Senarai 28 Tempat Larangan Merokok Di Malaysia

tempat larangan merokok
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Setelah penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang bermula pada 1 Oktober 2024, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan sebanyak 28 tempat larangan merokok menurut akta tersebut.

Langkah ini bagi memastikan tempat-tempat berikut adalah selamat daripada aktiviti merokok yang akan melindungi orang ramai terutamanya wanita dan anak-anak kecil.

Penambahan senarai tempat larangan merokok ini melibatkan kedai dobi dan bangunan tempat kerja di kedua-dua sektor kerajaan dan swasta yang kini diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Sebelum ini, hanya bangunan tempat kerja yang mempunyai pendingin hawa digazetkan di dalam senarai tempat larangan merokok, namun selaras dengan pelaksanaan Akta 852, premis tempat kerja sama ada terbuka atau mempunyai penyaman udara turut terikat dengan Akta 852.

Mengenai Akta 852

Akta 852 ialah undang-undang bagi perkara yang melibatkan dengan kawalan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau dan peranti merokok.

Tujuannya untuk memelihara kesihatan awam dan melahirkan suatu generasi baharu yang bebas daripada pengaruh apa-apa produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau dan peranti merokok, dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.

Sebelum ini, penggubalan akta ini dibuat kerana kawalan produk merokok hanyalah sebagai sebuah peraturan-peraturan yang berada di bawah Akta Makanan 1983.

Penguatkuasaan Akta 852

Akta ini akan dikuatkuasakan dalam dua fasa iaitu:

  • Penguatkuasaan segera
  • Penguatkuasaan berasaskan pendidikan

Penguatkuasaan segera, yang bermula pada 1 Oktober menyasarkan penjualan produk merokok dalam bentuk permainan yang menarik minat kanak-kanak dan remaja, bertujuan untuk mengehadkan ketersediaan mereka, terutama kepada golongan bawah umur.

Penguatkuasaan pendidikan pula akan dilaksanakan bagi tempoh enam sehingga 12 bulan daripada tarikh kuatkuasa bagi aspek-aspek pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.

Hukuman Merokok Ditempat Larangan Merokok

Mana-mana individu yang gagal mematuhi perkara ini dan didapati merokok di kawasan lawaran merokok bakal berdepan dengan kompaun sehingga RM5,000.

Senarai 28 Tempat Larangan Merokok

Berikut merupakan senarai tempat larangan merokok di Malaysia:

  • Pusat hiburan atau teater, kecuali kasino
  • Kawasan hospital atau klinik
  • Lif atau tandas awam
  • Tempat makan
  • Kedai berhawa dingin
  • Bangunan dobi
  • Bangunan hentian pengangkutan awam
  • Kawasan lapangan terbang kecuali kawasan atau bilik merokok yang telah diluluskan
  • Kawasan premis kerajaan
  • Bangunan Parlimen Malaysia
  • Mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan sama ada di mana-mana tempat awam atau di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian
  • Kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi
  • Kawasan taman asuhan kanak-kanak
  • Kaunter perkhidmatan awam
  • Kompleks membeli-belah
  • Kawasan stesen minyak
  • Bangunan stadium, pusat kecergasan atau gimnasium
  • Kawasan kompleks sukan
  • Bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan
  • Kawasan perpustakaan
  • Kafe internet
  • Kawasan tempat latihan khidmat negara
  • Bangunan tempat kerja
  • Kawasan rehat dan rawat kecuali tempat letak kereta awam terbuka
  • Kawasan taman awam kecuali tempat letak kereta awam terbuka
  • Di dalam bas sekolah
  • Di dalam kenderaan awam
  • Menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi, dan lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi dalam taman negara atau taman negeri

Info Lanjut

Info lanjut mengenai tempat larangan merokok dan Akta 852, sila layari laman web KKM iaitu https://www.moh.gov.my

Baca juga: Akta 852: Perincian Akta Kawalan Produk Merokok 2024

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut