Syarat Sah Solat, Syarat Wajib & Perkara Membatalkan Solat

Syarat Sah Solat, Syarat Wajib Solat & Perkara-perkara Membatalkan Solat
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Syarat Sah Solat, Syarat Wajib & Perkara Membatalkan Solat

Salah satu kewajiban utama bagi umat Islam adalah menunaikan solat. Solat merupakan tiang agama Islam dan merupakan rukun Islam kedua. 

Allah berfirman dalam Surah Al Baqarah, ayat 43:

وَاَقِيْمُوا الصَّلٰوةَ وَاٰتُوا الزَّكٰوةَ وَارْكَعُوْا مَعَ الرّٰكِعِيْنَ

Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

Bagi memastikan ibadah solat kita ditunaikan dengan sempurna, kita perlu berusaha untuk mempelajari dan memahami asas-asas ibadah ini seperti syarat sah solat, syarat wajib, perkara membatalkan solat dan sebagainya. 

BACA JUGA: Maksud Jamak, Syarat Solat Jamak & Had Hari Yang Dibenarkan Solat Jamak Qasar

Pengertian Solat

Syarat Sah Solat, Syarat Wajib Solat & Perkara-perkara Membatalkan Solat

Dari sudut istilah syarak, solat ialah himpunan perkataan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbir (membesarkan Allah Taala), dan diakhiri dengan taslim (memberi salam) dengan syarat-syarat tertentu.

Solat fardu diwajibkan ke atas umat Islam sebanyak 5 kali sehari pada waktu-waktu tertentu. Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solar subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak.

Sekiranya seseorang tertinggal solat fardu, wajib baginya untuk mengulanginya dengan niat qada. Bagi mereka yang musafir, mereka diharuskan bagi solat dengan mengqasarkan dan menjamakkannya.

 Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

Surah an-Nisa’, ayat 103

Syarat Wajib Solat

Merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terdapat tiga syarat wajib solat:

1. Islam

2. Baligh

3. Berakal

NOTA: Kanak-kanak yang berumur 7 tahun hendaklah diajarkan dan disuruh mengerjakan solat dan setelah umur 10 tahun bolehlah dipukul sekiranya masih belum mahu menunaikan solat. 

عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ رسولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ.

Maksud: Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda  Rasulullah saw: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.

Syarat Sah Solat, Syarat Wajib Solat & Perkara-perkara Membatalkan Solat

Syarat Sah Solat

Terdapat lima syarat sah solat iaitu:

1. Masuk Waktu Solat

2. Menghadap Kiblat

3. Menutup Aurat

4. Suci Daripada Najis

5. Suci Daripada Hadas

Syarat Sah Solat, Syarat Wajib Solat & Perkara-perkara Membatalkan Solat

Perkara-Perkara Yang Membatalkan Solat

  1. Keluar/kedatangan hadas besar atau kecil.
  2. Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit yang memberi faham, atau ketawa.
  3. Makan/minum walau sedikit.
  4. Melakukan pergerakan di luar rukun solat tiga kali berturut-turut(mutawaliyat).
  5. Berniat keluar dari solat
  6. Terkena najis yang tidak dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat solat.
  7. Beralih arah dari kiblat dengan sengaja (berpaling dada).
  8. Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak segera ditutup.
  9. Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
  10. Meninggalkan rukun solat.
  11. Murtad

Waktu Solat 

Solat Subuh

Solat Subuh boleh ditunaikan setelah terbit fajar shadiq sampai terbitnya matahari. 

Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. 

Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.

Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

Solat Zohor

Solat Zohor dimulai sejak matahari tergelincir ke barat dan berakhir di saat bayangan sesuatu benda itu sama betul panjangnya dengan benda itu. 

Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.

Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

  1. Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
  2. Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
  3. Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
  4. Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas 

Solat Asar 

Waktunya dimulai setelah waktu Zohor habis, iaitu ketika bayangan sesuatu benda sama panjang dengan bendanya dan berakhir setelah terbenamnya matahari. 

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. 

Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

  1. Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
  2. Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
  3. Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
  4. Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun. 

Solat Maghrib 

Waktunya dimulai setelah terbenamnya matahari dan berakhir apabila mega merah telah hilang. 

Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. 

Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

  1. Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
  2. Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
  3. Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya. 

Solat Isyak 

Waktunya dimulai setelah hilangnya mega merah sampai terbitnya fajar shadiq. 

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita.

Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

  1. Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
  2. Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
  3. Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
  4. Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

Sumber:

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

2. Solat – emualaf

3. https://quran.com/ 

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut