Udang lipan merupakan sejenis haiwan laut dari kumpulan stomatopoda. Udang ini mempunyai bentuk seakan-akan lipan menyebabkan ia dipanggil sebegitu. Rasanya yang manis menyebabkan ia menjadi salah satu pilihan orang awam apabila memilih makanan laut.
Untuk mengetahui lebih lagi berkenaan udang jenis ini, seperti ciri fizikalnya, habitat, harga dan resipi yang boleh anda cuba menggunakan udang ini, pastikan anda terus bersama kami sehingga ke penghujung artikel ini.
Udang Lipan dalam Bahasa Inggeris & Bahasa Cina
Walaupun diberi nama udang lipan, tahukah anda haiwan laut ini, bukan berasal dari spesies yang sama, sebaliknya, ia merupakan haiwan laut dari kumpulan aturan stomatopoda. Namun diberi nama berikut kerana bentuknya yang seakan-akan udang dan lipan.
Udang jenis ini dikenali juga sebagai “udang ronggeng” atau “udang mentadak” mengikut bahasa dialek masyarakat yang pelbagai kaum yang ada di Malaysia. Dalam bahasa Inggeris udang ini dikenali sebagai Mantis Shrimp.
Dalam bahasa Mandarin pula udang ini dikenali dengan nama 螳螂虾 (tángláng xiā) atau dalam dialek Kanton sebagai laaih liu hā (赖尿虾). Dalam bahasa Hokkien pula udang jenis ini dikenali sebagai “heh korr”.
Habitat: Laut atau Air Tawar?
Untuk pengetahuan anda, haiwan laut yang turut dikenali sebagai udang mentadak ini, biasanya boleh ditemui di kawasan air laut, terutama di kawasan laut cetek tropika dan subtropika.
Udang lipan ini juga boleh anda temui di perairan payau dan air masin berhampiran pantai, estuari, dan kawasan berlumpur.
Udang ini selalunya aktif pada waktu malam dan suka bersembunyi di balik batu karang atau dalam lubang sebagai tempat perlindungan sambil menunggu mangsa.
Ciri Fizikal Udang Lipan
Berikut merupakan beberapa ciri fizikal udang lipan ini yang berbeza dengan jenis udang-udang yang lain
- Saiz badan biasanya sekitar 10cm, tetapi sesetengah spesimen boleh mencapai sehingga 38cm
- Badan bersegmen dengan kulit luar karapas yang keras dan tebal, menutupi bahagian belakang kepala dan tiga hingga empat segmen pertama toraks.
- Warna badan pelbagai, dari perang terang hingga kuning bata terang, dengan garis hitam pada bahagian belakang antara antena dan mata serta corak garis tepi pada karapas.
- Memiliki sepasang capit atau cakar “raptorial” yang kuat dan tajam, digunakan untuk untuk membunuh mangsa atau memecahkan cengkerang mangsa.
- Mata yang berbentuk T dan boleh berputar 360 darjah, berfungsi seperti radar untuk mengesan mangsa.
Sumber: Umpan
Harga Sekilo
Untuk pengetahuan anda, yang baru sahaja ingin mencuba udang lipan ini, harga bagi udang jenis ini lebih murah berbanding yang lain. Namun begitu ia masih bergantung pada saiz dan keadaan udang sama ada segar atau beku.
Harga terkini bagi udang jenis ini adalah di antara RM10/kg dan boleh mencecah RM27/kg. Anda juga boleh melakukan tinjauan harga ini di Shopee dan Lazada.
Masak Apa dengan Udang Lipan
Bagi anda yang tertanya-tanya apa masakan yang boleh anda hasilkan menggunakan udang lipan ini, berikut merupakan dua resipi mudah yang telah dikongsikan oleh Food Makan dan ilmupercuma yang boleh anda cuba:
- Udang Lipan Sweet Sour
- Bahan
- Udang Lipan (Isi saja)
- Tepung bestari
- Cili Kering (ptong panjang2) *
- Cabai Melaka/Cili Padi *
- Bawang Putih *
- Daun limau purut (jika ada) *
- Serai *
- Sos Tiram
- Sos Cili
- Serbuk perasa
- Gula
- Cara Masak
- Goreng isi udang yang telah disalut tepung.
- Setelah itu, tumis semua bahan bertanda * sehingga naik bau.
- Kemudian masukkan sos cili, sos tiram dan sedikit air.
- Kacau sebati dan perasakan dengan gula dan garam mengikut cita rasa masing-masing.
- Biarkan kuah mendidih sehingga kuah anda nampak pekat.
- Setelah kuah menjadi pekat masukkan isi udang yang telah digoreng tadi.
- Gaul seketika sehingga rata dan kemudian boleh terus dihidang.
- Bahan
- Udang Lipan Goreng Kari
- Bahan
- 500g udang lipan *
- 2 sudu besar serbuk kari ikan *
- 1 sudu besar serbuk kunyit *
- 1 sudu besar serbuk lada putih *
- 1 sudu teh serbuk cili *
- 10 tangkai daun kari
- garam secukup rasa
- Cara Masak
- Gaulkan semua bahan bertanda * bersama sedikit air sehingga udang tersalut dengan pes.
- Panaskan minyak dan goreng udang dan daun kari bersama.
- Setelah garing, angkat dan toskan minyak. Udang sudah boleh dihidangkan.
- Bahan
Baca juga: Udang Harimau : Ciri-ciri, Harga Terkini & Resipi Menarik