20+ Tempat menarik di Kota Bharu 2025 – Jom Bercuti di Kelantan!
Jika anda mencari destinasi percutian yang kaya dengan budaya, sejarah serta makanan tempatan yang sedap-sedap, Kota Bharu menanti kedatangan anda!
Bandar yang menjadi nadi Kelantan ini menawarkan banyak tempat menarik dan aktiviti yang menyeronokkan untuk setiap pengunjungnya. Bak kata orang Kelate, “Sekali mari, mesti nok mari lagi!”
Berikut dikongsikan lebih 20 tempat menarik di Kota Bharu Kelantan yang wajib anda kunjungi bersama seisi keluarga.
BACA JUGA: Bahasa Kelantan: Contoh Ayat Loghat Kelantan
20+ Tempat Menarik di Kota Bharu 2025
1. Pantai Nusuk
Pantai Nusuk adalah salah satu tempat menarik di Kota Bharu yang menjadi tumpuan pengunjung. Pantai ini terletak di penghujung pesisir Pantai Sabak, Pengkalan Chepa.
Suasana yang tenang dengan deruan ombak menjadikan Pantai Nusuk sesuai untuk mereka yang ingin berehat dan menikmati keindahan alam semula jadi.
Di sekitar pantai ini terdapat gerai-gerai makanan yang menjual pelbagai makanan tempatan. Jadi anda boleh singgah mengisi perut setelah beraktiviti di sekitar pantai. Kemudahan lain seperti tandas dan tempat letak kereta pun ada.
2. Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu
Tak perlu pergi jauh-jauh kalau nak rasa pengalaman pasar terapung, dekat Kota Bharu pun ada. Pasar terapung ini dikenali sebagai Pasar Terapung Pengkalan Datu.
Pasar ini terletak kira-kira 7 kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan 10 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu. Ia beroperasi setiap hari Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 1 tengahari.
Di sini ada jual pelbagai jenis makanan tradisional Kelantan seperti nasi kerabu, nasi dagang, kerabu nipah dan macam-macam jenis kuih-muih tempatan seperti serabai, akok dan tepung bungkus.
3. Masjid Muhammadi
Masjid Muhammadi di Kota Bharu, Kelantan juga merupakan antara tarikan pelancongan di Kelantan yang anda boleh kunjungi. Apa yang menarik dengan masjid ni?
Salah satu tarikan Masjid Muhammadi ini ialah seni binanya yang menggabungkan seni bina Melayu tradisional dengan sentuhan kolonial British.
Keindahannya terserlah melalui empat menara setinggi 70 kaki, dewan solat utama yang luas dengan siling tinggi dan tingkap kaca berwarna-warni.
Masjid ini telah dibina pada tahun 1867 semasa pemerintahan Sultan Muhammad II dan merupakan salah satu masjid tertua di Malaysia. Ia terbuka kepada semua pengunjung tanpa mengira agama.
4. Muzium Negeri Kelantan
Muzium Negeri Kelantan adalah pilihan destinasi yang ideal sekiranya anda bawa anak-anak. Di sini mereka dapat belajar mengenai sejarah dan budaya negeri ini.
Di dalam muzium ini terdapat banyak koleksi artifak, senjata tradisional, pakaian adat, alat muzik tradisional, seramik termasuklah manuskrip kuno dan al-Quran.
Yang menariknya lagi, muzium ini selalu mengadakan pelbagai aktiviti seperti pameran seni visual, pertandingan khat dan aktiviti untuk kanak-kanak.
5. Menara Rehal
Menara Rehal adalah salah satu mercu tanda ikonik yang menjadi tarikan utama di Kota Bharu. Ia juga dikenali sebagai Pintu Gerbang Sultan Ismail Petra.
Seni bina Menara Rehal kaya dengan unsur-unsur Islam dengan ukiran ayat Al-Quran dan kaligrafi Jawi.
Menara Rehal ini telah dibina pada tahun 1990-an sempena pengisytiharan Kota Bharu sebagai Bandar Budaya. Kini, ia menjadi lokasi popular untuk pengunjung mengambil gambar.
Lokasinya juga berdekatan dengan banyak tempat menarik lain seperti Istana Jahar, Masjid Muhammadi, dan Pasar Besar Siti Khadijah.
6. Pantai Cahaya Bulan
Satu lagi pantai yang anda mesti kunjungi apabila berkunjung ke Kota Bharu ialah Pantai Cahaya Bulan.
Pantai ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung. Anda boleh berkelah bersama keluarga, bermain layang-layang, bersantai menikmati pemandangan dan semestinya mengambil gambar di sekitar kawasan pantai.
Di pantai ini juga ada menjual pelbagai hidangan tempatan seperti ikan bakar, sotong celup tepung dan keropok lekor yang terkenal di Kelantan.
Pantai ni memang popular, jadi kalau anda datang pada hujung minggu atau cuti umum memang ramai sangat orang. Meriah sangat!
7. Pasar Siti Khadijah
Kalau datang Kota Bharu tak singgah Pasar Siti Khadijah memang tak sah. Pasar Siti Khadijah ini salah satu tempat menarik di Kota Bharu yang cukup popular dalam kalangan pelancong.
Disinilah tempat terbaik untuk anda membeli belah sambil merasai pengalaman berinteraksi dengan warga lokal. Menariknya lagi, di pasar ini majoriti peniaga di sini terdiri daripada wanita.
Di tingkat bawah pasar, anda boleh menemui pasar basah yang menjual sayur-sayuran segar, ikan, daging, dan beras Siam yang terkenal.
Tingkat atas pula menawarkan pelbagai pilihan makanan tempatan termasuklah kuih-muih tradisional Kelantan seperti akok, badak berendam dan tepung pelita.
Selain makanan, Pasar Siti Khadijah juga terkenal dengan barangan kraftangan tempatan seperti kain batik dan pakaian tradisional. Jadi, kalau anda cari ole-ole nak bawa balik, inilah tempatnya.
9. Kampung Sungai Budor
Kampung Sungai Budor di Kota Bharu juga salah satu tempat menarik di Kota Bharu yang berbaloi untuk dikunjungi.
Antara tarikan utama di kampung ini ialah rumah penduduk yang berwarna-warna atau dikenali sebagai “Rumah Pelangi”. Dulu kampung ni suram je dengan rumah-rumah kayu lama. Tapi sekarang rumah-rumah tersebut telah dicat dengan warna-warna pelangi.
10. Masjid Kampung Laut
Masjid Kampung Laut ni salah satu masjid yang bersejarah di Kelantan. Keunikan utama masjid ini terletak pada seni binanya yang luar biasa.
Nak tahu tak, masjid ini dibina tanpa menggunakan sebarang paku pun dan diperbuat sepenuhnya daripada kayu cengal. Binaannya memang lawa dan nampak sangat antik.
Jangan lupa singgah solat di sini!
11. Rumah Tiang 12 Kelantan
Rumah Tiang 12 ni juga tidak kurang hebat seni binanya. Bagi pencinta sejarah dan seni bina tradisional Melayu, anda wajib berkunjung ke sini.
Rumah ini telah dibina pada tahun 1870 dan merupakan satu-satunya rumah yang masih mengekalkan bentuk asalnya sejak 153 tahun yang lalu.
Selain nilai sejarahnya, Rumah Tiang 12 juga menawarkan pengalaman budaya yang menarik. Ia kini berfungsi sebagai pusat warisan yang mempamerkan cara hidup tradisional masyarakat Melayu Kelantan.
Pengunjung boleh menikmati masakan Melayu autentik dan mengambil bahagian dalam aktiviti budaya yang diadakan di sini.
12. Muzium Perang / Bank Kerapu
Muzium Perang adalah salah satu piihan muzium yang anda boleh kunjungi di Kota Bharu Kelantan. Muzium Perang ini juga dikenali sebagai Bank Kerapu atau Memorial Perang Dunia II. Ia terletak di Jalan Sultan bersebelahan Padang Merdeka.
Muzium ni dulu merupakan sebuah bank dan kemudiannya digunakan sebagai pejabat polis rahsia Jepun. Sekarang ni berfungsi sebagai muzium dan menyimpan lebih 1,000 bahan pameran termasuk gambar, artikel dan artifak perang.
13. Istana Jahar
Istana Jahar di Kota Bharu juga antara salah satu destinasi yang menarik di Kota Bharu untuk dilawati. Istana ini berfungsi sebagai Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan.
Di dalam muzium, pengunjung boleh melihat pelbagai artifak dan pameran yang berkaitan dengan sejarah kesultanan Kelantan dan adat istiadat diraja. Selain itu, keunikan seni binanya juga menjadikan istana ini tarikan utama pelancong dan pencinta sejarah.
14. Istana Balai Besar
Selain Istana Jahar, anda juga boleh berkunjung ke Istana Balai Besar. Istana ini telah menjadi saksi kepada banyak peristiwa penting dalam sejarah Kelantan.
Walaupun orang awam tidak dibenarkan masuk ke dalam istana, namun anda boleh melihat keindahan seni bina istana ini daripada luar.
