15+ Tempat Menarik di Temerloh – Lokasi & Waktu Operasi
Temerloh adalah salah satu bandar di negeri Pahang yang semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan santai dan kaya budaya.
Digelar sebagai “Bandar Ikan Patin”, Temerloh bukan sahaja terkenal dengan juadah ikan patin masak tempoyak yang lazat, malah turut menyimpan pelbagai tarikan menarik yang sesuai untuk seisi keluarga.
Jom tengok senarai tempat menarik di Temerloh beserta tempat makan viral yang anda boleh cuba.
BACA JUGA: 10+ Tempat Menarik Di Pahang Untuk Percutian Keluarga
1. Esplanade 1 & 2
- Alamat: 8, Jalan Semantan 1, 28000 Temerloh, Pahang, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari, 8 AM–10 PM.
Esplanade Temerloh atau juga dikenali sebagai WaterFront adalah antara tempat menarik di Temerloh yang cukup popular.
Di sini, anda boleh menikmati pelbagai aktiviti santai dan rekreasi di tepi Sungai Pahang. Antara aktiviti yang anda boleh lakukan ialah menaiki bot menyusuri Sungai Pahang, menikmati makanan tempatan, bersiar-siar atau sekadar berkelah di tepi sungai.
Selain itu, terdapat jambatan gantung yang menghubungkan Esplanade ke Kampung Bangau di seberang sungai yang menjadi salah satu spot bergambar menarik di sini.
Bukan itu sahaja, di sini pun ada banyak gerai-gerai tempatan yang menjual pepbagai jenis lauk termasuklah Gulai Patin Tempoyak.
Esplanade 1 dan 2 juga sering menjadi lokasi utama untuk acara budaya, konsert dan festival tempatan. Memang meriah!
2. Street Art Temerloh
- Alamat: Jalan Semantan 3, Taman Kenangan, 28000 Temerloh, Pahang, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari, 24 jam.
Street Art Temerloh juga antara destinasi menarik di Temerloh yang mencuri perhatian ramai. Lorong-lorong di sekitar jalan dihiasi pelbagai lukisan mural berwarna-warni yang menampilkan tema-tema unik seperti budaya Pahang, haiwan tempatan serta suasana kehidupan kampung.
Lukisan-lukisan ini bukan sahaja menjadi latar bergambar yang cantik untuk media sosial, malah turut menyampaikan mesej seni dan sejarah setempat.
Anda boleh berjalan kaki menyusuri lorong-lorong ini pada bila-bila masa kerana ia dibuka 24 jam tanpa sebarang bayaran masuk. Ramai yang datang ke sini untuk mengambil gambar kenangan.
3. Masjid Baru Temerloh
- Alamat: Jln Bukit Angin, Taman Bukit Angin, 28000 Temerloh, Pahang.
- Waktu Operasi: Setiap hari, 24 jam.
Bagi pengunjung Muslim yang singgah ke Temerloh, Masjid Baru Temerloh merupakan lokasi yang sangat sesuai untuk berhenti seketika dan menunaikan solat.
Masjid ini tersergam indah dengan rekaan moden kontemporari yang mengekalkan elemen seni bina Islam tradisional.
Kemudahan masjid juga sangat lengkap. Ada ruang solat lelaki dan wanita yang luas, kawasan tempat letak kereta serta kemudahan tandas dan wuduk.
4. Titik Tengah Semenanjung
- Alamat: Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh, Pahang
- Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 10 AM–3:30 PM.
Tahukah anda, Temerloh merupakan titik tengah Semenanjung Malaysia? Haa, inilah salah satu tempat menarik di Temerloh yang anda tidak boleh lepaskan.
Lokasi ini menandakan kedudukan strategik Temerloh sebagai pusat penghubung antara pantai barat dan timur Malaysia.
Terdapat sebuah monumen khas telah didirikan sebagai penanda rasmi, lengkap dengan papan informasi yang menjelaskan tentang kedudukan geografi serta sejarah kawasan tersebut.
5. Vanilla Temerloh
- Alamat: Lot 2231, Kampung Bangau Parit, 28000 Temerloh, Pahang, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari, 11 AM–7 PM.
Vanilla Temerloh atau Amani Vanilla adalah sebuah ladang vanilla yang menjadi salah satu tarikan pelancong paling menarik di Temerloh.
Di sini, pengunjung bukan sahaja dapat melihat sendiri proses penanaman dan penuaian vanilla yang ditanam secara organik.
