Tempat Menarik Di Bangkok yang Wajib Dikunjungi – Tarikan Utama
Salah satu destinasi tumpuan pelancong yang berkunjung ke Thailand adalah Bangkok. Ia merupakan sebuah bandaraya yang merupakan ibu kota Thailand.
Terkenal dengan kepelbagaian budayanya, kuil-kuil dengan tarikannya tersendiri, makanan jalanan yang menyelerakan serta suasana bandar yang meriah, Bangkok menawarkan pengalaman percutian yang menyeronokkan untuk setiap pengunjungnya.
Artikel kali ini akan berkongsi beberapa tempat menarik di Bangkok yang wajib anda kunjungi apabila bercuti di Thailand.
BACA JUGA: 10 Things To Do In Krabi (2024): Aktiviti Wajib Buat Di Krabi, Thailand!
Tarikan Utama Di Bangkok
1. Tempat Bersejarah & Budaya
Bangkok bukan sahaja berfungsi sebagai ibu kota dan pusat ekonomi Thailand, tetapi juga sebuah bandar yang kaya dengan sejarah dan budaya. Terdapat banyak kuil dan monumen bersejarah yang menghiasi bandar ini. Secara tidak langsung, ia menjadi tarikan bagi pelancong yang datang ke sini.
2. Pasar Tradisional dan Tempat Membeli-belah
Bangkok juga dikenali sebagai syurga membeli-belah. Terdapat banyak pilihan pasar tradisional dan pusat membeli-belah moden yang menawarkan pelbagai jenis barangan termasuklah kraftangan.
3. Aktiviti Alam Semulajadi & Outdoor
Walaupun Bangkok terkenal dengan bandar raya yang sibuk, terdapat juga beberapa tempat semula jadi yang menenangkan yang membolehkan pelancong bersantai dan menikmati keindahan alam semulajadi di tengah-tengah hiruk-pikuk bandar.
4. Tempat Makan Menarik
Bangkok juga terkenal dengan makanannya, terutamanya makanan jalanan yang diakui antara yang terbaik di dunia. Terdapat banyak pilihan dan lokasi tempat makan yang anda boleh kunjungi di Thailand.
Senarai Tempat Menarik Di Bangkok yang Wajib Dikunjungi
1. Wat Arun (Kuil Fajar)
Salah satu kuil yang paling terkenal di Bangkok ialah Wat Arun (Wat Arun Ratchawararam Ratchawaramahawihan) atau lebih dikenali sebagai Kuil Fajar.
Kuil ini terletak di tepi Sungai Chao Phraya dan terkenal dengan menara pagodanya yang tinggi. Selain itu, reka bentuk dan seni bina uniknya juga menjadi tarikan untuk pelancong berkunjung dan mengambil gambar di sini.
Wat Arun menawarkan pemandangan yang menakjubkan, terutama semasa matahari terbenam, apabila kuil ini diterangi oleh cahaya keemasan yang memukau. Pengunjung boleh menaiki tangga ke puncak pagoda untuk menikmati pemandangan bandar dari atas.
2. Wat Phra Kaew (Kuil Buddha Zamrud)
Wat Phra Kaew adalah kuil yang paling suci (sacred) di Thailand. Di dalamnya, terletak Buddha Zamrud, sebuah patung Buddha kecil yang dipuja oleh rakyat Thai.
Keindahan reka bentuk, seni bina dan dekorasi kuil ini sangat menarik perhatian ramai pengunjung untuk berkunjung ke sini dan mengambil gambar.
Sedikit pesanan mesra, pastikan anda memakai pakaian yang sopan dan sesuai ketika berkunjung ke kuil ini sebagai tanda hormat.
3. Wat Pho (Wat Phra Chetuphon)
Wat Pho atau, dikenali sebagai Kuil Buddha Berbaring terletak tidak jauh dari Grand Palace. Kuil ini terkenal dengan patung Buddha Berbaring yang besar dan indah, serta menjadi tempat asal urut tradisional Thai yang terkenal di seluruh dunia.
Kuil ini diiktiraf sebagai pusat urut Thai yang tertua di negara ini, dan sehingga kini, ia menawarkan kursus-kursus urut tradisional. Anda boleh menikmati urutan Thai yang asli di sini, yang dilakukan oleh pengamal urut profesional yang dilatih di sekolah urut kuil tersebut.
4. Grand Palace (Istana Raja)
Tidak jauh dari Wat Phra Kaew dan Wat Pho, Grand Palace adalah satu lagi tarikan pelancong yang wajib dikunjungi di Bangkok.
Dibina pada tahun 1782, kompleks ini pernah menjadi kediaman rasmi raja-raja Thailand. Kini, ia dibuka kepada umum untuk lawatan.
Dengan seni bina yang menggabungkan unsur-unsur tradisional Thai dan Eropah, Grand Palace adalah contoh terbaik tentang sejarah dan kebudayaan diraja Thailand. Seni bina yang megah dan hiasan yang rumit menjadikan tempat ini sangat menarik untuk dilawati.
Jangan lupa luangkan masa untuk menjelajahi setiap sudut dan kawasan istana yang luas ini dan ambil gambar bersama bangunan-bangunannya sebagai kenangan.
5. Chatuchak Market
Seterusnya, tempat menarik di Bangkok yang wajib dikunjungi ialah Chatuchak Market. Ia merupakan pasar hujung minggu terbesar di Thailand dan juga di dunia!
Pasar ini mempunyai lebih 15,000 gerai yang menjual segala-galanya. Ya betul semua ada disini. Pakaian, aksesori, cenderahati, makanan, minuman dan macam-macam lagi. Terdapat juga pelbagai barangan yang unik dan jarang ditemui di tempat lain dijual disini.
Di sinilah tempat terbaik untuk membeli cenderahati asli Thailand seperti kain sutera, barangan seni, dan produk kraftangan tempatan.
Seperti biasa, kalau pergi mana-mana pasar jangan lupa gunakan kemahiran menawar anda untuk dapatkan harga yang terendah.
6. Asiatique The Riverfront
Selain pasar Chatuchak, anda juga boleh berkunjung ke Asiatique The Riverfront untuk membeli-belah. Ia menggabungkan suasana pasar malam dengan pemandangan tepi sungai, Sungai Chao Phraya.
Terdapat pelbagai jenis barangan dijual disini termasuklah makanan. Jadi, anda boleh menikmati makan malam sebelum meneruskan aktiviti membeli-belah atau mengisi perut selepas penat membeli-belah.
Jangan lepaskan peluang untuk menaiki roda ferris untuk melihat panorama bandar Bangkok pada waktu malam okay!
7. Pasar Terapung (Floating Market)
Tidak lengkap percutian anda di Thailand sekiranya tidak singgah di mana-mana pasar terapung di Thailand. Pasar terapung adalah simbolik dan salah satu tarikan utama di Thailand tau.
Pasar Terapung yang terbesar di Bangkok ialah pasar terapung Damnoen Saduak. Anda boleh menaiki bot kecil melalui laluan sungai yang dipenuhi dengan deretan kedai di atas air.
Di sini pengunjung juga boleh membeli makanan tempatan dan juga pelbagai barangan dari bot-bot kecil sambil menikmati keunikan di persekitarannya.
8. Pratunam Market
Pratunam Market juga salah satu tempat menarik di Bangkok yang terkenal dengan harga borong untuk barangan seperti pakaian dan aksesori.
Pasar ini adalah syurga bagi mereka yang ingin mendapatkan barang-barang fesyen dengan harga berpatutan. Terdapat pelbagai jenis pakaian dijual di sini, dari pakaian kasual, pakaian tradisional Thai, sehinggalah pakaian sukan.
Selain pakaian, Pratunam Market juga terkenal dengan pelbagai aksesori fesyen seperti beg tangan, topi, kasut, dan perhiasan yang trendy. Bukan itu sahaja, di sini juga anda boleh beli kain dan tekstil berkualiti tinggi dengan harga yang rendah.
9. MBK Center
MBK Center adalah salah satu pusat beli-belah di Thailand. Bagi mereka yang mencari barangan elektronik, pakaian murah dan aksesori teknologi, MBK Center adalah pilihan yang terbaik.
Pusat membeli-belah ini terkenal di kalangan pelancong kerana harga barangan yang jauh lebih rendah berbanding tempat lain. Namun, jangan lupa untuk meneliti kualiti barangan sebelum membuat pembelian, terutamanya untuk barangan elektronik.
10. Taman Lumpini
Taman Lumpini adalah oasis hijau di tengah-tengah Bangkok yang menjadi tempat kegemaran penduduk tempatan dan pelancong untuk berehat serta melakukan aktiviti rekreasi.
Taman ini menyediakan kawasan yang luas untuk berjoging, berbasikal, atau hanya duduk-duduk menikmati suasana tenang.
Anda juga boleh melihat beberapa spesies burung eksotik yang hidup di taman ini. Pada waktu pagi, anda berpeluang melihat penduduk tempatan melakukan senaman tai chi di taman ini. Manakala pada petang, ramai yang datang untuk bersantai bersama keluarga.
BACA JUGA: 10 Makanan Thailand Yang Sedap dan Wajib Dicuba
Bercuti Di Bangkok Bersama KLOOK
Jangan lupa buat tempahan awal tempat penginapan dan pakej-pakej aktiviti untuk memudahkan percutian anda di Bangkok Thailand.
Tempahan boleh dilakukan secara dalam talian melalui KLOOK untuk penjimatan berganda-ganda!
Klook.comKesimpulan
Bangkok adalah destinasi yang memukau dengan tarikannya tersendiri. Ia menawarkan sesuatu untuk semua peringkat umur. Bandar ini adalah syurga bagi pelancong yang mencari pengembaraan atau percutian yang ‘berwarna-warni’ dan penuh pengalaman.