Suri Kad Baucar baru sahaja dilancarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menambahbaik pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang diperkenalkan pada tahun 2022.
Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) telah dilaksanakan oleh PERKESO pada 1 Disember 2022 setelah Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 diluluskan oleh Parlimen.
Skim ini bertujuan untuk menjaga kebajikan dan melindungi golongan suri rumah apabila berlaku bencana domestik serta apa-apa penyakit yang menjejaskan keupayaan suri rumah dalam menguruskan rumah tangga.
Kerajaan mengiktiraf peranan suri rumah dalam ‘care economy’, yang turut membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Kementerian Sumber Manusia komited untuk merealisasikan hasrat Kerajaan bagi memastikan tiada golongan yang yang terpinggir dari mendapat perlindungan keselamatan sosial di negara ini, demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
BELANJAWAN 2024 : PEMBIAYAAN CARUMAN SKIM KESELAMATAN SOSIAL SURI RUMAH (SKSSR)
1. Kerajaan akan menambah baik program perlindungan sosial bagi memastikan golongan tumpuan terus mendapat perlindungan sewajarnya.
2. Untuk itu, Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah akan diteruskan dengan peruntukan RM50 juta yang akan memanfaatkan lebih 400 ribu suri rumah wanita yang berdaftar di bawah e-Kasih.
Sumber: Teks ucapan Perdana Menteri pada Pembentangan Bajet 2024
Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang skim ini untuk makluman bersama.
Apakah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR PERKESO)?
Berkuat kuasa 1 Disember 2022, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) akan memberi perlindungan kepada golongan wanita, sama ada suri rumah sepenuh masa atau separuh masa, daripada bencana domestik dan keilatan.
Skim ini menyediakan pelbagai faedah kepada suri rumah yang terlibat dalam bencana domestik atau menghidap keilatan yang menjejaskan keupayaan mereka untuk menguruskan rumah tangga.
Syarat Kelayakan
- Warganegara Malaysia / pemastautin tetap
- Belum mencapai umur 55 tahun
- Suri rumah yang melakukan aktiviti berkaitan pengurusan rumah tangga.
- Membayar caruman bagi tempoh 12 bulan secara terlebih dahulu (advance payment).
NOTA:
Siapakah Suri Rumah?
- Seorang perempuan sama ada berkahwin atau belum, yang menguruskan rumah tangga secara sepenuh masa atau separuh masa.
- Termasuk seorang isteri, janda, balu yang perkahwinannya berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis, atau seorang ibu yang mempunyai seorang anak atau lebih, iaitu termasuk juga ibu tunggal.
Pelaksanaan Skim Keselamatan Suri Rumah SKSSR PERKESO
Melalui skim itu, suami boleh mencarum untuk isteri secara sukarela dan tiada tindakan untuk mereka yang gagal melaksanakannya.
Bagaimanapun, jika pasangan berkenaan bercerai atau suami terbabit tidak mampu membayar caruman isterinya akibat hilang punca pendapatan atau seumpamanya, maka komitmennya untuk membayar caruman adalah terbatal.
“Dalam hal ini, isterinya atau suri rumah boleh membayar caruman SKSSR secara sukarela atau bayaran caruman tersebut juga boleh dibuat oleh mana-mana pihak ketiga,” menurut Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso, Izad Raya dalam sebuah kenyataan melalui Harian Metro.
Mengulas lanjut beliau berkata, bagi situasi di mana suami tidak memilih untuk membayar caruman SKSSR untuk isteri atau suri rumah yang tidak mempunyai suami, caruman berkenaan boleh dibayar sendiri oleh isteri atau suri rumah tersebut atau pihak ketiga kepada Perkeso.
Tarikh Pelaksanaan
Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) akan berkuat kuasa mulai 1 Disember 2022, dan inisiatif ini diteruskan lagi bagi tahun 2024, seperti mana yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024.
Manfaat & Faedah Ditawarkan
Skim ini akan memberi perlindungan kepada golongan wanita, sama ada suri rumah sepenuh masa atau separuh masa, daripada bencana domestik dan keilatan.
Contoh faedah yang ditawarkan termasuklah:
- Perubatan
- Hilang upaya kekal
- Elaun keuzuran
- Elaun layanan sentiasa
- Kemudahan pemulihan jasmani / dialisis
- Pengurusan mayat
- Pencen penakat
Rujuk lebih lanjut tentang faedah keilatan: https://www.perkeso.gov.my/perkhidmatan-kami/perlindungan/skim-keilatan.html
Cara Permohonan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR PERKESO)
Untuk memohon, sila layari laman web PERKESO https://suri.perkeso.gov.my
RUJUK PANDUAN PENGGUNA MELALUI MANUAL DI BAWAH:
Suri Kad Baucar
PERKESO melancarkan alternatif baharu untuk caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) iaitu menggunakan kad baucar suri.
Kepada yang berhajat nak jadikan kad baucar suri ini sebagai pemberian istimewa buat insan tersayang, pekerja atau sahabat handai dalam kalangan hawa, inilah masanya.
Dengan hanya RM120 setahun, mereka bakal dilindungi sekiranya mengalami kemalangan atau apa-apa insiden semasa melakukan urusan berkaitan rumah tangga.
Daftar di suri.perkeso.gov.my atau kunjungi mana-mana pejabat PERKESO di seluruh negara.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut, sila layari
- Laman web https://www.perkeso.gov.my/
- Facebook Pertubuhan Keselamatan Sosial
Sebarang pertanyaan, sila hubungi Pegawai Khidmat Pelanggan PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau e-mel kepada [email protected]
Baca juga: