Seperti mana yang kita tahu, dalam Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mempunyai banyak jawatan atau pangkat.
Setiap pangkat ini mempunyai skop kerja dan tanggung jawab yang berlainan.
Sebagai orang awam, kita perlu maklum akan hal ini memandangkan setiap pangkat polis itu mempunyai skop kerja yang berlainan.
Bagi yang bercita-cita untuk memohon menjadi anggota polis, anda wajib tahu akan pangkat-pangkat ini untuk memudahkan anda menetapkan sasaran dan merancang perjalanan kerjaya anda dalam PDRM.
Tahukah anda? Seragam polis memiliki beberapa tanda dan aksesori yang mempunyai makna.
Di dalam poster yang tertera ada beberapa makna dari tanda yang ada pada pakaian seragam polis Malaysia!
Skop kerja PDRM
Sebelum itu, mari kita ketahui dahulu apakah skop kerja Polis Di Raja Malaysia secara keseluruhannya yang telah dinyatakan dalam akta.
Seksyen 20 Akta Polis menyenaraikan tugas-tugas pegawai polis seperti berikut:-
- menangkap semua orang yang dia diberi kuasa oleh undang-undang untuk ditangkap;
- memproses risikan keselamatan;
- menjalankan pendakwaan;
- memberi bantuan dalam melaksanakan mana-mana undang-undang berhubungan dengan hasil, eksesais, kebersihan, kuarantin, imigresen dan pendaftaran;
- memberi bantuan dalam mengekalkan ketenteraman di pelabuhan dan lapangan terbang Malaysia, dan dalam menguatkuasakan peraturan-peraturan kelautan dan pelabuhan;
- melaksanakan saman, sapina, waran, perintah memenjara dan proses-proses lain yang dikeluarkan dengan sah oleh mana-mana pihak berkuasa yang kompeten;
- mempamerkan maklumat;
- melindungi harta yang tidak dituntut/hilang dan mencari pemunyanya;
- menyita binatang-binatang yang berkeliaran dan menempatkannya dalam kandang awam;
- memberi bantuan dalam melindungi nyawa dan harta;
- melindungi harta awam daripada hilang atau rosak;
- menghadiri mahkamah jenayah dan jika diperintah dengan khas, mahkamah sivil, dan
- menjaga ketenteraman didalamnya dan
mengiring dan menjaga banduan-banduan dan orang-orang lain yang ada dalam jagaan polis.
Seksyen 21 pula ialah tugas mengatur, mengawal dan menjaga lalulintas di jalan awam.
Senarai tugasan di atas telah diperolehi dari laman web rasmi PDRM namun tugas setiap anggota polis yang lebih spesifik ditentukan oleh pangkat atau jawatan yang disanndang oleh mereka.
Jabatan Utama Dalam PDRM
PDRM terbahagi kepada 10 jabatan utama yang terdiri daripada :
- Jabatan Pengurusan,
- Jabatan Siasatan Jenayah,
- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik,
- Jabatan Sumber Logistik dan Teknologi,
- Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDN/KA),
- Cawangan Khas,
- Jabatan Siasatan Jenayah Komersil,
- Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard
- Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti
- Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik
Jabatan-Jabatan ini diketuai oleh Pengarah-pengarah yang berpangkat Komisioner Polis.
Secara amnya, berikut adalah bidang tugasan bagi setiap jabatan :
- Jabatan Pengurusan bertanggungjawab dalam hal-ehwal pengurusan dan pentadbiran PDRM
- Jabatan Siasatan Jenayah pula memainkan peranan dalam penyiasatan kes-kes jenayah serta menjalankan tangkapan dan pendakwaan pesalah-pesalah
- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik memikul tanggungjawab dalam penyiasatan dan pendakwaan kes-kes yang berhubung dengan masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah
- Jabatan Siasatan Jenayah Komersil adalah menjalankan penyiasatan, menangkap, dan mendakwa penjenayah kolar putih
- Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi sebagai jabatan yang menyokong PDRM dari segi kewangan, bekalan, persenjataan dan lain-lain
- Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam berperanan sebagai ‘operational wing’ PDRM
- Cawangan Khas sebagai jabatan yang bertanggungjawab dalam pengumpulan maklumat dan risikan keselamatan
- Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik adalah berperanan dalam menguatkuasakan lalu lintas, saman dan penyiasatan serta pendakwaan melibatkan pengguna jalan raya.
Senarai Pangkat Polis DiRaja Malaysia (PDRM)
Polis Diraja Malaysia mempunyai 17 peringkat pangkat yang dibahagikan kepada 2 kategori:
- Kumpulan Pegawai Kanan Polis: Bermula dari pangkat Inspektor sehingga Inspektor General Polis.
- Kumpulan Pegawai Rendah Polis Dan Konstabel.
Berikut adalah senarai istilah pangkat-pangkat yang terdapat dalam PDRM :-
1. Pegawai-Pegawai Kanan Polis
- Inspektor Jeneral Polis (IG)
- Deputi Inspektor Jeneral Polis (DIG)
- Komisioner Polis (CP)
- Deputi Komisioner Polis (DCP)
- Senior Asisten Komisioner Polis (SAC)
- Asisten Komisioner Polis (ACP)
- Superintenden Polis (SUPT.)
- Deputi Superintenden Polis (DSP)
- Asistan Superintenden Polis (ASP)
- Inspektor (INSP)
- Inspektor Percubaan (P/I)
2. Pegawai Rendah Polis
- Sub-Inspektor (SI)
- Sarjan Mejar (SM)
- Sarjan (SJN)
- Koperal (KPL)
- Lans Koperal (L/KPL)
- Konstabel (KONST)
[UPDATE] BARISAN KEPIMPINAN PDRM
Jom kenali pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia.
Untuk paparan yang lebih jelas, sila klik pautan Portal Rasmi PDRM di: https://www.rmp.gov.my/infor-korporate/pucuk-pimpinan-pdrm