Tak tahu nak di mana nak sarapan di Melaka? Memang tak dinafikan negeri bersejarah ini bukan sahaja terkenal dengan tempat pelancongan yang menarik, malah ramai pelancong yang datang ke sini untuk mencuba pelbagai jenis makanan yang lazat.
Pada waktu pagi pun anda boleh cuba pelbagai menu menarik sekitar Melaka. Jom kita tengok beberapa port sarapan yang best di Melaka. Makanan rare yang susah nak jumpa pun ada!
9 Port Sarapan di Melaka Yang Menarik Untuk Dicuba
1. Rumah Rempah Kak Eida
Mungkin ada yang belum tahu lagi port sarapan Melaka yang ada menu Melayu dan Pakistan ini. Jika anda teringin nak makan roti naan dan ayam tandoori pada waktu pagi, bolehlah singgah ke warung ini.
Selain menawarkan aneka roti naan seperti roti naan cheese dan roti naan garlic, terdapat juga satu lagi hidangan roti naan yang unik di sini iaitu roti naan yang berintikan ayam tandoori.
Menu lain seperti roti puri bersama sambal sardin, roti sarang burung dan nasi lemak kangkung pun tak kurang hebatnya.
Alamat : Taman Mesra Kandang, Ayer Molek, Melaka
Waktu Operasi : 7.00 pagi-3.00 petang (Tutup setiap Isnin)
TikTok : @rumahrempakkakeida
2. Warung Onie Corner
Untuk anda yang nakkan kelainan, apa kata anda singgah ke Warung Onie Corner yang terletak di Taman Air Keroh Heights?
Warung ini menawarkan pelbagai menu menarik seperti roti canai Gearbox dan Roti Arab yang dimakan bersama kari kambing.
Selain itu terdapat pelbagai menu roti canai banjir yang wajib dicuba seperti Roti Canai Ahmad Albab (kari ayam), Roti Canai Mahawangsa (Lamb Shank) dan Roti Canai Kari Kambing.
Bagi pencinta nasi lemak, anda boleh cuba Nasi Lemak 3 Abdul iaitu nasi lemak yang dipadankan bersama tiga jenis lauk iaitu Rendang Ayam, Sambal Sotong dan Sambal Paru.
Alamat : 577, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, 75450 Melaka
Waktu Operasi : Selasa-Jumaat (7.00 pagi-2.30 petang), Sabtu & Ahad (7.00 pagi-12.30 tengah hari( Tutup setiap Isnin
Facebook : Warong Onie Corner
3. Roti Canai Dulang
Bila lagi anda boleh cuba roti canai sebesar dulang? Khas untuk penggemar roti canai, jangan lupa untuk singgah di Roti Canai Dulang, Alor Gajah bila anda ke Melaka.
Memang sedap bila dipadankan dengan kari kambing yang popular di sini. Sekeping boleh kongsi dalam dua ke tiga orang, confirm kenyang sampai ke tengah hari!
Alamat : Kada Enterprise @ Roti Canai Dulang Cherana Putih 78000 Alor Gajah, Melaka
Waktu Operasi : 7.00 pagi-1.00 tengah hari (Tutup setiap Selasa)
4. Warung Caun
Nak cuba sesuatu yang baru untuk sarapan? Apa kata anda singgah bersarapan di Warung Caun. Di sini ada menu lontong goreng dan lempeng balak yang lain daripada biasa.
Anda juga boleh tukar selera dengan memesan pelbagai menu menarik di sini seperti cekodok cheese, nasi impit kari ayam, cucur bilis dan macam-macam lagi.
Alamat : 13891, Jalan Bukit Katil – Duyong, Kampung Jambatan Duyong, 75460 Melaka
Waktu Operasi : 8.00 pagi – 1.00 tengah hari
5. Warung Santai Koji, Sri Pengkalan Alor Gajah
Bagi yang sudah bosan makan nasi lemak atau roti canai, anda boleh cuba nikmati sarapan di Warung Santai Koji. Antara menu Istimewa di sini adalah Mee Rebus Tetel, sup kambing dan sup daging.
Selain itu, ramai pelanggan turut menggemari asam pedas tetel yang pedas dan pekat di restoran ini. Sedap sampai teringat-ingat!
Bagi yang suka sarapan yang lebih simple, menu wajib seperti nasi lemak, lontong dan set roti bakar bersama telur setengah masak pun ada.
Alamat : Jalan Lesung Batu Jaya 1, Taman Lesung Batu Jaya, 78000 Alor Gajah, Melaka
Waktu Operasi : 7.00 pagi-3.00 petang (tutup setiap Isnin dan Jumaat)
Facebook : Warung Santai Koji
6. 8272 Barakah Corner
Satu lagi tempat sarapan Melaka yang ramai orang terjah adalah 8272 Barakah Corner. Restoran yang terletak bersebelahan Klinik Tengkera ini menawarkan aneka pilihan makanan seperti lontong, mee kari, laksa dan kacang pool.
Anda juga wajib pesan Roti Canai Merecik iaitu menu paling menarik di sini. Roti canai ini diisi dengan ayam goreng berempah dan telur dadar kemudian digulungkan.
Kemudian, ia akan dihidangkan bersama kuah dhal pekat bersama sambal. Sekali cuba, pasti nak lagi!
Kalau boleh, datang awal pagi ya sebab tempat ini memang sangat popular!
Alamat : Jalan Pandan, Kampung Lapan, 75250 Melaka (bersebelahan Klinik Kesihatan Tengkera)
Waktu Operasi : 7.30pagi-2.30 petang (Tutup setiap Selasa)
Facebook : 8272 Barakah Corner
7. Warisan Keluarga Hajah Kimbong, Klebang
Terkenal dengan hidangan laksa Nyonya yang padu, kedai sarapan Warisan Haja Kimbong di Klebang ini boleh dikatakan setiap hari padat dengan pengunjung.
Menu lain di sini seperti soto, nasi lemak berlauk dan yong tau foo juga mempunyai ramai peminatnya.
Alamat : Gerai No.14, Tapak Terbuka Pantai Klebang 1, Jalan, 75200 Klebang
Waktu Operasi : 7.00 pagi – 2.00 petang
8. Pekan Kopi
Rakan atau keluarga anda takt ahu nak makan apa untuk sarapan di Melaka. Jom ke Pekan Kopi di Limbongan.
Port sarapan berkonsepkan food court ini menawarkan anda pelbagai menu sarapan dari hidangan klasik sehinggalah western.
Antara hidangan yang boleh dicuba adalah mee wantan, roti bakar bersama telur setengah masak, lempeng, rojak, tauhu bakar dan sebagainya.
Nak mengopi di sini pun sesuai sebab ada macam-macam menu kopi hipster yang menarik.
Alamat : 1103, Jalan Limbongan, Pekan Klebang, 75200 Melaka
Waktu Operasi : 7.00 pagi-1.00 tengah hari (Tutup setiap Selasa)
Facebook : Pekan Kopi
9. Restoran Cik Siti, Rumah Melaka
Siapa cakap anda tak boleh nikmati sarapan pagi di Melaka dengan citarasa pantai timur? Bila anda ke Restoran Cik Siti, anda pasti terkejut dengan pilihan menu sarapan yang ditawarkan.
Bukan setakat nasi kerabu, laksam dan nasi dagang, malah hidangan rare seperti pulut ikan masin dan nasi lemak sambal ikan tongkol pun ada.
Bagi yang sudah lama tak makan nasi kenduri, anda juga boleh pesan nasi minyak dengan pelbagai pilihan lauk pauk.
Semua hidangan di sini dihasilkan menggunakan resepi original Terengganu, memang tak hairanlah kenapa tempat ini selalu ramai pelanggan setiap pagi!
Alamat : Dewan Tun Ali, Jalan Tun Kudu, 75450 Bukit Katil, Melaka
Waktu Operasi : 7.30 pagi – 12.30 tengah hari (Tutup setiap Isnin)
TikTok : @restoranciksitimelaka
Dengan cadangan sarapan di Melaka yang kami senaraikan ini, anda tak perlu pening kepala lagi nak makan apa pada waktu pagi.
Pelbagai menu menarik dan lain daripada yang lain boleh dicuba di sekitar Melaka. Jangan lupa untuk kongsikan tempat makan menarik ini bersama keluarga dan rakan-rakan.
Sumber : Facebook MYFood Delivery, Diari Melaka, Port Makan Malaya
Baca Juga : Pizza Parang Melaka : Makanan Viral yang Wajib Anda Cuba!