Warna najis bayi yang sering menjadi petunjuk awal kepada tahap kesihatan mereka, terutamanya dalam bulan-bulan pertama. Bagi ibu bapa baru, perubahan warna najis mungkin menimbulkan rasa risau atau kekeliruan.
Mengetahui perbezaan antara najis yang normal dan yang luar biasa amat penting supaya ibu bapa dapat mengambil tindakan awal sekiranya perlu.
Baca juga: Penyakit HFMD Menyerang Lagi! Awasi 10 Tanda & Cara Cepat Rawat HFMD
Najis Bayi yang Normal dan Kekerapannya
Najis bayi yang normal boleh datang dalam pelbagai warna dan kekerapan bergantung pada usia dan corak pemakanan mereka.
Jika najis bayi berwarna kuning, coklat atau hijau, ibu bapa tidak perlu risau kerana ia masih dianggap sebagai normal.
Dari segi kekerapan, ada bayi yang membuang najis setiap kali selepas menyusu, manakala ada yang hanya membuang setiap lima hingga tujuh hari.
Jika bayi anda termasuk dalam kategori yang kurang kerap membuang, tetapi masih membuang sekurang-kurangnya sekali seminggu, perut tidak kembung, dan tidak menunjukkan tanda-tanda tidak selesa, maka tidak perlu dirisaukan.
Corak pembuangan najis bayi juga biasanya berubah apabila mereka berumur antara dua hingga tiga bulan.
Pada awalnya, mereka mungkin membuang najis beberapa kali sehari, tetapi apabila mencecah usia ini, kekerapan tersebut boleh berkurang kepada sekali sehari atau selang sehari.
Selagi najis bayi lembut dan tidak keras, keadaan ini masih dikira normal dan tidak memerlukan rawatan lanjut.
Warna Najis Bayi dan Penjelasannya
Berikut adalah antara warna najis bayi yang mungkin berlaku berserta dengan penjelasannya dari segi kesihatan:
1. Hijau / Hitam (seperti tar pekat)
Ini adalah najis pertama bayi anda. Ia dikenali sebagai “meconium” dan akan berubah secara beransur-ansur daripada hitam kepada hijau gelap, kemudian menjadi kuning. dalam beberapa hari pertama.
Selepas seminggu, najis bayi tidak sepatutnya lagi berwarna hitam. Jika warna hitam masih berterusan, penting untuk segera berjumpa doktor.
Ini kerana najis hitam yang berterusan mungkin menandakan berlakunya pendarahan dalam sistem penghadaman bayi.
2. Kuning Mustard
Selepas najis pertama bayi yang dikenali sebagai meconium keluar, warna najis bayi akan mula berubah.
Salah satu perubahan yang paling biasa ialah najis berwarna kuning mustard iaitu kekuningan terang dengan sedikit rona keemasan, kadang kala bertekstur berbiji atau berair.
Untuk bayi yang menyusu badan, ini adalah normal. Hal ini kerana, susu ibu mudah dihadam dan menghasilkan najis yang lebih lembut serta kerap.
Ia juga menandakan sistem penghadaman bayi berfungsi dengan baik dan mendapat nutrien yang mencukupi daripada susu ibu.
3. Kuning Terang
Najis berwarna kuning terang adalah perkara biasa bagi bayi yang menyusu badan, dan kadangkala juga berlaku pada bayi yang menyusu formula.
Warna ini menunjukkan bahawa susu sedang dihadam dengan baik dan usus bayi berfungsi secara normal, terutama dalam minggu-minggu awal selepas kelahiran.
Namun begitu, jika najis kuning terang ini sangat kerap dan terlalu cair, ia mungkin bukan lagi sesuatu yang normal, sebaliknya boleh menandakan cirit-birit.
Cirit-birit pada bayi adalah satu keadaan yang perlu diberi perhatian kerana ia boleh menyebabkan risiko dehidrasi, terutama jika disertai dengan gejala lain seperti kurang kencing, mulut kering atau bayi kelihatan lesu.
4. Oren
Najis bayi yang berwarna oren juga dianggap normal, terutama bagi bayi yang berada dalam fasa awal perkembangan sistem penghadaman.
Warna oren ini terjadi apabila pigmen daripada makanan atau hempedu diubah semasa proses pencernaan dan diserap dalam usus bayi.
Ia boleh berlaku pada bayi yang menyusu badan mahupun menyusu formula, dan tidak semestinya menandakan masalah kesihatan.
Warna oren menunjukkan bahawa makanan sedang bergerak dengan kadar normal melalui sistem penghadaman bayi, dan pigmen semula jadi telah dicampurkan dengan najis.
Keadaan ini biasanya tidak membimbangkan selagi najis tidak terlalu cair, tidak berlendir, atau tidak mengandungi darah.
5. Coklat
Najis bayi berwarna coklat adalah salah satu warna yang paling biasa dan dianggap normal, terutamanya apabila bayi semakin membesar atau mula mengambil susu formula dan makanan pejal.
Warna coklat ini menunjukkan bahawa sistem penghadaman bayi sudah lebih matang dan makanan yang diambil sedang diproses dengan cara yang stabil.
Bayi yang menyusu formula cenderung mempunyai najis berwarna coklat muda hingga coklat tua, bergantung pada jenis formula yang digunakan dan cara usus bayi menyerap nutrien.
Najis biasanya bertekstur lebih padat sedikit berbanding bayi menyusu badan, dan baunya juga agak kuat.
Apabila bayi mula makan makanan pejal (biasanya sekitar umur 6 bulan), najis akan bertukar menjadi lebih gelap, lebih padat, dan lebih berbau serta menyerupai najis orang dewasa.
6. Hijau Kecoklatan
Najis bayi yang berwarna hijau kecoklatan lazimnya berlaku dalam kalangan bayi yang menyusu formula.
Warna ini adalah hasil gabungan antara hijau kelabu, coklat muda dan kekuningan, yang terhasil daripada cara tubuh bayi mencerna komponen dalam susu formula, terutamanya zat besi dan lemak.
Berbeza dengan bayi yang menyusu badan, najis bayi yang menyusu formula biasanya lebih padat dan kurang berair, dengan tekstur seperti pes atau tanah liat.
Warna hijau kecoklatan ini dianggap normal dan tidak membimbangkan, selagi bayi tidak menunjukkan tanda-tanda tidak selesa, sembelit atau dehidrasi.
Warna ini juga boleh berubah sedikit bergantung pada jenama susu formula, jenis zat besi yang digunakan, dan bagaimana usus bayi menyerap nutrien.
Warna Najis Bayi #7. Hijau Gelap
Najis bayi yang berwarna hijau gelap sering berlaku apabila bayi sudah mula makan makanan pejal berwarna hijau seperti bayam, kacang pis, brokoli, atau sayur berdaun lain.
Pigmen semula jadi dalam makanan ini terutamanya klorofil, boleh memberi kesan langsung kepada warna najis, menjadikannya kehijauan tua atau gelap.
Selain itu, suplemen zat besi juga boleh menyebabkan najis bayi berubah kepada warna hijau gelap. Ini adalah reaksi biasa apabila zat besi tidak diserap sepenuhnya oleh badan, dan selebihnya disingkirkan melalui najis.
Bayi yang mengambil susu formula yang diperkaya dengan zat besi juga boleh mengalami perubahan warna najis seperti ini.
8. Hijau Berbuih
Boleh berlaku pada bayi yang menyusu badan dari kedua-dua payudara secara kerap. Cuba menyusu sehingga satu payudara habis sebelum menukar ke sebelah lagi.
9. Putih
Najis berwarna putih jarang berlaku, tetapi putih bukanlah warna najis yang sihat. Ia mungkin menunjukkan masalah pada hati.
Contohnya, penyakit kuning (juandis) sangat biasa berlaku pada bayi baru lahir dan sering dialami oleh bayi cukup bulan dalam beberapa hari pertama kehidupan. Biasanya, penyakit kuning ini akan hilang dalam tempoh 2 minggu pertama.
Jika ibu bapa mengesyaki bayi masih mengalami jaundis selepas 14 hari, mereka perlu periksa warna najis bayi.
Najis yang pucat atau putih boleh menjadi petanda masalah hati. Satu lagi tanda ialah air kencing yang sangat kuning gelap atau coklat.
Jika najis bayi berwarna putih atau pucat, doktor mungkin akan menjalankan ujian tahap bilirubin dalam badan bayi. Bilirubin ialah bahan yang membantu tubuh membuang sisa buangan.
Warna Najis Bayi #10. Merah
Najis biasanya menjadi merah kerana mengandungi darah. Ibu bapa atau penjaga perlu segera berjumpa doktor jika ini berlaku.
Ini mungkin menunjukkan bayi mempunyai masalah kesihatan, atau mungkin juga kerana tertelan sedikit darah. Keadaan ini boleh berlaku jika puting ibu yang menyusukan bayi mengalami luka atau berdarah.
Satu lagi kemungkinan ialah berlakunya pendarahan dari bahagian dubur bayi.
11. Kelabu
Najis bayi yang berwarna kelabu atau bertekstur seperti kapur (chalky) adalah sesuatu yang tidak normal dan perlu diberi perhatian segera.
Warna kelabu ini menandakan bahawa sistem penghadaman bayi mungkin tidak mencerna makanan dengan betul, atau terdapat gangguan pada penghasilan atau aliran hempedu iaitu cecair penting yang membantu proses pencernaan lemak.
Kenapa Tekstur Najis Bayi Berubah-ubah?
Seiringnya kita mengambil berat tentang warna najis bayi, ibu bapa juga sebenarnya perlu peka terhadap tekstur najis bayi mereka.
Pengetahuan kita yang meluas tentang warna dan tekstur najis bayi akan memudahkan kita untuk mengenal pasti tahap kesihatan anak-anak.
Antara punca mengapa tekstur najis bayi berubah-ubah adalah kerana:
1. Tekstur Najis Bayi Baru Lahir (Newborn)
Najis bayi yang baru lahir biasanya berwarna hitam dan bertekstur pekat seperti tar. Dalam beberapa hari pertama, warna dan tekstur najis akan mula berubah menjadi lebih cair dan kekuningan.
Jika najis bayi tidak berubah longgar dan kuning selepas beberapa hari, ia mungkin menandakan bayi tidak mendapat cukup susu dan ibu bapa perlu berbincang dengan pakar pediatrik.
2. Najis Bayi Menyusu Badan
Bayi yang menyusu badan biasanya mempunyai najis yang cair dan kekuningan, kadangkala mengandungi biji-biji kecil seperti bijian.
Tekstur ini adalah normal dan bukan tanda cirit-birit. In kerana susu ibu lebih mudah dihadam, menyebabkan bayi membuang najis dengan lebih kerap.
Walaupun kerap dan cair, ia masih dianggap normal dan sihat bagi bayi yang menyusu badan sepenuhnya.
3. Najis Bayi Menyusu Formula
Bayi yang diberi susu formula cenderung mempunyai najis yang lebih padat, dengan warna perang kekuningan atau kehijauan. Teksturnya lebih pejal berbanding bayi menyusu badan.
Jika bayi kelihatan meneran ketika membuang najis dan najisnya keras serta jarang keluar, itu mungkin tanda sembelit. Ibu bapa perlu peka dengan perubahan ini dan berbincang dengan doktor sekiranya ia berlarutan.
4. Fasa Peralihan (Weaning)
Semasa proses peralihan daripada susu kepada makanan pejal (weaning), tekstur najis bayi akan menjadi lebih pejal berbanding sebelumnya.
Najis juga mungkiin mempunyai bau yang lebih kuat kerana tubuh mula menghadam pelbagai jenis makanan. Ini adalah fasa biasa yang berlaku apabila bayi diperkenalkan dengan makanan selaiin susu ibu atau formula.
5. Selepas Pengenalan Makanan Pejal
Apabila bayi mula makan makanan pejal secara konsisten, najis meraka akan menjadi lebih besar dan padat, menyerupai najis orang dewasa.
Ini adalah perubahan semula jadi kerana sistem penghadaman mula menyesuaikan diri dengan tekstur dan nutrien daripada makanan yang lebih kompleks.
6. Tekstur Najis Sembelit
Najis yang sangat keras dan sukar dikeluarkan boleh menjadi tanda sembelit. Kadangkala, najis akan kelihatan seperti ketulan kecil seperti batu kerikil dan berwarna coklat gelap.
Ini mungkin disertai dengan bayi meneran kuat atau menangis ketika membuang. Jika sembelit berpanjangan, ibu bapa disarankan untuk berbincang dengan pakar pediatrik sebelum mencuba sebarang rawatan di rumah.
7. Cirit-Birit
Cirit-birit dalam kalangan bayi dicirikan oleh najis yang sangat cair dan berulang kali, lebih kerap daripada jumlah penyusuan.
Namun, agak sukar membezakan cirit-birit dengan najis biasa bagi bayi kecil yang menyusu badan kerana najis mereka sememangnya lebih cair. Ibu bapa perlu peka terhadap perubahan mendadak dan kekerapan dan tekstur najis.
8. Najis Berlendir atau Berbuih
Tekstur najis yang berlendir atau berbuih kadangkala berlaku apabila bayi sedang tumbuh gigi dan menelan air liur secara berlebihan.
Namun, jika bayi tidak sedang tumbuh gigi dan najis berbuih atau berlendir muncul secara berterusan, ia mungkin disebabkan oleh jangkitan dan memerlukan rawatan daripada doktor.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Ibu bapa perlu berjumpa doktor jika najis bayi menunjukkan tanda-tanda luar biasa yang mungkin menandakan masalah kesihatan. Terdapat beberapa warna najis yang perlu diberi perhatian serius, iaitu putih, merah, atau hitam (selepas minggu pertama kelahiran).
Najis berwarna putih boleh menunjukkan masalah pada hati atau sistem hempedu, manakala merah mungkin menunjukkan kehadiran darah yang boleh disebabkan oleh sembelit, jangkitan, atau keadaan lain yang lebih serius.
Jika najis kembali berwarna hitam selepas fasa meconium (najis pertama bayi), ini juga boleh menjadi tanda pendarahan dalam saluran penghadaman.
Selain itu, jika najis bayi mengandungi banyak mukus (lendir) atau lendir tersebut berterusan muncul dalam setiap najis, ini boleh menjadi tanda jangkitan atau masalah kesihatan yang memerlukan pemerhatian lanjut.
Baca juga: 10 Jenama Susu Kambing untuk Bayi Yang Tinggi Nutrisi
Kesimpulan
Kesimpulannya, memahami warna najis bayi bagi dapat membantu ibu bapa memantau kesihatan anak mereka dengan lebih baik.
Selain warna, perubahan pada tekstur, kekerapan dan kehadiran mukus juga wajar diberi perhatian. Dengan pengetahuan asas ini, ibu bapa boleh membuat keputusan yang lebih bijak dan cepat bertindak demi kesejahteraan si kecil.
Sumber:
- What Does Your Baby’s Poop Color Say About Their Health? Healthline
- Baby poop color: Causes and When to See a Doctor. Medical News Today