Yang menariknya lagi, pengunjung juga berpeluang untuk menikmati pelbagai menu istimewa berasaskan vanilla di kafe ladang tersebut. Antara hidangan yang popular termasuklah aiskrim vanilla asli, waffle dengan krim putar vanilla dan macam-macam lagi.
Selain itu, pengunjung juga boleh mengikuti lawatan berpandu di ladang menggunakan ATV. Lawatan ini berakhir dengan sesi mencuba produk vanilla segar di kafe. Seronok kan?
Jadi, jika anda bercadang ke Temerloh, jangan lupa singgah ke Vanilla Temerloh untuk menikmati keenakan rasa vanilla asli!
6. Akok Gerai Dapur Berasap Kg Awah
- Alamat: Kampung Awah, Temerloh, Pahang, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 10 AM–6 PM.
Jangan lupa juga untuk singgah sekejap di Gerai Dapur Berasap yang turut terkenal dengan menu akoknya yang lemak manis dan gebu!
Akok di sini dibuat secara tradisional menggunakan dapur arang. Jadi aromanya memang wangi. Teksturnya pun lembut di dalam dan sedikit berkerak di luar, persis rasa asli akok kampung dulu-dulu.
Selain akok, gerai ini juga menjual pelbagai kuih tradisional lain seperti kuih bakar, bahulu dan kuih karas.
7. Pekan Sehari Temerloh
- Alamat: Jalan Ibrahim, Taman Kenangan, 28000 Temerloh, Pahang, Malaysia.
- Waktu Operasi: Setiap hari Ahad, 6 AM–2 PM.
Datang Temerloh memang wajib singgah ke pasar pagi yang paling panjang di Malaysia ini. Pasar ini diadakan setiap hari Ahad sejak puluhan tahun lalu lagi.
Ia bukan sahaja menjadi nadi ekonomi penduduk setempat tetapi juga tarikan pelancongan budaya yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengunjung dari luar.
Di sini anda akan menemui pelbagai barangan menarik seperti hasil tani segar, ulam-ulaman kampung, ikan sungai hidup, kuih-muih tradisional, pakaian, peralatan dapur, kraftangan dan produk tempatan unik seperti madu kelulut dan serunding.
Selain itu, hidangan makanan tradisional dan makanan tempatan juga ada dijual di sini. Bagi peminat ikan patin, anda boleh mendapatkan ikan segar terus dari nelayan sangkar sungai, ada juga yang menjual secara terus dari bot!
Tips: Datang awal pagi untuk elak kesesakan dan dapat pilihan terbaik. Jangan lupa bawa beg besar, kerana pasti kalian akan rambang mata dengan pelbagai pilihan menarik!
8. Kubang Gajah Waterpark
- Alamat: No 1, Taman Awam Kubang Gajah, 28000 Temerloh, Pahang, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Rabu, 10 AM–7 PM.
Kubang Gajah Waterpark adalah taman tema air mesra keluarga yang menjadi tarikan popular di Temerloh.
Terdapat beberapa kolam renang untuk kanak-kanak dan dewasa, termasuk kolam cetek untuk si kecil, gelongsor ai dan kawasan permainan air interaktif.
Kemudahan di sini pun sangat lengkap. Ada gerai makanan dan minuman. Tapi kalau nak bawa makanan sendiri pun boleh.
Harga tiket adalah seperti berikut:
9. Gunung Senyum Recreational Forest
- Alamat: Pejabat Hutan Daerah Temerloh, 28000, Temerloh, Pahang
- Waktu Operasi: Setiap hari, 9AM – 6PM.
Gunung Senyum Recreational Forest adalah sebuah hutan lipur yang terkenal dengan keindahan hutan hujan tropika, formasi batu kapur serta rangkaian gua-gua purba.
Di sini, anda boleh meneroka lebih 20 buah gua batu kapur. Antaranya Gua Terang Bulan, Gua Kelam, dan Gua Taman Satu.
Lapan hingga sebelas gua dibuka kepada umum dengan sebahagiannya merupakan tapak arkeologi yang menyimpan sejarah ribuan tahun.
Selain aktiviti hiking dan meneroka gua, Gunung Senyum juga menawarkan pemandangan puncak yang menakjubkan.
Terdapat juga kawasan berkelah, kemudahan asas seperti tandas, dewan serbaguna dan tempat rehat untuk pengunjung.
10. Taman Tasik Bandar
- Alamat: Temerloh, Pahang, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 8 AM–6 PM.
