Program Rakyat Digital, yang dilancarkan pada 12 Disember 2024, merupakan inisiatif kerajaan Malaysia untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat.
Program ini menyediakan pelbagai kursus dalam talian secara percuma, bertujuan memperkasakan individu dengan kemahiran digital yang relevan dalam era teknologi masa kini.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempersiapkan penduduk Malaysia menghadapi cabaran dan peluang dalam ekonomi digital.
Dengan menyediakan akses kepada pendidikan digital secara percuma, program ini diharapkan dapat merapatkan jurang digital dan memastikan lebih ramai individu memiliki kemahiran yang diperlukan dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi.
Kursus percuma Rakyat Digital

Antara kursus yang ditawarkan termasuk “CyberSAFE untuk Rakyat”, yang memberi pengetahuan mengenai risiko dan keselamatan dalam talian, serta “Generative AI” yang memfokuskan kepada pembelajaran kecerdasan buatan janaan.
Selain itu, program “AI Untuk Rakyat” menyediakan asas pengetahuan berkaitan kecerdasan buatan manakala kursus “Data Untuk Rakyat” memfokuskan kepada pemahaman dan penggunaan data dalam kehidupan seharian.
- AI Fluency (*Baru)
- Blockchain untuk Rakyat (*Baru)
- Cloud untuk Rakyat (*Baru)
- CyberSAFE untuk Rakyat
- Generative AI
- AI Untuk Rakyat
- Data Untuk Rakyat
Kursus ini ditawarkan secara percuma kepada semua warganegara Malaysia, memberikan mereka peluang untuk meningkatkan kemahiran digital dan kekal berdaya saing dalam era digital.
Setiap kursus ini menawarkan sijil penyertaan selepas berjaya diselesaikan.
Baca lagi: AI Untuk Rakyat – Daftar Modul & Jana Sijil Lencana Digital
Cara untuk daftar

Terdapat 2 kaedah untuk mendaftarkan akaun dengan portal Rakyat Digital, seperti berikut:
- Mengisi borang pendaftaran.
- Lengkapkan borang pendaftaran dengan mengisi maklumat peribadi anda di https://portal.rakyatdigital.gov.my/#/home
- Memautkan (connect) akaun Gmail anda
- Klik butang “Daftar menggunakan Google” pada halaman di atas
Untuk menggunakan log masuk Google, anda perlu menyediakan akaun Gmail atau mana- mana akaun e-mel terlebih dahulu di bawah platform Google Workspace.
Klik “Daftar dengan Google” dan pilih akaun Gmail anda untuk meneruskan pendaftaran. Bagi mereka yang tidak mempunyai akaun Gmail, anda boleh memilih untuk membuat akaun atau memilih untuk mendaftar melalui e-mel.
Setelah berjaya mendaftar, log masuk menggunakan e-mel yang sama yang anda daftarkan atau log masuk dengan Google.
Kelebihan Mendaftar
- Tingkatkan Kemahiran Anda – Tingkatkan kemahiran dan kecekapan digital yang semakin diutamakan di dalam pasaran kerja hari ini.
- Sentiasa Mengikuti Perkembangan – Pelajari aliran terkini serta amalan terbaik dalam celik digital, selaras dengan perkembangan dunia digital.
- Pembelajaran Sepanjang Hayat – Hayati konsep pembelajaran sepanjang hayat dengan mengemas kini kemahiran anda secara berterusan, untuk kekal relevan di dalam perubahan persekitaran digital.
Maklumat lanjut Rakyat Digital
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, individu boleh melayari laman web rasmi Rakyat Digital di rakyatdigital.gov.my.
Sila e-mel [email protected] untuk sebarang bantuan.
Kementerian Digital
Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia
Soalan Lazim (FAQ) Rakyat Digital
Apakah itu Rakyat Digital?
- Rakyat Digital ialah platform pembelajaran kendiri yang bertujuan memperkasa rakyat Malaysia dengan kemahiran teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI), melalui program interaktif dan lencana digital.
Siapa yang boleh menyertai program Rakyat Digital?
- Semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang—pelajar, ibu bapa, profesional, warga emas—boleh menyertai program ini secara percuma.
Apakah objektif utama inisiatif Rakyat Digital?
- Objektif utamanya adalah untuk meningkatkan literasi digital rakyat, memperluas akses kepada infrastruktur digital dan perkhidmatan dalam talian, serta memupuk penggunaan teknologi digital secara produktif untuk meningkatkan kualiti hidup, peluang ekonomi, dan tadbir urus yang cekap.
Siapakah golongan sasaran inisiatif Rakyat Digital?
- Inisiatif ini menyasarkan semua lapisan masyarakat Malaysia, termasuk individu, isi rumah, komuniti luar bandar, usahawan kecil dan sederhana (PKS), serta penjawat awam, dengan fokus kepada mereka yang mungkin kurang terdedah kepada teknologi digital.
Adakah saya perlu mendaftar semula jika sudah menyertai AI untuk Rakyat?
- Tidak perlu. Akaun anda telah dimigrasikan secara automatik ke portal Rakyat Digital dan lencana digital anda akan dikemas kini.
Bagaimana cara log masuk ke portal Rakyat Digital?
- Anda boleh log masuk menggunakan akaun Google atau email biasa. Pilih kaedah yang sama seperti semasa mendaftar di AI untuk Rakyat.
Adakah saya akan menerima sijil atau lencana selepas tamat kursus?
- Ya. Anda akan menerima sijil tamat bagi setiap kursus. Bagi kursus “AI untuk Rakyat”, lencana digital (AI Aware & AI Appreciate) juga disediakan.
Adakah program ini selamat dan percuma?
- Semua kursus ditawarkan secara percuma kepada warganegara Malaysia. Platform ini menggunakan keselamatan data dan privasi mengikut Akta PDPA Malaysia.
Apakah prasyarat untuk menyertai program ini?
- Anda hanya memerlukan peranti pintar (telefon, komputer riba/desktop) dan sambungan internet dengan jalur lebar sekurang-kurangnya 512 kbps




