Sifilis (syphilis) merupakan penyakit kelamin atau penyakit bawaan seks (STD) yang boleh berjangkit dan tersebar menerusi hubungan seks sama ada melalui vagina, dubur atau oral.
Pesakit biasanya malu untuk berkongsi masalah yang dialami, namun ini hanya akan menyukarkan doktor untuk mendiagnos dan memberi rawatan.
Jika tidak dibendung, ia boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang lebih teruk.
Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut mengenai penyakit kelamin ini.
Punca
Punca utama bagi penyakit sifilis adalah hubungan seks dengan pesakit sifilis melalui vagina, oral mahupun dubur.
Penyakit yang berlaku disebabkan oleh bakteria Treponema pallidum ini juga boleh disebarkan daripada ibu kepada bayi ketika hamil.
Ia turut menjadi kerisauan masa kini apabila terdapat peningkatan jangkitan sifilis akibat perbuatan seks bebas dan hubungan sejenis (lelaki bersama lelaki) termasuk dalam kalangan remaja serta golongan belia.
Walau bagaimanapun, sifilis tidak boleh merebak melalui tempat duduk tandas, tombol pintu, kolam renang dan perkongsian barangan peribadi seperti pakaian dan perkakas makanan.
Tanda/Gejala Penyakit Sifilis
Antara tanda ketara bagi penyakit ini adalah :
- Ulser atau kudis syphilis pada alat kelamin, dubur, faraj atau dalam rectum.
- Ulser pada bahagian lain seperti dalam mulut dan bibir.
- Ruam pada kulit termasuk tangan, muka dan badan.
- Keguguran rambut.
Peringkat Penyakit Sifilis
Pesakit juga boleh menunjukkan gejala atau simptom yang lebih spesifik bergantung kepada peringkat syphilis yang dialami.
Secara umumnya terdapat empat peringkat bagi penyakit ini.
Peringkat Pertama
- Tempoh purata bagi gejala ini adalah 21 hari selepas tubuh dijangkiti kuman sifilis.
- Ulser atau kudis muncul pada labia (bibir faraj), zakar, dubur dan ada kalanya muncul pada bibir dan mulut.
- Ulser bersaiz kecil, berbentuk bulat, keras dan tidak menyakitkan.
- Ulser boleh hilang dalam masa beberapa minggu.
Peringkat Kedua
- Wujudnya ruam pada satu atau lebih bahagian badan dan biasanya muncul apabila kudis/ulser syphilis sedang sembuh.
- Ruam bersifat kasar, merah atau bertompok coklat kemerah-merahan pada kedua-dua belah tapak tangan dan tapak kaki, namun tidak menyebabkan kegatalan.
- Ruam mungkin mempunyai sifat berbeza seperti nipis, tidak jelas serta menyerupai ruam biasa sehingga tidak disedari sebagai ruam sifilis.
- Tanda lain di peringkat kedua adalah demam, pembengkakan kelenjar limfa, sakit tekak, keguguran rambut, sakit kepala, hilang berat badan, sakit otot, keletihan.
- Pada peringkat ini, siflis sangat mudah berjangkit menerusi hubungan seks.
Peringkat Ketiga
- Juga dikenali sebagai peringakt pendam atau sembunyi, ia bermula sebaik sahaja tanda pada peringkat pertama dan kedua hilang.
- Jangkitan kekal di dalam badan walaupun tiada gejala
- Peringkat pendam boleh bertahan selama bertahun-tahun, ada yang boleh bertahan selama 20 tahun sebelum beralih ke peringkat keempat.
Peringkat Keempat
- Sifilis peringkat akhir berlaku pada lebih kurang 15% pesakit sifilis yang tidak dirawat.
- Boleh berlaku antara 10 hingga 20 tahun setelah jangkitan pertama berlaku.
- Peringkat akhir penyakit ini menyebabkan organ dalaman rosak termasuk otak, saraf, mata, jantung, salur darah, hati, tulang dan sendi.
- Pesakit turut menunjukkan gejala lain seperti sukar untuk menyelaraskan pergerakan otot, lumpuh, kebas, penglihatan kabur atau buta dan demensia (nyanyuk atau hilang akal).
- Jangkitan dan kerosakan organ dalaman pada peringkat keempat juga boleh membawa maut.
Bahaya
Ramai pesakit mungkin memilih untuk menyembunyikan penyakit ini akibat malu.
Namun, ini hanya boleh memudaratkan pesakit sehingga sifilis beralih kepada peringkat seterusnya dan lebih kompleks.
Pesakit yang hamil juga boleh menyebarkan penyakit ini kepada janin.
Selain berisiko tinggi untuk mengalami stillbirth (bayi meninggal di dalam kandungan), bayi yang terlahir dengan sifilis boleh menjadi buta, pekak, sawan dan mengalami komplikasi seperti masalah otak, masalah kulit dan sebagainya.
Oleh itu, adalah penting untuk orang ramai ketahui bahaya dan kesan kepada penyakit ini jika tidak dibendung pada peringkat awal.
Rawatan
Bagi mengelakkan komplikasi kandungan, setiap wanita hamil perlu menjalani ujian darah untuk mengesan kehadiran penyakit ini.
Sementara itu, sifilis mudah dirawat dan disembuhkan sekiranya dapat dikesan pada peringkat awal.
Bagi penyakit yang dijangkiti oleh kuman sifilis kurang daripada setahun, satu suntikan penisilin dan antibiotik dapat menyembuhkan pesakit.
Untuk pesakit yang dijangkiti penyakit ini lebih daripada setahun, doktor akan memberikan dos tambahan.
Meskipun begitu, rawatan yang dilakukan oleh doktor hanya dapat membunuh kuman sifilis dan mencegah kerosakan yang lebih teruk.
Cara terbaik untuk mengelakkan penyebaran penyakit kelamin seperti sifilis adalah dengan menahan diri daripada melakukan hubungan seks dengan pasangan yang tidak dijangkiti.
Sekiranya terdapat lelehan, lendir, sakit, ruam atau keputihan luar biasa khususnya pada kawasan pangkal paha, hentikan hubungan seks segera dan rujuk pada doktor dengan segera.
Pesakit juga perlu faham bahawa penyebaran penyakit ini tidak dapat dielakkan dengan cara berikut :
- Membasuh kemaluan
- Membuang air kecil
- Menyembur cuci selepas seks.
Kesimpulannya, perbuatan negatif seperti amalan seks sebelum berkahwin, seks bebas dan hubungan seks sejenis boleh mendedahkan diri kepada pelbagai penyakit kelamin seperti sifilis, herpes genital, hepatitis B dan HIV.
Pendidikan seks kepada anak-anak juga adalah penting bagi membendung generasi masa hadapan kepada gejala sosial tidak sihat serta penyakit kronik yang tidak diingini.
Sekiranya anda atau orang sekeliling mengalami gejala seperti yang telah disenaraikan, jangan malu untuk bertemu doktor.
Ini penting bagi mengenalpasti sebarang penyakit pada peringkat awal dan rawatan segera untuk membendungnya.
Sumber : eprints.usm.my(Dewan Kosmik), Kementerian Kesihatan Malaysia- Portal MyHealth, Facebook Erna Nadia
Baca Juga : Tanda HIV, Cara Jangkitan, Ujian dan Kaedah Rawatan