Tarif US Malaysia, Mulai 1 Ogos 2025 – Kadar & Impaknya
Terkini, langkah penguatkuasaan tarif bermula 1 Ogos 2025 diumumkan sebagai sebahagian daripada tindakan balas perdagangan oleh AS, yang memberi kesan kepada produk tertentu dari beberapa negara termasuk Malaysia.
Untuk pengetahuan anda, Amerika Syarikat merupakan rakan dagang ketiga terbesar bagi negara kita. Oleh yang demikian, tarif yang dikenakan mempunyai impak yang sangat besar buat negara kita.
Bagi mengetahui lebih lagi tentang tarif ini seperti jumlah tarif yang dikenakan dan kesannya ke atas ekonomi negara, pastikan anda terus membaca artikel ini sehingga ke penghujung artikel ini.
Apa itu Tarif?
Bagi anda yang tidak tahu makna tarif, ia merupakan cukai yang dikenakan oleh kerajaan sesebuah negara ke atas barang dan perkhidmatan yang diimport dari negara lain.
Tarif ini boleh digunakan untuk meningkatkan pendapatan, mempengaruhi aliran perdagangan, atau melindungi industri domestik negara tersebut. Berikut merupakan beberapa sebab sesebuah negara itu mengenakan tarif.
- Memelihara Perniagaan dan Pekerjaan Tempatan
- Melindungi Kepentingan Pengguna Domestik
- Melindungi Industri Baharu
- Menyediakan Keselamatan Negara
- Tindakan Balas Balas
Tarif US Malaysia
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengumumkan kenaikan tarif ke atas semua produk import dari Malaysia.
Mulai 1 Ogos 2025, Amerika Syarikat akan mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas semua produk dari Malaysia.
Kadar ini adalah lebih tinggi berbanding tarif awal sebanyak 24 peratus yang diumumkan pada April, dan pelaksanaannya telah ditangguhkan selama 90 hari untuk memberi ruang kepada rundingan antara kedua-dua negara.
Malaysia dikenakan kadar tetap 25 peratus, sama seperti Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan.
Negara lain seperti Afrika Selatan, Bosnia & Herzegovina, Serbia, Bangladesh, Kemboja, Thailand, Laos dan Myanmar pula dikenakan tarif lebih tinggi, sehingga 40 peratus.
Menurut Trump, langkah ini diambil untuk menangani ketidakseimbangan perdagangan yang didakwa berpunca daripada dasar tarif dan bukan tarif Malaysia yang dianggap tidak adil serta pelbagai halangan perdagangan.
Trump turut memberi amaran bahawa sebarang tindakan balas dari Malaysia atau negara lain dengan menaikkan tarif terhadap produk AS akan menyebabkan tarif tambahan dikenakan ke atas produk mereka.
Rundingan antara Malaysia dan Amerika Syarikat masih diteruskan, dengan kerajaan Malaysia menegaskan pendirian bahawa sebarang tarif unilateral akan memberi kesan negatif kepada kedua-dua negara.
Tujuan utama rundingan ini adalah untuk melindungi kepentingan syarikat tempatan, pekerja, dan rakyat Malaysia.
MITI berusaha memastikan syarikat-syarikat Malaysia masih dapat bersaing dan peluang pekerjaan tidak terjejas teruk akibat dasar tarif baharu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa Malaysia berharap kadar tarif dapat dikurangkan dan hubungan perdagangan dengan AS dapat dikekalkan.
BACA JUGA: Kalkulator Bil Elektrik TNB – Semak Anggaran Tarif Baru 2025
Impak Tarif AS Malaysia
1. Kesan tertumpu kepada eksport:
Kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat memberi kesan utama kepada sektor eksport Malaysia.
Ini bermakna syarikat-syarikat Malaysia yang mengeksport produk ke AS akan menghadapi cabaran seperti peningkatan kos, kemungkinan penurunan permintaan, dan persaingan yang lebih sengit di pasaran antarabangsa.
2. Impak kepada pengguna diminimumkan:
Kerajaan sedang mengambil langkah-langkah mitigasi untuk memastikan impak tarif ini tidak memberi kesan besar kepada pengguna dalam negara.
Ini termasuk usaha menstabilkan harga barangan di pasaran tempatan, menyokong industri yang terjejas, serta memperluas pasaran eksport ke negara lain supaya ekonomi domestik kekal stabil.
Kesan Baik Kepada Ekonomi Malaysia
1.Peluang Pelaburan dan Pemindahan Rantaian Bekalan
Negara-negara yang terlibat dalam perang perdagangan AS-China seperti Malaysia berpotensi mendapat manfaat kerana pindahan kilang dan rantaian bekalan dari China, terutamanya dalam pengeluaran produk elektronik dan komponen yang biasanya dieksport ke AS.
2. Pertumbuhan Sektor Perkilangan
Malaysia mendapat manfaat daripada pembangunan sektor perkilangan kerana tarif yang dikenakan terhadap produk China membuka peluang untuk lebih banyak pengeluaran domestik di Malaysia.
3. Pasaran Eksport Meluas
Malaysia dapat mencari pasaran alternatif bagi produk-produk yang biasa dieksport ke AS, seperti komoditi, elektronik, dan produk pertanian. Ini memberi peluang untuk diversifikasi eksport ke pasaran-pasaran lain, terutamanya ASEAN dan Eropah.
Kesan Buruk US Malaysia
1.Kenaikan Kos Pengeluaran
Kenaikan tarif import oleh AS menyebabkan kenaikan kos bahan mentah untuk negara-negara yang bergantung kepada bahan import, termasuk Malaysia.
2. Gangguan Rantaian Bekalan
Tarif yang tinggi menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan global, mengakibatkan beberapa sektor di Malaysia terjejas kerana bahan mentah dan komponen yang diimport menjadi lebih mahal.
3. Ketidaktentuan Ekonomi dan Perdagangan
Malaysia mengalami ketidaktentuan dalam pasaran eksport, terutamanya ke China dan AS. Walaupun terdapat peluang baharu, permintaan untuk produk eksport tertentu seperti kelapa sawit dan komponen elektronik menjadi lebih tidak menentu akibat kesan perang perdagangan.
4. Risiko tarif tambahan
Malaysia, sebagai negara yang terlibat dalam perdagangan dengan China, menghadapi risiko peningkatan tarif oleh AS jika negara ini dianggap sebagai negara perantara atau “transshipment” untuk produk China, yang meningkatkan kos bagi eksport Malaysia.
Sumber: Berita Harian
Langkah Strategik Tangani Tarif Amerika
Malaysia kini berada dalam fasa lanjutan rundingan dengan lebih 25 sesi libat urus bersama kementerian dan agensi dari Amerika Syarikat. Pendekatan strategik ini turut merangkumi tawaran komersial bernilai tinggi bagi mencapai penyelesaian yang adil, seimbang dan berpandangan jauh.
Usaha ini dilaksanakan bagi mengurangkan tekanan terhadap industri eksport serta mengekalkan kestabilan perdagangan dua hala dan ekonomi negara. Fokus rundingan kekal kepada melindungi kepentingan nasional dan memastikan hubungan dagangan terus kukuh dan mampan.
Sumber: Ministry of Investment, Trade and Industry, Malaysia