Setiap kanak-kanak sememangnya berkembang mengikut kadar yang berbeza, namun apabila terdapat kelewatan yang ketara dalam kebolehan bercakap seperti lambat menyebut perkataan pertama, sukar membentuk ayat ringkas, atau kurang memberi respon secara verbal.

Punca Anak Lambat Bercakap

Terdapat banyak kemungkinan punca berlakunya kelewatan pertuturan dan bahasa. Antara yang paling lazim ialah:

  • Kehilangan pendengaran, termasuk kanak-kanak yang kerap mengalami jangkitan telinga atau yang mengalami masalah pendengaran
  • Gangguan Spektrum Autisme (ASD) atau Sindrom Fragile X
  • Gangguan genetik seperti Sindrom Down
  • Ketidakupayaan intelektual
  • Kecederaan otak
  • Kelahiran pramatang atau berat badan lahir yang rendah

Simptom & Gejala

Umur 18 Tahun

  • Guna kurang daripada 3 hingga 20 perkataan mudah (contoh: papa, mama, bola)
  • Tidak menunjukkan jari untuk tunjuk keinginan atau minat
  • Tidak boleh ikut arahan mudah satu langkah (contoh: “ambil botol”, “bagi papa”)

Umur 2 hingga 3 Tahun

  • Tidak boleh sebut nama anggota badan atau benda biasa
  • Tidak gunakan frasa 2 hingga 4 perkataan (contoh: “tendang bola”, “saya makan biskut”, “mama, tolak kereta biru”)
  • Tidak boleh jawab soalan mudah masa sekarang (contoh: “buat apa tu?”, “bola kat mana?”)
  • Tidak boleh ikut arahan dua langkah yang berkaitan (contoh: “ambil tuala dan pergi mandi”)

Umur 4 hingga 5 Tahun

  • Guna ayat yang lebih pendek berbanding rakan sebaya
  • Tidak boleh cerita kisah mudah atau terangkan rutin harian (contoh: cara buat roti, pergi tandas)
  • Perbendaharaan kata terhad – kurang tahu nama benda, perbuatan, bentuk, warna, haiwan, arah (contoh: bawah, depan) dan konsep mudah (contoh: panjang/pendek)
  • Tidak guna atau faham kata ganti nama (contoh: saya, awak, dia)
  • Susah jawab soalan “WH” seperti siapa, apa, mana, bila, kenapa

Untuk Semua Peringkat Umur

  • Hilang keupayaan bercakap yang sebelum ini sudah dikuasai
Kredit: Public Health Malaysia

Beza Speech Delay dan Speech Disorder

AspekSpeech DelaySpeech Disorder
DefinisiKelewatan perkembangan pertuturan berbanding kanak-kanak seusiaMasalah yang lebih mendalam dalam menghasilkan bunyi pertuturan
SifatBersifat sementara dan biasanya mengikuti corak perkembangan normalBersifat kekal atau kompleks – tidak mengikuti corak pertuturan biasa
Contoh KesKanak-kanak 3 tahun bercakap seperti kanak-kanak 2 tahunKanak-kanak sukar menyebut bunyi tertentu dengan jelas, walaupun sudah mencuba
Punca BiasaBoleh disebabkan oleh pembelajaran dua bahasa serentak atau persekitaranBerkaitan dengan gangguan fonologi atau neurologi
Cara PertuturanLebih perlahan, guna ayat ringkas, tapi masih ikut susunan perkembanganSusunan bunyi tidak tepat dan sukar difahami, walaupun oleh ahli keluarga
Tahap KefahamanBiasanya boleh memahami dengan baik walaupun lambat bercakapMungkin juga ada kesukaran dalam memahami atau menyusun bunyi
PrognosisBoleh diatasi dengan masa dan sokongan seperti terapi pertuturanMungkin perlukan rawatan jangka panjang dan intervensi khas

Cara Mengatasi Anak Lambat Bercakap

1. Bermain Setiap Hari

Bermain adalah cara paling berkesan untuk merangsang pertuturan kanak-kanak. Melalui aktiviti bermain seperti mengenal warna, haiwan, atau aksi, kanak-kanak belajar menggunakan bahasa untuk menamakan objek dan menerangkan tindakan.

Luangkan sekurang-kurangnya 30 minit hingga satu jam sehari bersama anak tanpa gangguan seperti TV atau telefon, kerana perhatian ibu bapa adalah “mainan” terbaik untuk membantu anak bercakap.

2. Pastikan Persekitaran Tenang dan Kurang Gangguan

Elakkan bunyi latar seperti televisyen semasa sesi pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa TV yang berterusan boleh melambatkan perkembangan bahasa kerana ibu bapa cenderung bercakap kurang dengan anak.

