Allahumma Yassir Wala Tu’assir – Maksud Doa & Kelebihannya
Doa adalah merupakan senjata umat Islam. Apabila memiliki sebarang hajat, kita dianjurkan untuk banyakkan berdoa dan memohon kepada Allah agar ditunaikan apa yang kita hajatkan.
“Allahumma Yassir Wala Tu’assir” adalah merupakan salah satu doa yang baik untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Dengan potongan ayat yang ringkas, ia amat mudah dihafal dan dibaca setiap hari.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya.
BACA JUGA: 30+ Doa Bulan Ramadan & Zikir Untuk Diamalkan (Rumi & Arab)
Maksud Doa Allahumma Yassir Wala Tu’assir
اَللّهُمَّ يَسِّرْ وَلاَ تُعَسِِّرْ وَتَمِِّمْ بِالْخَیْر
Bacaan Rumi: Allahumma Yassir Wala Tu’assir Wa Tammim Bil Khoir
Maksud: Ya Allah permudahkanlah jangan dipersulitkan dan Engkau akhirkanlah dengan kebaikan.
ATAU
“ربي يسر ولا تعسر ,ربي تمم بالخير”
“Ya Allah permudahkanlah jangan dipersulitkan dan Engkau akhirkanlah dengan kebaikan.”
Doa ini merupakan permohonan kepada Allah agar memudahkan urusan dan menghindarkan daripada segala kesulitan serta memohon kebaikan ke atas setiap urusan yang dilakukan.
Doa Dipermudah Urusan – Berdasarkan Hadis
Selain doa di atas, terdapat satu doa yang mempunyai maksud lebih kurang sama juga dianjurkan untuk dibaca agar dipermudahkan segala urusan kita. Ia adalah merupakan doa Rasulullah SAW yang ma’thur.
Daripada Anas R.A, Rasulullah SAW bersabda:
اللَّهُمَّ لا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Bacaan Rumi: Allahumma Laa Sahla Illa Maa Ja’altahu Sahla, Wa Anta Taj’alul Hazna Sahlan Idza Syi`Ta Sahla
Maksud: Ya Allah. Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Kamu kehendaki dengan kemudahan.
– Riwayat Ibn Hibban (974), Ibnu al-Sunni dalam, ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (265)
Kelebihan Doa Allahumma Yassir Wala Tu’assir
1. Memperoleh Ketenangan Hati
Dengan berdoa seseorang akan mendapat ketenangan dalam hati. Hal ini kerana, segala kegusaran dan pengharapan diadukan kepada Allah SWT. Apabila berada dalam keadaan tenang, ia membantu seseorang untuk menghadapi apa jua cabaran hidup dengan baik.
2. Mengukuhkan Iman
Doa membawa seseorang menjadi lebih dekat kepada Allah SWT. Ia mewujudkan sikap kebergantungan kepada-Nya sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan. Secara tidak langsung, ia membantu mengukuhkan keimanan seseorang.
3. Diberikan Kemudahan
Salah satu kelebihan utama berdoa dengan doa diatas adalah memohon kemudahan daripada Allah dalam urusan seharian. Ini termasuk urusan peribadi, keluarga, pekerjaan, dan lain-lain.
4. Dijauhkan Daripada Kesulitan
Doa ini juga berfungsi sebagai perlindungan agar dijauhkan daripada segala kesulitan dan ujian yang berat. Secara tidak langsung ia juga merupakan permohonan perlindungan daripada perkara yang buruk.
5. Mengukuhkan Ketabahan dan Kekuatan Diri
Dengan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Allah, seseorang akan menjadi lebih kuat dan tabah dalam menghadapi dugaan. Mereka menyedari bahawa walaupun dalam situasi yang sukar, Allah sentiasa bersama dengan mereka.
Ujian Allah Mengikut Kemampuan HambaNya
Apabila berada dalam situasi yang sukar, ingatlah bahawa Allah menguji mengikut kemampuan hambaNya. Allah tidak akan memberikan ujian yang melebihi batas kemampuan seseorang hamba.
Dalam Surah Al Baqarah ayat 286, Allah berfirman:
لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ ۖ وَٱعْفُ عَنَّا وَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَآ ۚ أَنتَ مَوْلَىٰنَا فَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَٰفِرِينَ
Maksudnya:
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”
Kesimpulan
Akhir kata, banyakkanlah berdoa dan memohon kepada Allah agar diberikan kemudahan dalam setiap urusan dan dijauhkan daripada perkara yang buruk. Letakkan kebergantungan kepada Allah semata-mata dan ingatlah bahawa Allah sentiasa berada hambaNya dalam apa jua situasi.