Taman Tasik Bandar Temerloh juga antara tempat menarik di Temerloh yang menjadi destinasi rekreasi popular untuk penduduk tempatan.
Taman ini menawarkan ruang yang luas untuk pelbagai aktiviti seperti jogging, berkelah, berbasikal dan bermain skateboard di mini stadium yang disediakan.
Lokasi strategik taman ini memudahkan akses pengunjung. Ia juga berdekatan dengan beberapa destinasi menarik lain seperti Pekan Sehari Temerloh dan Esplanade Sungai Pahang.
11. Tempat Penternakan Lebah Kelulut Temerloh
- Alamat: Kampung Lebah Kelulut Temerloh
- Waktu Operasi: –
Jika anda ingin merasai pengalaman agro-pelancongan yang unik di Temerloh, lawatan ke Tempat Penternakan Lebah Kelulut di Kampung Lebah Kelulut adalah pilihan yang sangat menarik.
Temerloh memang terkenal sebagai salah satu pusat pengeluaran madu kelulut asli di Pahang dan kampung ini menjadi tumpuan utama bagi mereka yang ingin mengenali lebih dekat tentang dunia lebah kelulut.
12. Se-atak Cafe’ (Lorong Puncak Bukit)
- Alamat: 7, Lorong Puncak Bukit, Kampung Paya Luas, 28000 Temerloh, Pahang, Malaysia.
- Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, 2–9:30 PM (Jumaat, 4–9:30 PM)
Se-atak Cafe’ merupakan salah satu kafe “hidden gem” yang semakin popular di Temerloh.
Kafe ini terkenal dengan menu pizza, pasta, burger dan makanan barat lain yang diolah dengan citarasa tempatan. Selain itu, terdapat juga pilihan kopi premium dan minuman istimewa yang menjadi kegemaran ramai.
13. Car Boot Sales Temerloh
- Alamat: Jalan Semantan 1, Taman Kenangan, 28000 Temerloh, Pahang, Malaysia.
- Waktu Operasi: Setiap hari Sabtu, 8 PM–1 AM.
Car Boot Sales Temerloh adalah pasar malam yang menjadi tumpuan warga Temerloh serta pelancong yang mencari barangan unik, makanan sedap dan suasana santai pada waktu malam.
Apa yang Menarik di Car Boot Sales Temerloh?
- Pelbagai barangan unik & terpakai seperti pakaian, aksesori, alat elektronik terpakai, koleksi antik dan barangan kraf tangan yang dijual terus oleh pemiliknya dari bonet kereta (car boot).
- Pasar ini juga terkenal dengan gerai makanan yang menjual pelbagai jenis makanan ringan dan tradisional.
14. Hogoh De’Coo
- Alamat: Paya Pulai, 28000 Temerloh, Pahang, Malaysia.
- Waktu Operasi: Setiap hari, 10 AM–11 PM.
Hogoh De’Coo adalah kafe coconut shake yang sangat popular di Temerloh. Anda boleh menikmati pelbagai variasi seperti Oreo, Nestum, Avocado, Vanilla atau Caramel Coffee dalam saiz kecil, sederhana atau besar; semuanya pada harga mesra bajet!
15. Pasar Anak Muda Temerloh
- Alamat: Jalan Tengku Bakar, Taman Kenangan, 28000 Temerloh, Pahang, Malaysia.
- Waktu Operasi: Setiap hari Jumaat, 5 PM–12 AM.
Pasar Anak Muda Temerloh adalah lokasi tumpuan utama golongan muda di bandar ini. Pasar malam ini hanya dibuka setiap hari Jumaat dan menawarkan pelbagai pilihan makanan, minuman serta barangan fesyen dan aksesori yang trendy dan unik.
16. Pasar Besar Temerloh
- Alamat: 15, Jalan Pak Sako, 28000 Temerloh, Pahang, Malaysia.
- Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Ahad, 6 AM – 12 PM.
Pasar Besar Temerloh adalah pasar utama yang menjadi nadi ekonomi dan pusat jual beli harian untuk penduduk setempat serta pelancong di Temerloh.
Ada banyak deretan gerai yang menjual pelbagai barangan segar seperti sayur kampung, ulam-ulaman, ikan sungai, ayam, daging tempatan dan hasil tani.
Selain itu, terdapat juga gerai makanan yang menawarkan juadah sarapan pagi popular seperti nasi lemak daun pisang, kuih-muih tradisional, laksam, lontong dan sebagainya.