Kanak-kanak belajar bertutur dengan baik apabila mereka sering diajak berbual.

3. Gunakan Kaedah ‘Self-Talk’

Salah satu cara paling mudah adalah dengan bercakap tentang apa yang anda sedang lakukan. Contohnya, semasa bermain bola: “Ini bola. Mama baling bola.

Bola ni warna biru.” Ini membantu anak mendengar dan memahami perkataan dalam konteks sebenar. Gunakan ayat pendek dan mudah agar mudah difahami.

4. Buat Latihan Sebutan (Practice Sounds)

Jika anak sukar menyebut bunyi tertentu seperti “f”, galakkan mereka untuk melatih bunyi itu sahaja terlebih dahulu.

Contohnya, mulakan dengan sebutan seperti “f…f…f”, kemudian teruskan dengan suku kata seperti “fa-fa-fa” atau “fi-fi-fi”, sebelum mencuba perkataan sebenar seperti “fish” atau “fan”. Latihan secara konsisten akan membantu anak lebih yakin.

5. Fokus pada Peningkatan Kecil

Walaupun anak belum boleh bertutur dengan baik, beri pujian atas pencapaian lain seperti memungut mainan, menunjukkan isyarat, atau pergi ke tandas sendiri.

Ini akan memberi galakan dan membina keyakinan diri mereka secara keseluruhan.

6. Membaca Buku

Membaca buku bergambar bersama anak ialah aktiviti yang menyeronokkan dan mendidik. Gunakan buku yang penuh dengan warna dan gambar menarik.

Tanyakan soalan semasa membaca dan galakkan anak untuk menyebut bunyi haiwan atau isi tempat kosong. Ini membantu meningkatkan pemahaman, memori, dan tumpuan anak.

7. Ajarkan Emosi dan Perasaan

Kanak-kanak yang belum fasih bercakap cenderung mudah marah atau menangis kerana tidak tahu meluahkan perasaan. Ajar mereka mengenal emosi asas seperti gembira, sedih, marah, atau takut.

Contohnya, “Tak apa rasa takut, doktor nak periksa saja.” Ini bukan sahaja bantu komunikasi, malah menyokong perkembangan emosi mereka.

8. Ajarkan Warna Secara Bertahap

Usia 18 hingga 29 bulan adalah tempoh sesuai untuk memperkenalkan warna. Mulakan dengan warna asas seperti merah, biru, hijau, dan kuning.

Gunakan lagu, blok berwarna, atau aktiviti mewarna. Ulang perkataan warna secara konsisten agar anak mudah ingat dan faham.

9. Gunakan Bahasa Isyarat Asas

Jika anak belum boleh menyebut perkataan, ajarkan bahasa isyarat asas seperti “lagi”, “tolong”, atau “beri”.

Ini bukan melambatkan pertuturan, sebaliknya membantu anak berkomunikasi dan mengurangkan rasa frustrasi. Lama-kelamaan, mereka akan beralih kepada pertuturan sebenar apabila sudah bersedia.

10. Letakkan Barang di Tempat Sukar Capai

Strategi ini digunakan oleh ahli terapi untuk menggalakkan anak menggunakan kemahiran komunikasi.

Letakkan mainan atau makanan kegemaran mereka di tempat yang boleh dilihat tetapi tidak boleh dicapai.

Ini akan mendorong anak meminta bantuan secara verbal atau dengan isyarat untuk mendapatkan apa yang diinginkan.

11. Menyanyi Lagu Kanak-Kanak

Lagu kanak-kanak dan sajak membantu merangsang memori, pemahaman bunyi, dan sebutan.

Menyanyi bersama anak adalah aktiviti yang menyeronokkan dan merangsang pertuturan kerana rentaknya yang berulang dan mudah diingati.

12. Gunakan Rutin Harian Sebagai Peluang Belajar

Setiap aktiviti harian seperti mandi, makan, atau tukar pakaian boleh digunakan untuk memperkenalkan konsep baru.

Ulang perkataan seperti “air panas”, “pakai baju”, “gosok gigi” semasa melakukan aktiviti tersebut.

Pengulangan dalam rutin harian membantu anak memahami dan menggunakan perkataan tersebut dengan lebih baik.

Baca juga: Ketagihan Gajet Pada Anak Kecil & Remaja – Punca, Kesan & Tips

    Bila Perlu Jumpa Doktor?

    Jika anak anda tidak mencapai beberapa pencapaian perkembangan dalam julat umur yang disyorkan, itu bukanlah sebab untuk panik serta-merta.

    Setiap anak adalah berbeza, dan perkembangan bahasa boleh berbeza-beza antara seorang kanak-kanak dengan yang lain.

