Tulisan Khat merupakan salah satu kesenian penting dalam dunia peradaban Islam.
Ini kerana tulisan ini mempunyai kehalusan, kelembutan, kesinambungan, perhubungan, pergerakan, keharmonian dan sebagainya yang hanya boleh ditulis oleh individu yang mempunyai kemahiran yang tinggi.
Tidak hairanlah tulisan ini dijual dalam nilai yang amat tinggi di pasaran.
Mengenai Tulisan Khat
Khat merupakan perkataan Arab yang bermaksud garisan kerana seni khat bermaksud garisan indah yang membentuk tulisan.
Ia juga bermaksud tulisan-tulisan (kitabah) yang terikat dengan peraturan dan kaedah yang telah dikaji dan ditentukan oleh mereka yang terlibat dengan kemajuan seni.
Tulisan-tulisan Arab pula mempunyai nilai dan kaedah tertentu yang mempunyai estetika dan nilai-nilai abstrak yang tinggi.
Sejarah Kemunculan Tulisan Khat
Terdapat beberapa pandangan mengenai sejarah kemunculan tulisan ini:
i) Pandangan Pertama
Khat yang berbentuk tawqifi’ mempunyai kaitan dengan sumber ketuhanan.
Pendapat ini berpandangan bahawa Nabi Adam a.s. adalah pengasas segala bentuk tulisan dan baginda mempelajarinya daripada Allah.
Baginda menulisnya ke dalam pelbagai buku dan setelah banjir surut, setiap bangsa menerima buku masing-masing dan buku bertulisan Arab menjadi milik Nabi Ismail (AS).
ii) Pandangan Kedua
Tulisan khat terdiri daripada khat al-Musnad juga dikenali sebagai khat Arab Utara atau Khat Humairi.
Khat ini telah tersebar di persekitaran al-Mundhir dan Syam (Syria) yang berlaku semasa rombongan perniagaan di antara orang Arab Yaman dan orang Arab yang bermukim di Syria, dan Iraq di utara Semenanjung Tanah Arab.
Melalui mereka, khat ini dibawa secara langsung ke bumi Hijaz.
iii) Pandangan ketiga
Tulisan ini berkembang hasil daripada khat Nibti (Nabatea).
Ini berdasarkan kepada pendapat G.J Klehr pada pertengahan pertama abad ke-18 terdapat hubungan antara khat Arab dengan khat Nubti (172M).
Menurut Th. Noldeke khat Arab berkembang daripada khat Nubti (1865M) hasil daripada kajian tentang hasil-hasil ukiran sebelum Islam dan pada abad pertama Hijrah.
Ukiran tertua yang dapat dijadikan bukti peringkat-peringkat penyebaran dalam perkembangan khat Nibti yang berlaku pada penghujung abad yang ke-3 dan abad ke-4 masihi.
Ianya telah dijumpai di Umm al-Jamal (250M) dan Nammarah (328M), yang mana kedua-dua ukiran ini adalah dalam bahasa dan tulisan Nibti.
Jenis Tulisan Khat
Terdapat 8 jenis tulisan khat yang popular iaitu:
- Khat Kufi
- Khat Thuluth
- Khat Nasakh
- Khat Farisi
- Khat Riq’ah
- Khat Diwani
- Khat Diwani Jali
- Khat Raihani
1. Khat Kufi
Khat Kufi diambil bersempena dengan nama sebuah bandar iaitu al-Kufah yang terletak di Mesopotamia.
Ciri-ciri yang ada pada khat ini adalah bersegi, tegak, dan bergaris lurus.
Bentuknya yang berunsur geometri iaitu lurus dan tegak amat sesuai diukir di mozek-mozek, jubin dan batu pada bangunan-bangunan seperti masjid dan seumpamanya.
Ianya tidak lagi ditulis dengan menggunakan pen khat, tetapi dilukis dengan pensil, menggunakan kertas graf, pembaris dan juga alat jangka lukis.
2. Khat Thuluth
Thuluth bermaksud satu pertiga (1/3).
Ianya dinamakan Khat Thuluth adalah kerana Huruf menegaknya ditulis dengan mata pena yang ukuran lebar menyamai satu pertiga (1/3) lebar mata pen.
Ia juga dikenali sebagai Khat Arab disebabkan peranannya sebagai sumber asasi pelbagai khat Arab yang lahir selepas Khat Kufi.
Khat ini dikenali sebagai Ummul Khutut (Ibu tulisan) dan jarang digunakan dalam penyalinan al-Quran lengkap kerana mempunyai banyak kaedah, menentukan ukurannya dengan bilangan titik yang sesuai pada setiap huruf, agak rumit serta memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menulisnya.
Biasanya khat ini ditulis dengan pena yang lebar matanya diantara 2 hingga 3 mm.
3. Khat Nasakh
Khat Nasakh merupakan satu kaedah penulisan khat yang paling praktikal penggunaannya berbanding khat-khat yang lain, kerana disamping mempunyai bentuk yang cantik, ia juga senang ditulis dan mudah dibaca.
Khat ini sangat sesuai digunakan untuk menulis teks Al-Quran, buku, majalah, akhbar dan sebagainya yang sering dibaca oleh orang awam.
Ianya dinamakan Khat Nasakh kerana tulisannya digunakan untuk menaskhahkan atau membukukan al-Qur’an serta pelbagai naskhah ilmiah yang lain sejak dari kurun pertama Hijrah lagi.
Khat ini terus menjadi tulisan utama bahan-bahan ilmiah hingga ke hari ini samada di dalam akhbar, majalah, komputer dan sebagainya selain terus menjadi tulisan utama al-Qur’an.
Ada juga pendapat yang menjelaskan punca khat ini dinamakan sebagai Khat Nasakh ialah kerana peranannya menasakhkan yang beerti menghapuskan atau menggantikan penggunaan khat Kufi dalam penulisan wahyu Allah iaitu al-Qur’an.
Setelah kemunculan khat Nasakh, khat Kufi tidak lagi digunakan untuk menulis al-Qur’an tetapi tempatnya telah diambil alih oleh Khat Nasakh.
Khat Nasakh dikatakan sebagai seni yang berasal dan berkembang dari tulisan Arab asli dan ianya bermula dari asal Khat Arami, Nabati, kemudian dikenali sebagai Khat Hijazi.
4. Khat Farisi
Khat Farisi dicipta oleh Mir Ali al- Tibrazi dan kemudianya diperindahkan oleh Imaduddin al- Syirazi.
Khat ini juga dikenali dengan khat Nasta’liq (iaitu gabungan antara Nasakh dan Ta’liq).
Khat ini digunakan dengan meluas oleh masyarakat Iran yang diketahui sejak dahulu amat berminat dengan kesenian yang merupakan warisan turun temurun datuk nenek mereka.
Mereka begitu mahir dan cekap dari segi penggunaannya sehingga menjadikan tulisan tulisan khat ini sebagai tulisan yang mempunyai ciri – ciri tersendiri pada orang Iran dan terkenal sehingga ke hari ini dengan nama Khat Farisi.
Khat ini mempunyai bentuk yang cantik, hurufnya sangat menarik, tidak berbaris, tidak tersusun, sama seperti bentuk Riqa’ah.
Keindahan khat Farisi terletak pada bentuk lengkungnya yang menarik, kurang garis menegak dan bentuk hurufnya yang condong ke kanan dan memanjang.
5. Khat Riq’ah
Khat Riq’ah ialah gaya kaligrafi Arab yang indah dan ringkas, berasal dari empayar Uthmaniyah Turki pada abad ke-19.
Riq’ah bermaksud “secebis kertas yang ditulis di atasnya” dan dicirikan oleh bentuknya yang padat dan kecil.
