Maksud Kerajaan Perpaduan – Jabatan Penerangan Malaysia

Kerajaan Perpaduan yang terbentuk adalah langkah penting dalam menamatkan kemelut ketidaktentuan politik dan Parlimen tergantung yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah negara.

Bagaimanakah demokrasi berparlimen dijadikan asas dalam menyelesaikan kemelut parlimen tergantung ini?

Berikut dikongsikan maklumat mengenai pembentukan, fungsi, peranan serta dasar Kerajaan Perpaduan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.

Sumber infografik: Berita RTM

Maksud Kerajaan Perpaduan

Kerajaan Perpaduan merupakan satu kerajaan yang menggabungkan wakil dari pelbagai politik menuntut parti dan semua pemimpin untuk mengenepikan kepentingan politik dan parti masing-masing demi kepentingan rakyat dan negara.

Ia ditubuhkan atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ekoran negara mengalami situasi Parlimen tergantung.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan Bawah Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya 16 Disember 2022. – AFIQ HAMBALI / Pejabat Perdana Menteri

Pengenalan : Naratif Perpaduan

Yang di-Pertuan Agong berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja yang bukan sahaja melindungi agama, tetapi juga menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum.

Semua pihak perlu mengambil perhatian akan saranan Majlis Raja-Raja Melayu agar kerajaan baharu menyemai “semangat kebersamaan” dalam kalangan rakyat Malaysia dan turut melaksanakan lafaz ikrar Rukun Negara dalam semua majlis bagi meningkatkan semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan rakyat.

Semua rakyat perlu melupakan sengketa politik selepas PRU15 dan menumpukan kepada perpaduan untuk bersama dengan kerajaan bagi memulihkan negara. Tanpa perpaduan, negara tidak akan mencapai kestabilan yang mutlak, kemajuan dan keamanan yang berterusan.

Perpaduan melambangkan keharmonian kaum dan merupakan komponen penting yang mesti diperjuangkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan, bangsa dan agama walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Semua pihak perlu berhati-hati serta perlu saling memahami dan menghormati agama, budaya, bahasa dan adat masing-masing dan mengelakkan diri daripada membuat kenyataan yang bersifat mengadu domba, menghasut dan menyebar maklumat palsu terutama di media sosial yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum negara ini.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 digunakan untuk mengekang cubaan segelintir pihak yang mahu memainkan sentimen perkauman serta menyalahgunakan media sosial menyebar kandungan berbaur hasutan, fitnah dan fahaman ekstremis.

kerajaan perpaduan

Kerajaan Perpaduan merupakan wasilah yang mampu menjernihkan kesemua kehendak tuntutan rakyat keranan asas utama kerajaan perpaduan ialah semua dasar kerajaan perlu diputuskan secara permuafakatan.

Kementerian Komunikasi dan Digital bertindak membuat pemantauan berskala besar bagi membanteras penularan kandungan provokatif menyentuh sensitiviti Raja-Raja Melayu, perkauman dan agama.

Selain agama, budaya, bahasa dan adat, keharmonian antara kelas perlu dipelihara seperti antara miskin dan kaya, antara orang tua dengan orang muda dan antara orang di bandar dengan orang di desa.

Perjanjian Persefahaman Kerjasama Untuk Membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia

Berikut adalah Perjanjian Persefahaman Kerjasama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

*Sumber: Facebook Perdana Menteri, Anwar Ibrahim 

Soalan-soalan Lazim (FAQ) Tentang Kerajaan Perpaduan Malaysia

Berikut sembilan soal jawab mengenai pembentukan kerajaan ini :

1. Apakah maksud kerajaan perpaduan?

Kerajaan perpaduan merupakan satu kerajaan yang menggabungkan parti politik yang menuntut semua
pemimpin terlibat untuk mengenepikan kepentingan politik dan parti masing-masing demi kepentingan rakyat dan negara.

2. Bagaimana proses pembentukan sesebuah kerajaan perpaduan?

Kerajaan terbentuk daripada kemenangan majoriti parti dipilih menerusi amalan demokrasi berparlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 113 hingga Perkara 120 berserta Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan perpaduan dibentuk atas titah nasihat Agong selepas negara berdepan keadaan parlimen tergantung dengan bukti hemat dan kebijaksanaan Seri Paduka.

3. Adakah anda tahu apakah proses pemilihan Perdana Menteri di bawah bidang kuasa Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

Agong menggunakan kebijaksanaan bersandarkan panduan Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan seorang Perdana Menteri.

Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(2)(b) yang menyebut Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

4. Kenapa perlu penjajaran baru parti-parti menang untuk pembentukan kerajaan?

Keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada blok parti yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, menjadikan Parlimen tergantung yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah negara.

Justeru itu, ia memerlukan penjajaran baru parti-parti menang untuk pembentukan kerajaan.

5. Apakah peranan Perdana Menteri?

– Menasihati Agong
– Ketua kerajaan
– Membuat keputusan dasar kerajaan
– Menentukan perjalanan dan tadbir urus Kabinet

6. Apakah keunikan pelantikan Menteri Kabinet dalam kerajaan perpaduan?

Kerajaan perpaduan diwakili oleh ahli parlimen pelbagai bangsa, agama dan rentas wilayah dengan pelbagai kepakaran dan pengalaman bersama-sama untuk membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur.

7. Bagaimanakah sistem demokrasi berparlimen dijadikan asas untuk menyelesaikan kemelut Parlimen tergantung?

Demokrasi Berparlimen bermaksud rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara.

Raja-Raja Melayu pula menjadi lambang taat setia rakyat. Melalui sistem ini rakyat berpeluang membentuk kerajaan. Rakyat bebas memilih perwakilan melalui pilihan raya.

Dalam pilihan raya, rakyat berhak menyokong, mengekal atau menukarkan kerajaan yang sedia ada dalam proses pengundian semasa pilihan raya.

Bagaimanapun, apabila parlimen tergantung kerana tiada mana-mana gabungan parti berjaya mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan, kuasa budi bicara Agong untuk melantik Perdana Menteri memainkan peranan penting dalam memecah kebuntuan ini.

8. Adakah pelantikan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan di bawah bidang kuasa Perdana Menteri?

Tidak.

Pelantikan Jemaah Menteri bukan di atas kuasa penuh Perdana Menteri tetapi berdasarkan cadangan nama ahli parlimen daripada parti yang bersetuju untuk membentuk kerajaan perpaduan.

9. Apakah peranan dan tanggungjawab rakyat Malaysia dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen?

Rakyat hendaklah mematuhi undang-undang negara dan menghormati prinsip Rukun Negara. Sentiasa mengamalkan nilai murni dalam kehidupan dan menjaga keharmonian serta perpaduan antara masyarakat.

Rakyat juga perlu menyokong dan tidak mempertikai serta memberi peluang kabinet Kerajaan Perpaduan
membuktikan kemampuan untuk membentuk semula negara selepas mengalami beberapa siri ketidakstabilan politik dan ekonomi sebelum PRU15.

kerajaan perpaduan

*Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

Muat turun RISALAH KERAJAAN_PERPADUAN oleh Jabatan Penerangan Malaysia: https://dbook.penerangan.gov.my/dbook/dmdocuments/risalah_faq_kerajaan_perpaduan.pdf


Imbas Kod QR untuk versi PDF

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!