Tahukah anda dalam sejarah, terdapat beberapa negara yang pernah digantung daripada menyertai kejohanan bola sepak Piala Dunia atas beberapa masalah antaranya campurtangan politik, peperangan dan seumpanya.
Seperti mana yang kita tahu, pasukan atau negara yang ingin menyertai sesuatu edisi Piala Dunia yang dianjurkan setiap 4 tahun ini perlu melalui perlawanan kelayakan sebelum layak untuk menyertai sesuatu edisi Piala Dunia ini.
Oleh itu, sudah tentu menjadi tamparan hebat buat pasukan yang sepatutnya layak untuk bertanding di kejohanan akhir Piala Dunia tetapi dinafikan hak mereka untuk bertanding di sebabkan masalah-masalah luaran yang mungkin di luar kawalan mereka.
Penggantungan ini bukan sahaja mengecewakan pemain dan peminat, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam terhadap perkembangan bola sepak di negara tersebut.
Artikel berkaitan: Keputusan Terkini Piala Dunia FIFA 2026
Perang dan Konflik Dalaman

Negara: Jerman, Jepun, Yugoslavia, Russia, Myyanmar
Salah satu sebab paling awal dan dramatik yang menyebabkan negara pernah digantung daripada Piala Dunia adalah berikutan Perang Dunia Kedua.
Selepas konflik global tersebut, Jerman dan Jepun, yang merupakan kuasa Paksi, tidak dibenarkan untuk menyertai Piala Dunia 1950 yang diadakan di Brazil.
Keputusan ini diambil sebagai tindakan susulan terhadap peranan mereka dalam perang, dan ia menjadi contoh jelas bagaimana situasi geopolitik boleh menjejaskan penyertaan dalam sukan antarabangsa.
Jerman hanya kembali ke pentas Piala Dunia pada tahun 1954 dan berjaya memenangi kejohanan tersebut, manakala Jepun perlu menunggu sehingga tahun 1998 untuk membuat penampilan sulung mereka.
Begitu juga dengan Yugoslavia, yang sebenarnya telah melayakkan diri ke Piala Dunia 1994, tetapi digantung berikutan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa Perang Yugoslavia, menjadikan mereka salah satu daripada negara pernah digantung daripada Piala Dunia atas sebab konflik dalaman.
Rusia adalah contoh terkini dan paling kontroversi apabila negara pernah digantung daripada Piala Dunia, khususnya untuk edisi 2022 di Qatar dan 2026 berikutan pencerobohan ke atas Ukraine pada Februari 2022.
Penggantungan ini menyingkirkan Rusia daripada play-off kelayakan Piala Dunia 2022, sekaligus menamatkan harapan mereka untuk mara ke pentas akhir.
Selain itu, Myanmar juga pernah digantung untuk Piala Dunia 2006 di Jerman kerana enggan bermain menentang Iran dalam perlawanan kelayakan, dan sekali lagi menghadapi ancaman penggantungan pada tahun 2018 berikutan masalah penonton yang menghentikan perlawanan kelayakan menentang Oman.
Dasar Aparteid

Negara: Afrika Selatan
Selain konflik bersenjata, dasar diskriminasi juga menjadi punca utama penggantungan.
Afrika Selatan adalah contoh paling ketara di mana negara pernah digantung daripada Piala Dunia untuk tempoh yang paling lama.
Disebabkan dasar aparteidnya yang menindas, FIFA menggantung Afrika Selatan daripada semua kejohanan bola sepak antarabangsa bermula pada tahun 1961 dan penggantungan itu berterusan selama hampir tiga dekad sehingga tahun 1990, menyebabkan mereka terlepas lima edisi Piala Dunia berturut-turut.
Setelah sistem aparteid runtuh barulah Afrika Selatan diterima semula ke dalam FIFA pada tahun 1992 dan akhirnya diberi penghormatan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2010, satu pengiktirafan terhadap perjalanan panjang mereka daripada penyingkiran kepada sambutan.
Kes ini menggariskan komitmen FIFA untuk menentang diskriminasi, walaupun ia memerlukan pengorbanan besar dari segi penyertaan.
Penipuan dan Pelanggaran Peraturan

Negara: Chile dan Mexico
Seterusnya, kes penipuan oleh pemain juga telah menyebabkan sesebuah negara pernah digantung daripada Piala Dunia dan insiden paling terkenal melibatkan Chile pada tahun 1994.
Ketika perlawanan kelayakan menentang Brazil pada tahun 1989, penjaga gol Chile, Roberto Rojas, berpura-pura cedera akibat terkena suar yang dilemparkan oleh penonton Brazil.
Bagaimanapun, muslihatnya terbongkar apabila jurugambar merakamkan bahawa beliau sebenarnya mencederakan dirinya sendiri menggunakan pisau lipat yang disembunyikan di dalam sarung tangannya.
Akibat daripada penipuan ini, Chile diharamkan daripada Piala Dunia 1994, manakala Rojas sendiri digantung seumur hidup daripada kejohanan utama, walaupun hukuman itu kemudiannya ditarik balik.
Kes Mexico pada tahun 1990 juga berpunca daripada pelanggaran peraturan, di mana mereka digantung kerana menggunakan pemain yang melebihi had umur dalam kejohanan remaja dunia, seterusnya menambahkan lagi senarai negara yang digantung atas sebab tidak mempunyai semangat kesukanan.
Campur Tangan Politik dan Tadbir Urus

Negara: Iraq, Kuwait, Indonesia, Pakistan, Congo
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, punca paling lazim negara pernah digantung daripada Piala Dunia adalah kerana campur tangan politik dan isu tadbir urus.
FIFA tegas dalam prinsip bahawa persatuan bola sepak kebangsaan perlu bebas daripada kawalan kerajaan dan banyak negara telah digantung atas dasar ini, termasuk Iraq pada tahun 2008 dan 2009 kerana kerajaan membubarkan jawatankuasa olimpik dan persekutuan sukan negara.
Kuwait dan Indonesia menghadapi nasib yang sama pada tahun 2015 apabila kerajaan masing-masing dilihat mengganggu urusan persatuan bola sepak, dengan Indonesia juga memansuhkan persatuan sedia ada untuk menubuhkan yang baharu.
Pakistan pula berulang kali digantung pada tahun 2017, 2021, dan 2025 kerana isu tadbir urus dan campur tangan pihak ketiga dalam persekutuan bola sepaknya.
Congo juga menjadi negara terkini yang digantung pada tahun 2025 atas sebab yang sama, menunjukkan bahawa isu ini berterusan sehingga ke hari ini.




