Contoh Sajak Kemerdekaan Sempena Hari Kebangsaan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Sajak kemerdekaan merupakan salah satu cara untuk kita zahirkan rasa cintakan negara dan semangat patriotik khususnya pada bulan kemerdekaan.

Sajak adalah puisi moden bebas daripada peraturan dari segi jumlah baris, irama dan kata-kata.

Imaginasi, pemikiran dan suara hati penulis sajak juga akan dilimpahkan sambil menumpukan semua aspek.

Oleh sebab itulah perasaan penyajak biasanya terserlah ketika mendeklamasikan sesebuah karya sajak.

Tanpa melengahkan masa, ayuh kita semak beberapa sajak kemerdekaan yang menarik.

Sumber : The Rakyat Post

Koleksi Sajak Kemerdekaan Pendek

1. Negaraku Bebas Merdeka
Karya: Nizam Aman

Kini
Tiada lagi tangisan insan terseksa
Terkapai-kapai lemas mencari daratan
Berkorban jiwa pertahan negara
Penjajah durjana merampas segala.

67 tahun dahulu…
Dataran Merdeka menjadi saksi
Negaraku merdeka
Rakyatku tidak lagi sengsara
Menangis gembira mendapat cahaya.

Merdeka
Tiada lagi penjajahan
Tiada lagi penderitaan
Tiada lagi jeritan penyiksaan
Tanah air ditadbir insan bijak bestari
Memimpin negara unggul nama.

Kini
67 tahun sudah merdeka
Negaraku cemerlang, gemilang dan terbilang
Burung berkicau bebas berterbangan
Menjadi tanda negaraku aman damai.

Maju berteknologi
ke arah mencapai wawasan
Kugenggam erat amanah pejuang tanah air
pertahanlah kemerdekaan
teruskanlah kemajuan disebalik tirai kemerdekaan
Sematkanlah semangat jiwa bangsa di lubuk hati
semoga kekal selamanya.

2. Bangsa Merdeka

Bangsaku
Kemerdekaan ini
Milik kita
Perjuangkanlah
Pertahankanlah

Kemerdekaan ini
Sudah 67 tahun ia berlaku
Kini lihatlah
Negara kita ini
Yang cemerlang, gemilang dan terbilang
Bangunlah bangsaku
Bangunlah bangsaku

Semarakkan kemerdekaan kita ini
Dengan satu semangat
Satu matlamat
Negaraku Malaysia

3. Untuk Bangsa Merdeka

Untuk sebuah bangsa merdeka
Jauhlah daripada rendah diri dan hipokrasi
Mimpu malam kolonialisme yang ngeri
Keluh-kesah hak asasi
Menghilang identiti diri

Untuk sebuah bangsa merdeka
Luas dalam horizon perjuangan
Tiada lupa akar bangsa
Serta sejarah yang mengalurkan nama megahnya
Tiada lupa tentang jerit bahasa

Untuk sebuah bangsa merdeka
Teruslah bergelut dengan dilema yang mengganggu citra unggul
Semakin kuat ditekan makin keras berpegang kepada ikatan
Bukan nama simbol keris merdeka
Tapi semangatnya menjadi tajam hingga akhirnya.

4. Sumpah Anak Merdeka

Aku anak merdeka
Bangkit dari persada luka
Berdiri megah di pentas wira
Inginku tebus maruah bangsa

Aku anak merdeka
Terjaga dari ranjang kecewa
Berpakai gagah di panggung perkasa
Ingin ku bela nasib bangsa

Aku anak merdeka
Harapan nusa dan bangsa
Akan kutentang petualang negara
Yang tegar membuat angkara
Aku anak merdeka
Di hati semangat waja
Di dada penuh satria
Ini Tuah akan membela
Untuk kubalut luka lama

sajak kemerdekaan
Sumber : Borneo Post Online

5. Laungan Keramat

Karya : FRfuntimeathome

Merdeka, merdeka, merdeka!
Itulah laungan keramat setiap kali menjelang 31 Ogos
Apa yang kau tahu tentang merdeka?
Apa yang kau tahu?
Adakah kau telah benar-benar merdeka?
Adakah kita semua benar-benar telah merdeka?
Merdeka itu tidak cukup sekadar pada laungan,
Datuk nenek moyang kita yang terdahulu,
Berkorban keringat dan darah,
Demi suatu kebebasan,
Menentang penjajah, menentang penindasan,
Memperjuangkan ketuanan,
Ayuh sahabat-sahabat, rakan-rakan dan guru-guru semua,
Tanggungjawab kita besar,
Mempertahankan tanah air kita,
Dari segala bentuk penjajahan,
Barulah kena, barulah bermakna,
Laungan merdeka.

6. Haruman Seribu Mawar

Karya : Jasni Matlani

Kita adalah warga bumi merdeka
Yang bermaruah dan teguh jati diri
Kita adalah warga bumi merdeka
Berdiri gagah di bawah panji jalur gemilang
Berkibar megah ke angkasa raya
Kita adalah warga bumi merdeka
Yang setia menjunjung maruah perlembagaan
Kita adalah warga bumi merdeka
Yang menggenggam ukhuwah bersatu teguh

Jangan ada sesiapa pecahkan mutiara harmoni
Dengan lontaran batu prasangka
Jangan ada sesiapa bakar jerami kebahagiaan
Dengan api sengketa
Jangan rebahkan tiang jalur gemilang
Dengan kapak ideologi songsang
Jangan cemarkan jernih perlembagaan
Dengan riak pertimbangan tiada paksi
Jangan titiskan darah kemusnahan
Dengan pisau kehancuran di persada bumi tercinta

Di sini bumi merdeka ini
Kita paterikan janji setia
Bersatu teguh bercerai roboh
Di sini bumi ini tercinta ini

7. Merdeka Kami

Karya : Ummi Humaira

Ketika kami berlari dan
Mengibar bendera
Ummi telah berpesan
Hari ini hari yang amat istimewa

Teman-teman
Mengertikah kita erti sebuah kemerdekaan
Hayatilah kemerdekaan
Hargailah pejuang negara
Yang telah berbakti
Sanggup bergadai nyawa demi negara
Kelak kita akan faham
Mengapa perlu pertahankan kemerdekaan
Mengapa perlu kibarkan bendera
Mengapa perlu cintakan negara
Mengapa perlu hayati kemerdekaan

Teman-teman
Ketawalah! Berlarilah! Bersoraklah!
Bila kita faham erti merdeka
Kita akan faham apa itu setia
Kita akan faham besarnya satu tanggungjawab

Ayuh
Pertahankan kemerdekaan
Untuk kita
Malaysiaku berdaulat
Tanah tumpah darahku
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

8. Hidup Bersama

Karya : A Samad Said

Kita sudah sampai di lereng amat indah
Di bawah pelangi
Dalam ufuk yang masih mencabar dan
Kita ikhlas berjanji untuk bermaruah.
Tenang dalam segala uji cabar dan debar
Kita mencari hanya yang tulen dan jati
Sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi
Kerana puncak yang jauh
Dalam gelora dan taufan
Tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
Mengasuh kita bersuara dalam sopan,
Yakin menyanggah musuh,
Tulus menambah kawan.
Inti tunggak dan menara kebahagiaan.

9. Kini Hari Ini

Lengkuk lorong perjalanan hidup
Makin malap melakar sunyi
Melambai kesepian sukma
Menyingkap memori kelam
Disusuri gerhana tangisan duka

Indah ruang melakar senyuman
Tatkala hujan kasih menyapa pipi
Merah, kuning, putih dan biru
Merakam tangisan muda mudi
Di bawah payung mentari tunggak bangsa

Kini tiada sudah bingit suara ketakutan
Kini tiada sudah bingit suara tangisan
Kini tiada sudah bingit suara kesakitan
Kini hari ini hanya kedengaran bingit suara kegembiraan
Kini hilanglah sudah resah di dada
Kini kita bersama dalam Satu Malaysia

10. Keranamu Malaysia

Keranamu Malaysia,
Tegakkan nusa gagahkan bangsa,
Kita susun seribu langkah, menuju ke hadapan
Bersama mensesah pekat malam,
Menerjah gelombang berlari mengejar cahaya
Menepati janji di hujung jalan
Walau berdepan senjata rintangan
Sekali pun jatuh di medan perjuangan
Namun tetap meredah, mencapai wawasan

Alangkah damainya negeri ku ini
Dilimpahi rahmat, kemakmuran dikurniai
Bangsa bersatu berjiwa waja
Semangat patriotik kian membara
Dunia sudah membuka mata
Penghormatan kini menjadi nyata
Tiada lagi penindasan
Tiada lagi penghinaan
Kemerdekaan terus terpelihara
Dunianya negeriku Malaysia

sajak kemerdekaan
Sumber : News Straits Times

Semoga perkongsian sajak kemerdekaan yang menarik ini dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik kita sempena Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-67!

Sumber : bilarasa.com, TikTok FR Funtimeathome, Scribd

Baca Juga : Contoh Pantun Merdeka Untuk Menyemai Semangat Patriotik

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut