Kesihatan buah pinggang adalah salah satu elemen penting yang setiap orang perlu titikberatkan demi menjalani hidup yang berkualiti.
Namun disebabkan kurangnya kesedaran, ramai yang gagal untuk kenalpasti masalah ini pada tahap awal.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, sebahagian besar pesakit buah pinggang hanya dapat mengesan tanda buah pinggang rosak pada tahap yang kronik.
Pakar Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Wan Hazlina Wan Mohamad berkata, ini adalah disebabkan penyakit ini tidak mempunyai simptom dan boleh berlarutan selama bertahun-tahun.
Kebanyakan pesakit juga hanya mengetahui status kesihatan mereka selepas fungsi organ penting ini berbaki bawah 15 peratus sahaja.
Jika buah pinggang sudah berada di tahap kronik, keadaan tersebut akan kekal walaupun pesakit mendapat rawatan di hospital.
Sebaliknya, pakar perubatan hanya boleh mengelakkan penyakit melarat serta mengurangkan komplikasi menerusi rawatan dan ubat-ubatan.
Tanda Buah Pinggang Rosak
Pesakit yang mengalami kerosakan ginjal boleh menunjukkan beberapa simptom atau tanda seperti berikut :
- Badan sering merasa lemah dan lesu. Kulit juga kelihatan pucat akibat kekurangan darah merah
- Rasa mual, muntah dan hilang selera makan.
- Gatal seluruh badan
- Sesak nafas
- Bengkak pada bahagian pergelangan kaki
- Kekeliruan pada tahap yang melarat
- Kencing berbuih
- Darah keluar bersama air kencing
- Kerap kencing terutamanya pada waktu malam
- Pengeluaran kencing berkurangan
- Menghidap darah tinggi di usia muda atau bacaan tekanan darah sukar dikawal
Punca Sakit Buah Pinggang dan Cara Mencegah
Punca utama bagi penyakit ginjal di Malaysia adalah penyakit kencing manis.
Pada masa yang sama, penyakit lain seperti darah tinggi, kegemukan, batu karang dan merokok juga boleh menjadi penyumbang.
Perkara paling utama yang boleh dilakukan bagi mencegah masalah buah pinggang adalah dengan melakukan pencegahan awal menerusi :
- Pengambilan makanan seimbang dan berkhasiat
- Amalan rutin senaman dan banyakkan aktiviti melibatkan pergerakan fizikal.
- Pengawalan berat badan.
Cara Kenalpasti Penyakit Buah Pinggang
Penyakit buah pinggang boleh dikenalpasti pada peringkat awal melalui beberapa ujian iaitu :
- Ujian air kencing
- Pemeriksaan tekanan darah
- Ujian darah
Adalah penting untuk anda amalkan gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang bagi mengelakkan risiko penyakit kronik termasuk masalah buah pinggang.
Jangan tunggu sehingga munculnya tanda buah pinggang rosak. Sebaliknya, lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala di klinik kesihatan terdekat.
Ini penting bagi mengesan penyakit buah pinggang serta masalah kesihatan lain di peringkat awal.
Sumber : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Berita Harian