Teka-teki mengenai siapa yang bakal mengisi kerusi Yang di-Pertua atau Speaker Dewan Rakyat terjawab apabila Datuk Johari Abdul dipilih pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang berlangsung pada 19 Disember lalu.
Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu sekaligus berikrar akan memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu dengan jujur dalam melaksanakan prosiding dan urusan dewan.
Sempena berakhirnya Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, kami ingin kongsikan serba sedikit informasi mengenai latar belakang serta profil tugas Speaker Dewan Rakyat.
Baca Juga : Maksud Kerajaan Perpaduan – Jabatan Penerangan Malaysia
Bagaimana Yang di-Pertua Dewan Rakyat Dipilih?
Yang di-Pertua Dewan Rakyat boleh dipilh di kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat ataupun bukan di kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat yang mempunyai kelayakan untuk dilantik.
Untuk makluman, Datuk Johari Abdul telah dicalonkan oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengisi jawatan yang sebelumnya digalas oleh Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Profil Tugas Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Fungsi atau Profil tugas Speaker Dewan Rakyat secara amnya adalah :
- bertanggungjawab mengawasi perjalanan mesyuarat supaya berjalan dengan lancar
- memastikan perbahasan mematuhi Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat
- membuat keputusan dan tafsiran mengenai Peraturan-peraturan Mesyuarat sekiranya berlaku pertikaian.
Namun, jawatan ini hendaklah dikosongkan atau boleh dilepaskan sekiranya :
- Dewan Rakyat mula bersidang selepas pilihan raya berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat jika beliau ahli Dewan yang dipilih
- Jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan untuk Yang di-Pertua mengosongkan jawatan tersebut.
Senarai Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Berikut merupakan senarai ahli dewan rakyat yang pernah menggalas tugas sebagai Speaker :
Nama | Tarikh Berkhidmat |
YB Dato’ Johari bin Abdul | 19 Disember 2022 – kini |
YB Tan Sri Azhar Azizan Harun | 13 Julai 2020 – 18 Disember 2022 |
YB Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof | 16 Julai 2018 – 13 Julai 2020 |
YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia | 28 April 2008 – 15 Julai 2018 |
YB Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ramli bin Ngah Talib | 22 November 2004 – 27 April 2008 |
Y.A Bhg Tun Dato’ Seri Dr Mohamed Zahir bin Haji Ismail | 14 Jun 1982 – 14 Oktober 2004 |
YB Tan Sri Datuk Dr Syed Nasir bin Ismail | 9 Januari 1978 – 16 Mac 1982 |
YB Tan Sri Datuk Haji Nik Ahmad Kamil Haji Nik Mahmood | 4 November 1974 – 19 Disember 1977 |
YB Tan Sri Dato’ Chok Mohamad Yusuf bin Sheikh Abdul Rahman | 25 November 1964 – 3 November 1974 |
YB Dato’ Syed Esa bin Alwee | 18 Mei 1964 – 24 November 1964 |
YB Dato’ Haji Mohamad Noah bin Omar | 11 September 1959 – 17 Mei 1964 |
Sumber : parlimen.gov.my