Surah Al-Fatihah: Ayat, Lafaz Rumi, dan Maknanya
Surah Al-Fatihah adalah merupakan surah pertama dalam Al-Quran. Surah ini juga dikenali sebagai Ummul Kitab atau surah pembukaan. Ia mengandungi 7 ayat yang mengandungi maksud yang mendalam.
Dalam artikel kali ini, berikut dikongsikan ayat surah Al-Fatihah, lafaz rumi, dan maknanya.
BACA JUGA: Ayat Ruqyah – Penawar Penyakit, Sihir, ‘Ain & Gangguan Makhluk Halus
Pengenalan Surah Al-Fatihah
Surah Al-Fatihah merupakan surah pertama yang lengkap yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW. Surah ini merupakan permulaan yang ideal untuk memahami dan memperoleh manfaat daripada pengajaran Al-Quran.
Surah Al-Fatihah bermula dengan memuji Allah sebagai Rabb al-‘Alamin (Pemelihara dan Penguasa Semesta Alam), yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.
Kemudian, surah ini menyatakan bahawa hanya kepada Allah kita beribadah dan hanya kepada-Nya kita memohon pertolongan.
Surah ini menyatakan bahawa kita hendaklah meminta petunjuk kepada jalan yang lurus (sirat al-mustaqim) dan dijauhkan daripada dari jalan orang-orang yang sesat dan dimurkai.
Surah Al-Fatihah juga mempersembahkan syukur dan pengabdian kepada Allah serta mengakui kebesaran-Nya sebagai Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ia mengingatkan umat Islam tentang pentingnya tunduk kepada Allah dan mengikuti petunjuk-Nya untuk mencapai kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat.
Secara keseluruhan, Al-Fatihah bukan sahaja sebagai doa pembukaan dalam ibadah, tetapi juga mengingatkan tentang hubungan kita dengan Allah, keperluan kita akan petunjuk-Nya, dan pengakuan akan kebesaran-Nya.
Oleh itu, pemahaman mendalam terhadap pengenalan Surah Al-Fatihah penting bagi mereka yang ingin meraih manfaat sebenar daripada bacaan Al-Quran.
Bacaan Surah Al-Fatihah
Lafaz Rumi
1. Bismillahirrahmanirrahim
2. Alhamdu lillahi rabbil ‘alamin
3. Ar-Rahmanir-Rahim
4. Maliki yawmi-d-din
5. Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in
6. Ihdinas-siratal mustaqim
7. Siratal ladhina an’amta ‘alaihim ghayril-maghdubi ‘alaihim walad-dallin
Terjemahan Bahasa Melayu
- Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
- Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
- Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
- Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
- Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
- Tunjukilah kami jalan yang lurus.
- Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Huraian Ringkas Setiap Ayat
1. بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
Surah Al-Fatihah bermula dengan lafaz “Bismillahirrahmanirrahim”, yang bermaksud “Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.” Lafaz ini menyeru kepada nama Allah serta menekankan sifat-sifat-Nya yang penuh dengan kasih sayang dan rahmat.
2. الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Ayat ini bermaksud “Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” Ayat ini adalah puji-pujian kepada Allah sebagai Pencipta dan Pentadbir seluruh alam semesta. Ia mengiktiraf keagungan dan kekuasaan-Nya sebagai Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan alam semesta.
3. الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
Ayat ini bermaksud “Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.” Pengulangan sifat rahmat dan kasih sayang Allah dalam ayat ini menekankan betapa luasnya rahmat-Nya kepada hamba-Nya. Ia mengingatkan kita bahawa Allah sentiasa mengasihi dan menyayangi hamba-Nya.
4. مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
Ayat ini menegaskan bahawa Allah adalah Penguasa yang akan mengadili semua manusia pada hari kiamat. Allah akan membalas amalan mereka dengan adil. Ayat ini mengingatkan tanggungjawab kita terhadap Allah dan keperluan untuk hidup dalam ketaatan kepada-Nya agar kita dapat menghadapi hari pembalasan dengan keyakinan dan ketenangan.
5. إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Ayat ini menyatakan bahawa hanya kepada Allah kita beribadah dan hanya kepada-Nya kita meminta pertolongan. Ia mengingatkan kita tentang tauhid, prinsip kebergantungan kepada Allah, yang merupakan asas kepada ajaran Islam.
6. اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
Ayat ini adalah permohonan kepada Allah agar diberi petunjuk dan hidayah untuk meniti jalan yang benar dalam kehidupan. Sebagai hambaNya kita hendaklah hidup dalam kepatuhan kepada ajaran Allah dan mengikuti jalan yang lurus yang telah ditetapkan-Nya.
7. صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ
Ayat ini merupakan doa agar diberikan hidayah untuk mengikuti jalan orang-orang yang diberkati dan dijauhkan daripada jalan orang-orang yang menimbulkan kemurkaan Allah atau yang berada dalam kesesatan.
Kelebihan Membaca Surah Al Fatihah
Surah Al-Fatihah mengandungi banyak kelebihan. Ini dijelaskan dalam Al-Quran, Surah Al-Hijr ayat 87:
“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.”
Surah Al-Hijr ayat 87
Berikut adalah antara kelebihan membaca Surah Al Fatihah:
1. Kunci untuk Memahami Al-Quran: Surah Al-Fatihah sering dianggap sebagai kunci untuk memahami Al-Quran. Ia mengandungi pokok-pokok ajaran utama dalam Islam seperti keimanan kepada Allah, ibadah kepada-Nya, permohonan petunjuk, dan pengabdian kepada-Nya.
2. Mengandungi Asas Aqidah: Al-Fatihah mengandungi asas aqidah atau kepercayaan yang mendasar bagi umat Islam. Ia menyatakan keyakinan kepada Allah sebagai Rabb al-‘Alamin, pemilik hari kiamat, dan satu-satunya yang berhak disembah.
3. Bukti Kebesaran Allah: Membaca Surah Al-Fatihah memperlihatkan kebesaran Allah sebagai pencipta alam semesta. Ia mengajarkan bahawa segala yang ada di dunia ini adalah ciptaan Allah, dan setiap perbuatan manusia sepatutnya bermula dengan pengakuan atas keagungan-Nya.
4. Petunjuk kepada Jalan yang Lurus: Surah Al-Fatihah merupakan doa memohon petunjuk kepada jalan yang lurus. Ini menekankan pentingnya hidup dalam ketaatan kepada Allah dan mengikuti jalan yang benar dalam setiap aspek kehidupan.
5. Doa Penyembuh: Sunat membaca kepada orang yang sakit dengan al-Fatihah berdasarkan hadith Nabi SAW:
وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ ؟
Maksudnya: Tidakkah kamu ketahui bahawa surah Fatihah bersifat ruqyah.
Riwayat al-Bukhari (5736) dan Muslim (2201)
Kesimpulan
Surah Al-Fatihah adalah syarat sah setiap solat yang ditunaikan dan merupakan doa permulaan yang disyariatkan. Ia juga mengandungi ajaran asas Islam serta doa meminta petunjuk dan rahmat dari Allah. Dengan mengetahui setiap ayat, lafaz rumi, dan terjemahannya, kita dalam memahami surah ini dengan lebih mendalam.
RUJUKAN:
- https://quran.com/alfatihah
- AL-KAFI #1024: HUKUM MEMBACA AL-QURAN UNTUK PENYEMBUHAN. Mufti Wilayah Persekutuan.