    Namun begitu, terdapat beberapa tanda amaran yang mungkin menunjukkan kelewatan dan perlu diberi perhatian:

    • Tiada bunyi babbling (seperti “ba-ba”, “da-da”) semasa bayi
    • Tidak menggunakan isyarat seperti melambai atau menunjuk menjelang usia 12 bulan
    • Tidak memberi respon apabila dipanggil nama pada usia 12–15 bulan
    • Tiada perkataan tunggal menjelang 16–18 bulan
    • Tidak menunjukkan minat terhadap buku atau lagu
    • Hanya berkomunikasi dengan menangis atau menjerit sekitar usia 24 bulan
    • Tidak memberi respon apabila ditanya soalan atau diberi arahan pada usia 2 tahun
    • Tidak menggunakan frasa dua perkataan antara usia 24–30 bulan (contoh: “nak susu”, “main bola”)
    • Menunjukkan kemunduran dalam kemahiran bahasa atau sosial yang telah dikuasai

    Jika anak anda menunjukkan satu atau lebih daripada tanda-tanda ini, sebaiknya berjumpa pakar untuk penilaian awal.

    Kesimpulan

    Kesimpulannya, masalah anak lambat bercakap bukanlah sesuatu yang perlu dipandang ringan, namun ia juga bukan satu hukuman atau kegagalan sebagai ibu bapa.

    Setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza, dan ada antara mereka yang hanya memerlukan sedikit masa atau rangsangan tambahan untuk mula bertutur.

    Apa yang paling penting ialah ibu bapa peka terhadap tanda-tanda kelewatan pertuturan dan bertindak awal jika perlu.

    Dengan pendekatan yang betul seperti bermain secara aktif, membaca buku bersama, bercakap dengan anak secara konsisten, dan mendapatkan bantuan pakar jika diperlukan, anak anda mempunyai peluang cerah untuk mengatasi masalah ini.

    FAQ Tentang Speech Delay

    1. Apa maksud anak lambat bercakap atau speech delay?

    Speech delay merujuk kepada keadaan di mana perkembangan pertuturan kanak-kanak berlaku lebih lambat daripada tahap normal umur mereka. Ini termasuk kelewatan dalam menyebut perkataan, membentuk ayat, atau memahami dan memberi respon secara lisan.

    2. Bilakah ibu bapa patut risau jika anak belum bercakap?

    Jika anak tidak mengeluarkan sebarang perkataan menjelang umur 18 bulan, atau masih belum boleh menyambung dua perkataan menjelang umur 2 tahun, ibu bapa digalakkan untuk mendapatkan penilaian daripada pakar pediatrik atau ahli terapi pertuturan.

    3. Apa punca biasa anak lambat bercakap?

    Beberapa punca utama termasuk:
    – Masalah pendengaran (termasuk jangkitan telinga berulang)
    – Gangguan spektrum autisme (ASD)
    – Sindrom genetik seperti Sindrom Down atau Fragile X
    – Kecederaan otak atau kelahiran pramatang
    – Ketidakupayaan intelektual

    4. Adakah speech delay sama dengan autism?

    Tidak semestinya. Walaupun speech delay boleh menjadi salah satu tanda awal autism, tidak semua kanak-kanak yang lambat bercakap menghidap autism. Penilaian profesional diperlukan untuk diagnosis yang tepat.

    5. Apa beza antara speech delay dan language delay?

    Speech delay: Masalah dalam menghasilkan bunyi pertuturan dengan betul.
    Language delay: Masalah dalam memahami bahasa (receptive) atau menggunakan bahasa (expressive) untuk berkomunikasi.

    Kanak-kanak boleh mengalami salah satu atau kedua-duanya sekali.

    6. Bagaimana cara membantu anak yang lambat bercakap di rumah?

    – Sering berinteraksi dan berbual dengan anak walaupun mereka belum bercakap
    – Baca buku bersama-sama
    – Gunakan isyarat dan mimik muka untuk bantu pemahaman
    – Kurangkan masa skrin dan galakkan aktiviti komunikasi langsung

    7. Perlukah anak jalani terapi pertuturan?

    Jika pakar mengesahkan terdapat kelewatan, terapi pertuturan boleh sangat membantu. Ahli terapi pertuturan akan merancang latihan khusus mengikut tahap dan keperluan anak.

    8. Bolehkah anak pulih sepenuhnya daripada speech delay?

    Ramai kanak-kanak dengan speech delay boleh mencapai kemahiran bertutur yang normal dengan bantuan awal dan sokongan berterusan. Prognosis bergantung kepada punca kelewatan dan sejauh mana intervensi dijalankan.

    Sumber: Better Speech, National University Hospital

    Follow eCentral di WhatsApp Channel
    Ikut

    Artikel berkaitan: