Cara Solat Duduk Atas Kerusi – Panduan Lengkap JAKIM
Sebagai individu yang beragama Islam, solat adalah merupakan satu kewajipan. Perintah untuk bersolat adalah suatu fardu ke atas setiap mukalaf.
Kefarduan solat merangkumi dalam setiap keadaan, sama ada ketika bermusafir atau bermukim, dalam keadaan sakit atau sihat.
Oleh itu solat hendaklah ditunaikan sama ada dilakukan secara berdiri, duduk, berbaring atau secara isyarat sahaja.
Untuk artikel kali ini, kami akan kongsikan panduan lengkap cara solat duduk atas kerusi untuk rujukan semua.
BACA JUGA: Niat Solat Jemaah & Kelebihan Melakukannya
Pengenalan
Solat merupakan salah satu rukun Islam yang perlu dilaksanakan mengikut tertib yang telah ditetapkan. Solat adalah ibadah asas dalam Islam yang dipertanggungjawabkan kepada setiap mukallaf dalam apa jua keadaan termasuk ketika uzur atau sakit.
Solat dituntut untuk dilaksanakan secara berjemaah kerana ia merupakan syiar agama Islam yang mempunyai hukum dan kelebihan yang tersendiri.
Terdapat banyak ayat Al Quran dan hadis yang menunjukkan dalil serta kepentingan menunaikan solat. Salah satunya ialah seperti dalam Surah Taha ayat 14;
Firman Allah Taala:
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Maksudnya: Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
Kebelakangan ini muncul persoalan berkenaan solat secara duduk di atas kerusi bagi mereka yang uzur bersendirian dan berjemaah.
Hal ini amat perlu ditangani dengan baik untuk memelihara kesempurnaan ibadah solat yang menjadi tiang agama.
Garis panduan ini akan menerangkan kaedah melaksanakan solat secara duduk di atas kerusi secara bersendirian dan berjemaah.
Hukum Solat Bagi Orang Yang Tidak Mampu Berdiri
Berdiri atau Qiyam adalah rukun solat yang wajib dipatuhi.
Namun, syarak membenarkan seseorang itu duduk sekiranya dia tidak mampu berdiri. Inilah bukti keindahan Islam yang sentiasa memberi kemudahan kepada penganutnya.
Seseorang yang tidak mampu solat secara berdiri, dia dibolehkan bersolat secara duduk. Jika tidak mampu duduk, maka dibolehkan solat secara mengiring dan begitulah seterusnya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin Hussein yang mengadu kepada Rasulullah tentang beliau mengidap penyakit bawasir, lalu Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Solatlah secara berdiri, jika kamu tidak mampu, maka solatlah secara duduk, jika kamu tidak mampu juga, maka solatlah di atas rusuk (mengiring). “
– Riwayat al-Bukhari
Keuzuran Yang Dibenarkan Untuk Solat Secara Duduk
Keadaan-keadaan yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu melaksanakan salat secara duduk adalah sebagaimana berikut:
- Tidak mampu untuk berdiri.
- Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya bersolat secara berdiri.
- Jika dikhuatiri terjatuh atau menyebabkan tenggelam sekiranya berdiri seperti seseorang yang berada di atas kapal, sampan, atau perahu dan seumpamanya.
- Jika seseorang yang berasa pening sekiranya berdiri.
- Sakit yang boleh mengganggu kekhusyukan solat sekiranya dilakukan berdiri.
- Ketiadaan ruang yang membolehkan seseorang melaksanakan solat secara lazim seperti di dalam kapal terbang.
- Jika dikhuatiri jatuh atau berada pada kedudukan yang tidak stabil sekiranya berdiri seperti berada di dalam kapal terbang, kereta api dan seumpamanya.
- Seseorang yang mengalami penyakit kencing tak lawas (salis al-baul) yang jika sekiranya dia berdiri kemungkinan akan menyebabkan air kencingnya keluar.
Cara Solat Duduk Yang Dibolehkan
Solat hendaklah dilakukan secara berdiri kecuali dalam keadaan uzur yang tidak mampu berdiri seperti turutan berikut:
(a) Duduk di atas lantai
(b) Duduk di atas kerusi
(c) Baring secara mengiring
(d) Baring secara telentang/ isyarat
Duduk atas lantai yang paling afdal adalah duduk secara iftirasy atau mengikut keselesaan sama ada secara tawarruk atau tarabbu’ atau berlunjur.
Pelaksanaan solat secara duduk di atas kerusi diharuskan bagi seseorang yang dalam keadaan uzur yang tidak mampu untuk menunaikan solat seperti mana solat seorang yang sihat dan tidak mampu mengerjakannya secara duduk di atas lantai.
Tatacara Solat Fardu Bersendirian Secara Duduk Di Atas Kerusi
TATACARA SOLAT FARDU BERSENDIRIAN SECARA DUDUK DI ATAS KERUSI
TATACARA KEDUDUKAN KERUSI DALAM SOLAT BERJEMAAH
PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN
- Seseorang yang solat secara duduk di atas kerusi sekiranya berkemampuan sujud secara lazim, hendaklah melakukan sedemikian.
- Seseorang yang berkeyakinan dapat mengerjakan rukun berdiri, rukuk, iktidal dan / atau sujud hendaklah melakukannya mengikut keadaan lazim dengan secepat mungkin sepanjang menunaikan ibadah solat untuk mengelakkan solat terbatal.
- Pemilihan tatacara solat secara duduk di atas kerusi oleh seseorang adalah ditentukan berdasarkan tahap keuzuran yang ditanggungnya.
- Solat fardu yang telah dilakukan secara duduk di atas kerusi oleh orang yang uzur adalah sah dan tidak perlu diulangi atau diqada’ (ganti).
- Seseorang yang melaksanakan solat secara duduk di atas kerusi hendaklah tidak menyandarkan belakang kepada kerusi tanpa sebarang hajat atau keuzuran kerana perkara tersebut dihukumkan makruh.
- Seseorang uang uzur dan melaksanakan solat di atas kerusi tidak digalakkan menjadi imam kepada makmum yang tiada keuzuran dan melaksanakan solat secara lazim.
MUAT TURUN – Garis Panduan Solat Duduk Atas Kerusi – JAKIM 2025
Untuk panduan yang lebih terperinci dan terkini (2025), sila rujuk Garis Panduan Pelaksanaan Solat Secara Duduk di Atas Kerusi yang dikeluarkan oleh JAKIM.
Anda boleh muat turun secara PERCUMA keseluruhan booklet ini melalui QR code yang tertera pada poster di atas atau terus ke pautan di bawah: https://www.islam.gov.my/ms/e-penerbitan/4744-gp-solat-2
SOALAN LAZIM (FAQ)
Niat solat duduk atas kerusi sama sahaja dengan niat solat berdiri. Perkara yang membezakan adalah cara perlakuan solat, iaitu duduk di atas kerusi. Niat solat, sama ada solat fardu atau sunat, tetap sama, iaitu berniat di dalam hati untuk mendirikan solat fardu atau sunat yang tertentu.
Sila rujuk panduan lengkap melalui panduan yang diterbitkan oleh JAKIM : https://www.islam.gov.my/ms/e-penerbitan/4744-gp-solat-2
Solat hendaklah dilakukan secara berdiri kecuali dalam keadaan
uzur yang tidak mampu berdiri seperti turutan berikut:
(a) Duduk di atas lantai
(b) Duduk di atas kerusi
(c) Baring secara mengiring
(d) Baring secara telentang/ isyarat
Duduk atas lantai yang paling afdal adalah duduk secara iftirasy atau mengikut keselesaan sama ada secara tawarruk atau tarabbu’ atau berlunjur.
Sila rujuk gambar rajah di bawah:
Wanita hamil yang mempunyai masalah untuk melakukan mana-mana perbuatan solat tetap wajib menunaikan solat. Namun, diberi keringanan terhadapnya dengan dibenarkan untuk melakukan perbuatan solat tersebut seperti ruku’ atau sujud pada kadar kemampuannya sahaja.
Anda juga boleh merujuk panduan melalui risalah berikut:
Panduan Video Solat Secara Duduk
Anda juga boleh rujuk video di bawah:
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk dijadikan rujukan semua. Selamat beribadah!
Maklumat Lanjut
Garis Panduan ini terpakai kepada semua peringkat usia yang tidak mampu melaksanakan solat secara lazim disebabkan ada keuzuran tertentu yang dibenarkan syarak.
Mengaplikasikan garis panduan ini menjadikan solat dapat dilaksanakan dengan sempurna mengikut
acuan syarak selain dapat membentuk keselarasan bagi keselesaan semua jemaah dalam melaksanakan ibadah.
Sebarang kemusykilan berkaitan dengan Garis Panduan ini hendaklah dirujuk kepada:
KETUA PENGARAH JAKIM
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
Blok A & B, Kompleks Islam Putrajaya
No. 23, Jalan Tunku Abdul Rahman, Presint 3
62100 Wilayah Persekutuan Putrajaya, Malaysia
Tel. : 03-8870 7000
Cawangan Kajian Syariah
Bahagian Penyelidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Anda juga boleh baca soal jawab berkaitan solat duduk atas kerusi di sini: