Solat jenazah ghaib merupakan salah satu amalan dalam Islam yang sering dilakukan apabila seorang Muslim meninggal dunia tetapi jenazahnya tidak berada di tempat kita, sama ada kerana berada di lokasi yang jauh atau hilang tanpa jejak.
Amalan ini penting untuk difahami oleh umat Islam kerana ia menunjukkan rasa tanggungjawab dan solidariti sesama Muslim.
Berikut dikongsikan lebih lanjut mengenai solat jenazah ghaib, termasuk tatacara pelaksanaannya, hukum dan kepentingannya.
BACA JUGA: Berapa KM Boleh Solat Jamak? – Jarak Perjalanan Solat Jamak
Apa Itu Solat Jenazah Ghaib?
Solat jenazah ghaib adalah solat jenazah yang dilakukan untuk seseorang yang telah meninggal dunia, tetapi jasadnya tidak berada di hadapan orang yang melakukan solat tersebut.
Situasi ini biasanya berlaku apabila jenazah berada di tempat yang jauh atau tidak dapat dijumpai.
Dalam situasi ini, umat Islam digalakkan untuk melakukan solat jenazah ghaib sebagai tanda penghormatan dan doa kepada si mati.
Pensyariatan solat ini dapat dilihat berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
Maksudnya:“Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu akan berita kematian al-Najasyi ketika hari kematiannya. Baginda SAW keluar ke musolla, membuat saf dan bertakbir sebanyak empat kali”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hukum
Ulama bersepakat bahawa hukum mengerjakan solat jenazah adalah Fardhu Kifayah. Sekiranya dilakasanakan oleh sebahagian orang Islam, maka gugur kewajiban tersebut ke atas umat Islam yang lain.
Waktu Solat Ghaib
Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, solat jenazah ghaib boleh dilakukan bermula dari saat berita kematian dan berlanjutan selama tiga hari.
Ini kerana tiga hari itu adalah tempoh bertakziah menurut yang maklum dari kitab-kitab fiqh.
Namun pendapat yang muktamad adalah harus solat ghaib selama mana beliau adalah ahli solat ketika kematian berlaku.
(Rujuk al-Tanbih hal. 38, al-Umm 1/244 dan Mughni al-Muhtaj,1/346)
Syarat
Antara syarat solat jenazah ialah:
- Solat jenazah ghaib dilakukan di negeri yang berlainan dengan keberadaan mayat.
- Solat jenazah ghaib tersebut dilaksanakan setelah dimandikan mayat tersebut. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, hlm 385 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/600)
Tatacara Solat Jenazah Ghaib
Pelaksanaan solat jenazah ghaib adalah sama dengan solat jenazah yang biasa.
Pertama: Bertakbiratul ihram sambil berniat solat Jenazah. Contoh lafaz niat adalah seperti berikut: “Sahaja aku solat ke atas mayat ini fardhu kerana Allah Taala.”
Kedua: Setelah bertakbir, letakkan kedua-dua tangan ke dada sebagaimana solat biasa, kemudian bacalah fatihah.
Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Talhah bin Abdullah bin `Auf seperti berikut:
صَلَّيْتُ خَلْفَ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمَا عَلَى جَنَازَةٍ فَقَرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ قَالَ لِيَعْلَمُوا أَنَّهَا سُنَّةٌ
Maksudnya: “Aku bersolat Jenazah di belakang Ibn Abbas R.A, dia membaca Fatihah. Kemudian katanya: Supaya mereka tahu itulah sunnah.” [Riwayat al-Bukhari (1335)]
Ketiga: Setelah selesai membaca al-Fatihah, bertakbir pula kali kedua sambil mengangkat kedua-dua tangan hingga ke cuping telinga, kemudian meletakkannya semula ke dada, dan bacalah apa-apa selawat ke atas Nabi SAW. Selawat yang afdhal ialah selawat Ibrahimiyah sebagaimana yang telah disebutkan dalam bab hukum-hukum solat.