Kawasan sekitar istana yang hijau dan indah juga menawarkan tempat yang sesuai untuk bersiar-siar dan mengambil gambar.
Istana Balai Besar masih memainkan peranan penting dalam upacara rasmi diraja Kelantan. Ia menjadi tempat berlangsungnya pelbagai upacara penting seperti pertabalan dan kemahkotaan.
15. Pantai Senok
Pantai Senok terkenal dengan keindahan pemandangannya terutama barisan pokok pain laut yang menjulang tinggi. Ini memang spot popular untuk mengambil gambar di sini.
Di sini juga anda boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti berenang, berkelah, memancing dan macam-macam lagi.
Satu lagi tarikan di pantai ini ialah Rumah Api Pantai Senok. Dari menara ini anda boleh melihat pemandangan panoramik yang menakjubkan.
16. Panggung Pusaka Sri Gunung
Kalau nak tengok persembahan tradisional Kelantan, anda boleh berkunjung ke Panggung Pusaka Sri Gunung.
Panggung ini menawarkan persembahan wayang kulit Kelantan, dikir barat, mak yong dan seni persembahan tradisional Kelantan yang lain.
Namun, perlu diingatkan bahawa persembahan mungkin tidak diadakan setiap hari, jadi pastikan anda periksa jadual persembahan terlebih dahulu sebelum datang.
17. Kampung Kraf Tangan
Kampung Kraftangan sebenarnya bukan kampung tradisional tetapi lebih kepada pusat kebudayaan yang direka untuk mempamerkan dan memelihara seni kraftangan tempatan.
Bangunan-bangunannya dibina menggunakan elemen kayu dan buluh, mencerminkan seni bina tradisional rumah Melayu Kelantan.
Di sini, pengunjung boleh menyaksikan demonstrasi langsung pelbagai jenis kraftangan seperti tenunan songket, mencanting batik, kerja perak dan ukiran kayu yang dilakukan oleh tukang-tukang yang cukup mahir.
Lebih menarik lagi, anda berpeluang untuk mencuba sendiri aktiviti mencanting batik di sini.
Selain itu, terdapat kedai-kedai yang menjual pelbagai kraftangan tempatan. Memang best dan berbaloi untuk dilawati!
18. Pasar Wakaf Che Yeh
Pasar Wakaf Che Yeh memang wajib singgah terutamanya jika anda membeli-belah dan merasai suasana tempatan yang meriah.
Pasar ini terkenal dengan pelbagai barangan yang dijual pada harga yang berpatutan. Ini termasuklah pakaian, aksesori, barangan rumah dan cenderamata.
Oh tak lupa juga, di sini juga tempat makan yang menjadi pilihan ramai terutamanya bagi mereka yang ingin mencuba makanan yang popular di Kelantan seperti kerabu maggi, pulut mangga, teh tarik madu dan macam-macam lagi.
Pasar ini beroperasi dari jam 7 malam hingga 2 pagi setiap hari.
19. Taman Indera Petra
Taman Indera Petra ni taman rekreasi di Kota Bharu yang menawarkan pelbagai kemudahan dan aktiviti untuk pengunjung.
Taman seluas 2 ekar ini dilengkapi dengan pelbagai tarikan termasuklah Taman Tema Air Splash. Bawa anak-anak ke sini memang seronok!
Selain itu, terdapat juga taman permainan kanak-kanak, medan selera, surau, tandas awam, pusat memanah, pusat aerobik dan pelbagai lagi kemudahan lain disediakan.
20. Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor
Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor adalah salah satu destinasi membeli-belah yang menarik di Kelantan.
Kawasan ini menawarkan pelbagai barangan bebas cukai termasuk pakaian, barangan elektronik, kosmetik dan makanan.
Selain itu, gerai-gerai makanan di sini juga menjual pelbagai hidangan tempatan seperti mee celup, mee chambul, pulut ayam dan sebagainya.
Jangan lupa singgah ya!
21. Street Art Kota Bharu
Pastikan juga anda singgah di Street Art Kota Bharu untuk mengambil gambar kenang-kenangan bersama lukisan mural yang menarik di sini.
Lukisan-lukisan mural ini menggambarkan pelbagai tema;i kehidupan seharian masyarakat tempatan hingga isu-isu global.
Salah satu bahagian yang menarik adalah lorong yang dikenali sebagai “Lorong Palestine”, di mana terdapat banyak lukisan berkaitan dengan isu Palestin. Selain itu, terdapat juga lukisan lantai yang dilukis di atas laluan.
Projek street art ini bukan sahaja indah dipandang, tetapi juga membawa mesej sosial dan budaya yang penting.
BACA JUGA: