KRITERIA UMUM PELAWAT ATAU PENJAGA DI HOSPITAL KKM SEMASA FASA PERALIHAN KE ENDEMIK COVID-19
Berkuatkuasa 23 April 2022 (Sabtu) KKM membenarkan pesakit-pesakit di wad untuk ditemani oleh penjaga dan menerima pelawat berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.
Tatacara perlaksanaan arahan ini adalah tertakluk kepada kapasiti dan kemampuan hospital dan wad masing-masing.
Walau bagaimanapun, KKM ingin menekankan dalam keadaan tertentu di mana risiko penularan COVID-19 adalah tinggi seperti berlakunya wabak COVID-19 di hospital, pihak hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada polisi yang sedia ada bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pihak.
Berikut dikongsikan kriteria untuk melawat atau menjadi penjaga bagi pesakit di hospital KKM mulai 23 April 2022.
KRITERIA UMUM PELAWAT ATAU PENJAGA DI HOSPITAL KKM SEMASA FASA PERALIHAN KE ENDEMIK COVID-19
Kriteria umum bagi pelawat dan penjaga di Hospital KKM berkuatkuasa 23 April 2022 adalah:
- Berumur 12 tahun dan ke atas.
- Telah lengkap vaksinasi COVID-19.
- Tidak tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 (contoh : mempunyai pelbagai komorboditi atau sistem imuniti yang lemah)
- Bagi penjaga kepada kategori pesakit tertentu yang perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri, ujian perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam sebelum ketibaan ke hospital. Tarikh dan masa ujian dijalankan perlu dinyatakan berserta gambar sebagai bukti.
- Tidak disyaki menghidapi COVID-19 atau individu dalam pemantauan (PUS).
- Tidak mempunyai gejala COVID-19.
- Mengisi borang deklarasi COVID-19 serta mematuhi SOP dan memakai alat pelindung diri (PPE) seperti yang ditetapkan.
Kriteria Khusus Penjaga & Pelawat KKM
Bagi kriteria khusus untuk lawatan dan jagaan pesakit bukan COVID-19 termasuk menemani ibu bersalin, individu itu perlu menjalani ujian saringan COVID-19 iaitu RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif.
Lawatan daripada kalangan ahli keluarga kepada pesakit bukan COVID-19 yang berada sama ada di wad, Unit Rawatan Rapi (ICU) atau sedang tenat (end of life) adalah dibenarkan namun adalah terhad kepada dua orang pelawat pada satu-satu masa.
Pelawat juga digalakkan untuk menjalani ujian COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri sebelum melawat;
Hanya seorang penjaga sahaja dibenarkan bagi pesakit bukan COVID-19 yang menerima rawatan pesakit luar atau jabatan kecemasan.
Bagi lawatan dan jagaan bagi pesakit COVID-19 kehadiran penjaga hanya dibenarkan bagi pesakit yang memerlukan penjagaan khusus dan pesakit kanak-kanak sahaja.
Bagi tujuan tersebut, penjaga perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif dan ujian perlu diulang sekiranya penjaga bergejala dan sebelum pulang ke rumah.
Tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit COVID-19, kecuali bagi pesakit yang sedang tenat sama ada di wad atau di ICU. Hanya dua pelawat dibenarkan pada satu-satu masa dan ujian COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri adalah digalakkan sebelum lawatan,” menurut kenyataan itu.
KKM turut memaklumkan dalam keadaan tertentu apabila risiko penularan COVID-19 adalah tinggi seperti berlakunya wabak COVID-19 di hospital, pihak hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada polisi sedia ada bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pihak.
Baca juga: Pekeliling Sijil Cuti Sakit Swasta Bagi Penjawat Awam 2022
Tarikh Berkuatkuasa
23 April 2022
Maklumat Lanjut
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi hospital di daerah anda dan rujuk pada kenyataan media rasmi di bawah:
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)