Keempat: Bertakbir kali ketiga dan diikuti dengan mendoakan mayat. Mendoakan mayat adalah maksud utama solat jenazah.
Perkara ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Umamah bin Sahal R.A:
أَنَّهُ أَخْبَرَهُ رَجُلٌ مِنْ أَصْخَابِ النَّبِيِّ أَنَّ السُّنَةَ فِي الصَّلاَةِ عَلَى الجَنَاَزَةِ أَنْ يُكَبِّرَ الإِمَامُ، ثُمَّ يَقْرَأُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ بَعْدَ التَكْبِيْرَةِ الأُوْلَى سِرًّا فِي نَفْسِهِ ثُمَّ يُصَلِّى عَلَى النَّبِيِّ وَيُخَلِّصَ الدُّعَاءَ لِلْجَنَازَةِ فِي التَكْبِيْرَاتِ وَلاَ يَقْرَأَ فِي شَيْءٍ مِنْهُنَّ ثُمَّ يُسَلِّمَ سِرًّا فِي نَفْسِهِ
Maksudnya: “Bahawa dia telah diberitahu oleh seorang lelaki di kalangan sahabat Nabi SAW bahawa solah jenazah menurut sunnah ialah imam bertakbir, kemudian membaca al-Fatihah dengan perlahan selepas takbir pertama, seterusnya berselawat ke atas Nabi SAW dan mendoakan jenazah semata-mata dalam takbir-takbir tersebut tanpa apa-apa bacaan yang lain. kemudian mengucapkan salam dengan perlahan.” (Riwayat al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, 4/39)
Demikian juga, sekurang-kurang bacaan doa adalah:
اللَّهُمَّ ارْحَمهُ أوِ اغْفِرلَه
Maksudnya: “Ya Allah! Rahmatilah dia. Atau Ya Allah! Ampunilah dia.” (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 1/602)
Kelima: Bertakbir kali keempat, kemudian berdoa:
اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ
Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.” [Riwayat Abu Daud (3201)]
Keenam: Mengucap salam sebanyak dua kali, iaitu ke kanan dan ke kiri sebagaimana salam solat-solat yang lain.
Kepentingan Solat Jenazah Ghaib
Solat jenazah ghaib bukan sahaja sebuah amalan ibadah, tetapi juga satu tanda penghormatan dan kasih sayang kepada saudara se-Islam yang telah pergi.
Ia memperlihatkan betapa pentingnya ukhuwah Islamiah, di mana umat Islam sentiasa mengingati satu sama lain dalam doa, walaupun jarak memisahkan.
Amalan ini juga mengajarkan kita tentang pentingnya berdoa dan memohon keampunan untuk orang lain, serta memberikan peringatan bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti dan kita harus sentiasa bersedia.
Selain itu, solat jenazah ghaib juga memberikan peluang kepada mereka yang tidak dapat menghadiri pengebumian secara fizikal untuk turut serta memberikan penghormatan terakhir kepada si mati.
Ini adalah manifestasi keprihatinan dan kepedulian terhadap sesama Muslim, dan menjadi bukti bahawa jarak bukanlah penghalang untuk melaksanakan tanggungjawab agama.
Kesimpulan
Solat jenazah ghaib merupakan satu amalan yang sangat penting dalam Islam, khususnya dalam situasi di mana kita tidak dapat hadir secara fizikal untuk solat jenazah seseorang.
Semoga artikel ini dapat memberikan panduan yang jelas dan bermanfaat kepada anda tentang solat jenazah ghaib, serta memperkukuhkan lagi kefahaman kita tentang amalan yang mulia ini.
Rujukan:
- AL-KAFI #968: KAIFIAT SOLAT JENAZAH GHAIB – Mufti WP
- Bagaimanakah-cara-cara-solat-ghaib-bagi-jenazah – Mufti Pahang
- 30-GARIS-PANDUAN-SOLAT-JENAZAH-SECARA-GHAIB-SIRI – ifatwa