Tulisan yang elegan ini mempunyai kepentingan sejarah dan budaya dalam dunia Islam.
Ciri khusus khat ini ialah bentuk huruf yang kecil, lebih cepat dan mudah ditulis, jika dibandingkan dengan khat Nasakh.
Penggunaan khat Riq’ah dalam masyarakat kita lebih tertumpu kepada tulisan dan nota sahaja, berbanding khat Nasakh yang begitu meluas digunakan, khususnya dalam penerbitan buku, majalah dan akhbar.
6. Khat Diwani
Khat Diwani merupakan salah satu jenis khat yang dicipta oleh penulis zaman pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah.
Penciptanya, Ibrahim Munif merupakan orang yang mencipta kaedah dan menentukan ukuran tulisan khat diwani.
Khat ini dikenali secara rasmi selepas negeri Kostantinopel ditawan oleh Sultan Uthmaniyyah, Muhammad Fatih pada tahun 857 Hijrah.
Pada zaman dahulu, khat ini digunakan sebagai tulisan rasmi di jabatan-jabatan kerajaan dan seterusnya tulisan ini mula berkembang ke segenap lapisan masyarakat.
Kebiasaannya tulisan khat diwani ini digunakan untuk menulis semua pekeliling pentadbiran, keputusan kerajaan serta surat menyurat rasmi dan pada masa sekarang ianya digunakan untuk menulis watikah, sijil dan untuk perhiasan.
Asas bentuk khat ini adalah berbentuk bulat dan melengkung dan ianya ditulis dengan cara yang lembut dan mudah dibentuk mengikut kehendak penulis.
Keistimewaan khat ini dapat dilihat pada kesenian bentuk hurufnya yang melengkung dan memerlukan kemahiran penulis khat itu menulisnya dengan lembut dan menepati kaedah.
7. Khat Diwani Jali
Khat ini berbeza dari khat Diwani kerana terdapat baris-baris dan titik hiasan serta mempunyai bentuk huruf yang lebih besar dan jelas.
Bentuk hurufnya memenuhi kesemua ruang kosong sehingga membentuk satu ciptaan yang tersusun indah.
Khat ini dinamakan Jali bererti jelas kerana terdapat kelainan yang jelas dari segi bentuk tulisannya.
Bentuk tulisan khat ini telah dijadikan bentuk khas seni khat untuk penulisan surat rasmi diraja, surat menyurat kepada ketua negara asing, sijil matawang kertas dan lain-lain.
Ianya direka oleh Syahla Pansha, seorang penulis khat Uthmani namun ia dianggap sebagai kesinambungan daripada khat Diwani.
8. Khat Raihani
Khat Raihani hampir menyerupai khat thuluth yang mana huruf-hurufnya agak lebar dan panjang serta ditambah dengan tanda-tanda syakal.
Khat ini merupakan gabungan antara Khat Thuluth dan Khat Nasakh yang di kembangkan oleh para ahli kaligrafi pada masa kerajaan Usmaniah.
Ianya lazim digunakan untuk penulisan ijazah oleh seorang guru kaligrafi kepada muridnya, oleh kerana itu Khat Raihani disebut juga Khat ijazah.
Pencipta gaya khat ini adalah pakar kaligrafi besar Ali Ibnu Hilal atau Ibnu Bawab, namun berhubungan erat dengan Ali Ibnu Al-Ubaidah Al-Raihan (w 834 M), bersempana dengan itu ia dinamakan Khat Raihani.
Terdapat juga sumber lain mengatakan nama Raihani adalah dari kata Raihan yang bererti (harum semerbak) kerana keindahan dan popularitinya.
Info Lanjut
Untuk info lanjut mengenai tulisan ini, sila tonton video di pautan https://www.youtube.com/watch?v=AVidPIrNe_k.
Baca juga: Tulisan Berangkai: Kepentingannya & Contoh Penulisan