Sentuhan Selamat dan Tidak Selamat – Ajarkan Kepada Anak Anda!
Mendidik anak-anak mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat adalah salah satu langkah terpenting dalam melindungi mereka daripada bahaya yang tidak diingini.
Tidak kiralah anak anda perempuan mahupun lelaki, kedua-duanya perlu tahu dan faham info penting ini.
Sebagai ibu bapa, tugas kita adalah untuk memastikan mereka tahu perbezaan antara sentuhan yang dibenarkan dan sentuhan yang perlu dielakkan serta tindakan yang boleh dilakukan sekiranya terdapat seseorang yang melakukan tidak sewajarnya kepada mereka.
Sebagai panduan ibu bapa, berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenai sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat yang perlu diajarkan kepada anak-anak anda.
BACA JUGA: ILTIZAM Anak Selangor 2024: Semakan Status & Permohonan
Maksud Sentuhan Selamat & Sentuhan Tidak Selamat
Apa Itu Sentuhan Selamat?
Sentuhan selamat adalah bentuk interaksi fizikal yang tidak menyakiti emosi atau tubuh seseorang.
Biasanya, ia berlaku dalam konteks kasih sayang dan kepercayaan, seperti pelukan daripada ahli keluarga atau tepukan lembut di bahu untuk memberikan semangat. Sentuhan selamat memberikan rasa selesa, dipercayai, dan selamat kepada anak-anak.
Contohnya, apabila ibu bapa mendakap anak untuk menunjukkan kasih sayang atau apabila guru menepuk bahu murid sebagai tanda sokongan. Jenis sentuhan ini menguatkan hubungan positif dan membantu perkembangan emosi kanak-kanak.
Apa Itu Sentuhan Tidak Selamat?
Sebaliknya, sentuhan tidak selamat adalah bentuk sentuhan yang menyebabkan ketidakselesaan, ketakutan atau kesakitan.
Ia termasuk apa-apa jenis sentuhan yang melanggar privasi atau membuatkan seseorang merasa tidak selesa.
Kanak-kanak harus diajar untuk mengenali dan menghindari sentuhan jenis ini, tidak kira siapa yang melakukannya.
Contoh sentuhan tidak selamat termasuklah seseorang yang cuba menyentuh bahagian peribadi tanpa persetujuan atau menyentuh dengan niat yang tidak baik.
Ajarkan anak-anak untuk sentiasa memberitahu ibu bapa jika mereka mengalami situasi yang membuat mereka tidak selesa.
BACA JUGA: Permohonan Bantuan Kanak-kanak (BKK) JKM 2024
Zon Tubuh Dilarang Sentuh
Berikut ialah senarai zon dan anggota tubuh yang TIDAK BOLEH disentuh oleh orang lain melainkan diri sendiri:
- 1. Mulut
- Kawasan antara paha
- Punggung
- Dada
- Bahagian kemaluan
Pastikan anak-anak anda tahu 5 zon yang TIDAK BOLEH disentuh oleh orang lain di tubuh mereka. Sekiranya terdapat individu yang melakukan tindakan menyentuh zon-zon tersebut, ajarkan anak anda tindakan yang perlu dilakukan.
Apa yang Perlu Dilakukan Jika Ada Sesiapa Menyentuh?
- Jerit JANGAN dengan kuat.
- LARI ke tempat yang ramai orang.
- BERITAHU orang yang dipercayai.
Sains Disebalik Sentuhan yang Dilarang
Menurut maklumat yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia, secara saintifik, bahagian tubuh seperti mulut, dada, kemaluan, celah peha, dan punggung mengandungi banyak reseptor sensitif yang menjadikannya lebih peka terhadap rangsangan.
Dari sudut neurologi, sentuhan pada kawasan yang kaya dengan reseptor saraf ini boleh mempengaruhi emosi, mencetuskan perasaan yang kuat pada kanak-kanak.
Walaupun mereka belum matang secara seksual, sistem saraf kanak-kanak masih berfungsi dan mampu bertindak balas terhadap rangsangan di bahagian-bahagian tubuh yang sensitif.
Lebih membimbangkan, jika sentuhan ini berlaku secara berulang, ia boleh membuatkan kanak-kanak keliru tentang batasan fizikal dan apa yang dianggap sentuhan yang sihat.
Kesan jangka panjang yang lebih serius termasuk risiko ketagihan terhadap sensasi yang dihasilkan, meskipun mereka tidak memahami implikasinya sepenuhnya.
Dalam keadaan yang lebih parah, ia boleh menyebabkan grooming, di mana pemangsa secara perlahan-lahan membiasakan kanak-kanak dengan sentuhan tidak sesuai.
Mengapa Penting Untuk Mengajar Anak-Anak Tentang Sentuhan?
Mendidik anak-anak mengenai perbezaan antara sentuhan selamat dan tidak selamat membantu mereka melindungi diri daripada dieksploitasi dan menjadi mangsa gangguan seksual.
Apabila anak-anak tahu hak mereka terhadap tubuh mereka, mereka akan lebih yakin untuk menetapkan sempadan.
Mereka juga akan lebih berani untuk bercakap jika ada sesiapa cuba menyentuh mereka dengan cara yang tidak selesa.
Kanak-kanak yang didedahkan kepada pendidikan ini sejak awal juga lebih berkemampuan untuk menilai situasi yang berisiko dan mengambil langkah yang betul untuk mengelakkan bahaya.
Cara Mengajar Anak Mengenai Sentuhan Selamat dan Tidak Selamat
Mengajar anak-anak tentang sentuhan memerlukan pendekatan yang sesuai dengan umur mereka. Gunakan bahasa yang mudah difahami dan jangan menakut-nakutkan mereka.
Ibu bapa boleh rujuk cara di bawah sebagai panduan untuk mengajar anak-anak anda:
- Anda boleh memulakan dengan memberitahu bahawa tubuh mereka adalah hak mereka dan tiada sesiapa yang boleh menyentuhnya tanpa kebenaran mereka.
- Gunakan contoh yang mudah, seperti “pelukan daripada ibu adalah selamat” atau “jika seseorang menyentuh bahagian badan yang dilindungi pakaian dalam, itu tidak selamat.”
- Selain itu, ajarkan konsep “bahagian peribadi” yang merujuk kepada kawasan tubuh yang biasanya ditutupi pakaian.
- Jelaskan bahawa jika ada sesiapa yang cuba menyentuh bahagian peribadi mereka tanpa persetujuan, mereka berhak untuk mengatakan “tidak” dan segera memberitahu orang dewasa yang dipercayai.
Jangan lupa untuk berikan sokongan emosi kepada mereka. Tunjukkan bahawa mereka boleh berbincang dengan anda tentang apa sahaja tanpa rasa takut atau malu.
Berikan keyakinan kepada anak-anak bahawa anda sentiasa ada untuk melindungi mereka dan mendengar apa-apa masalah yang mereka hadapi.
Ini akan membantu mereka merasa lebih yakin dan bersedia untuk menghadapi sebarang situasi yang mencurigakan.
Sentiasa tekankan kepada anak-anak bahawa mereka tidak perlu merasa malu atau takut untuk bercakap sekiranya ada individu yang melakukan tidak sewajarnya kepada mereka.
Langkah-Langkah Jika Anak Mengalami Sentuhan Tidak Selamat
Jika anak anda mendedahkan bahawa mereka telah mengalami sentuhan tidak selamat, langkah pertama adalah untuk tetap tenang dan mendengar dengan penuh perhatian.
Elakkan memarahi anak atau menunjukkan reaksi yang keterlaluan kerana ini boleh menyebabkan mereka rasa bersalah.
Sebaliknya, berikan sokongan dan pujian kepada anak kerana berani memberitahu. Kemudian, ambil tindakan segera untuk melindungi anak anda, sama ada dengan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa atau mendapatkan bantuan daripada pakar.
Kesimpulan
Sebagai ibubapa, jangan lengah dan ambil mudah mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat yang perlu diajarkan kepada anak-anak.
Ia bukan sahaja melindungi mereka daripada potensi bahaya, tetapi juga membina keyakinan diri dan pemahaman mereka terhadap hak tubuh mereka sendiri.
Dengan pendidikan yang betul, kita dapat melindungi dan membantu anak -anak membesar dalam persekitaran yang lebih selamat dan sejahtera.
Rujukan: