Tingkatan 6: Syarat Kelayakan, Lokasi, Subjek & Permohonan

SEMAKAN TAWARAN, SYARAT KELAYAKAN & PERMOHONAN KEMASUKAN KE TINGKATAN 6

Pelajar lepasan Tingkatan 5 yang menepati syarat-syarat umum dan khusus kemasukan layak ditawarkan untuk meneruskan pengajian ke Tingkatan Enam(6) yang beroperasi di sekolah-sekolah menengah harian bantuan penuh kerajaan yang terpilih. Pengajian selama 3 penggal ini menawarkan 2 aliran iaitu aliran Sains Sosial (Kemanusiaan dan Agama) dan aliran Sains.

Penstrukturan dan penjenamaan semula Tingkatan Enam(6) telah menerapkan 3 kemahiran utama seperti kemahiran kognitif, kemahiran manipulatif dan kemahiran insaniah (soft skills).

Pengenalan Tingkatan 6

Tingkatan Enam telah mula beroperasi di sekolah-sekolah menengah harian bantuan penuh kerajaan lebih daripada 50 tahun dahulu. Murid-murid yang telah menamatkan pengajian menengah atas dan telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), layak ditawarkan untuk meneruskan pendidikan pasca menengah iaitu Tingkatan Enam, jika menepati syarat-syarat umum dan khusus bagi jurusan, selama tiga semester.

Terdapat dua aliran yang ditawarkan untuk Tingkatan Enam di sekolah menengah harian iaitu jurusan Sains Sosial (Kemanusiaan dan Agama) dan jurusan Sains.

Objektif

  1. Meningkatkan taraf pendidikan ke arah yang lebih tinggi.
  2. Memberi pendidikan berdasarkan sistem penggal dan berdaya saing yang tinggi.
  3. Memberi pendidikan yang setara dengan program prauniversiti yang lain.
  4. Memastikan   murid lulusan  Sijil Tinggi Persekolahan   Malaysia   (STPM) mempunyai   nilai kebolehpasaran yang tinggi.
  5. Membentuk kepemimpinan menuju ke arah membina Negara Bangsa meliputi aspek perpaduan, patriotisme, dan jati diri bagi mendokong aspirasi nasional.

Matlamat

Tingkatan Enam merupakan laluan pendidikan bagi murid lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengembangkan bakat dan kreativiti seterusnya menjadi generasi muda berimpak tinggi, glokal dan universal.

Mereka ini akhirnya membawa keseJahteraan kepada negara di samping mendapat kelayakan yang memenuhi standard antarabangsa.

Penjenamaan Semula

Penjenamaan Semula Tingkatan Enam menjadi salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 dengan hasrat untuk:

  1. Memperkasa pendidikan Tingkatan Enam melalui peningkatan imej, sistem, dan kualiti pendidikan setaraf dengan pendidikan lepasan menengah yang lain selepas SPM seperti Matrikulasi atau pusat asasi sains, kerana ianya dilihat sebagai salah satu laluan utama murid- murid untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
  2. Mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan Tingkatan Enam.
  3. Membangun dan memupuk nilai kepimpinan yang tinggi dalam kalangan murid Tingkatan Enam.

Lima fokus utama Penjenamaan Semula Tingkatan Enam adalah seperti yang berikut:

  1. Imej dan Anjakan Minda.
  2. Info dan Infrastruktur.
  3. Pengurusan dan Pentadbiran.
  4. Mod Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
  5. Kurikulum.

Senarai Mata Pelajaran STPM

Pelaksanaan sistem pentaksiran baharu STPM telah dimulai pada pengambilan sesi 2012 setelah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 4 Januari 2012.

Sebanyak 22 mata pelajaran ditawarkan dalam sistem pentaksiran baharu STPM.

Namun begitu, hanya empat atau lima mata pelajaran sahaja yang perlu dipilih termasuk mata pelajaran Pengajian Am sebagai mata pelajaran wajib. Manakala mata pelajaran MUET wajib diambil oleh semua murid.

Mata pelajaran STPM yang ditawarkan adalah seperti yang berikut:

BilKodMata Pelajaran
1.900Pengajian Am
2.910Bahasa Melayu
3.911Bahasa Cina
4.912Bahasa Tamil
5.913Bahasa Arab
6.920Literature in English
7.922Kesusasteraan Melayu Komunikatif
8.930Syariah
9.931Usuluddin
10940Sejarah
11.942Geografi
12.944Ekonomi
13.946Pengajian Perniagaan
14.948Perakaunan
15.950Mathematics (M)
16.954Mathematics (T)
17.958Information and Communications Technology (ICT)
18.960Physics
19.962Chemistry
20.964Biology
21.966Sains Sukan
22970Seni Visual
23932Tahfiz AL-Quran

Tiga kemahiran utama yang diterapkan dalam pendidikan Tingkatan Enam ialah kemahiran kognitif, kemahiran manipulatif, dan kemahiran insaniah (soft skills).

3 Kategori Kolej Tingkatan 6

Pusat Tingkatan Enam Kementerian Pendidikan Malaysia terdiri daripada 3 kategori:

Kolej Tingkatan Enam (Mod 1)  – sekolah yang mempunyai sekurang-kurangnya 12 kelas yang menempatkan hanya murid-murid Tingkatan Enam sahaja dan diajar oleh guru-guru akademik yang telah dilantik sebagai guru Tingkatan Enam.

Kolej Tingkatan Enam (Mod 2) – sekolah yang mempunyai sekurang-kurangnya 12 kelas, beroperasi di sekolah arus perdana tetapi di blok atau bangunan yang berasingan. Walau bagaimanapun, Pusat Mod 2 ditadbir oleh Pengetua arus perdana dengan kerjasama Penolong Kanan Tingkatan Enam.

Kolej Tingkatan Enam (Mod 3) – sekolah yang mempunyai kurang daripada 12 kelas atau sekolah yang jauh daripada bandar, tiada kemudahan asrama atau pengangkutan awam, dan beroperasi di sekolah arus perdana.

Senarai Kolej / Sekolah / Pusat Tingkatan 6

Untuk semak senarai pusat Tingkatan 6, sila klik pautan senarai dibawah mengikut negeri :

SENARAI PENUH PUSAT TINGKATAN 6 : https://sst6.moe.gov.my/…/SenaraiSekolah%20Pusat%20T6.pdf

SENARAI MATAPELAJARAN YANG DITAWARKAN : https://sst6.moe.gov.my/…/PAKEJ%20MATA%20PELAJARAN%20T6…

Tempoh Pengajian Tingkatan 6

Tempoh pengajian di Tingkatan 6 adalah selama 1 ½ tahun:

1.    Semester 1 : Mei hingga November, 26 minggu termasuk :

  • Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
  • Kerja Kursus (mata pelajaran berkenaan sahaja)
  • Peperiksaan Semester 1 (S1) 

2.    Semester 2: Januari hingga Mei, 20 minggu termasuk :

  • Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
  • Kerja Kursus (mata pelajaran berkenaan sahaja)
  • Peperiksaan Semester 2 (S2)

3.    Semester 3: Mei hingga November, 26 minggu termasuk :

  • Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
  • Kerja Kursus (mata pelajaran berkenaan sahaja)
  • Peperiksaan Semester 3 (S3), peperiksaan Ulang 1 (U1) dan peperiksaan Ulang 2 (U2)

Kandungan kurikulum dibahagikan kepada tiga bahagian berdasarkan kelompok tajuk atau mengikut kesesuaian bidang kajian disiplin berkenaan untuk mengisi tiga Semester, iaitu S1, S2 dan S3 dalam tempoh pengajian selama 1½ tahun.

Syarat Kemasukan

Syarat Kemasukan ke Tingkatan 6

  • Syarat Am
    • Lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.
    • Berumur antara 17 hingga 20 tahun pada 1 Januari tahun semasa.
  • Syarat Khas
    • Bidang STEM – Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
    • Bidang Sains Sosial
      • Sekolah Menengah Harian
        • Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 12 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
      • Sekolah Menengah Agama Di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)
        • Mendapat sekurang-kurangnya Gred D bagi mata pelajaran Bahasa Arab/Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah/Turath Bahasa Arab; dan
        • Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 14 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
      • Sekolah Menengah Agama Di Sekolah Berasrama Penuh bagi Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu
        • Mendapat sekurang-kurangnya Gred C dalam mata pelajaran Bahasa Arab/Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah/Turath Bahasa Arab; dan
        • Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 14 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.


Syarat Kemasukan ke Tingkatan 6 – Murid Bekerperluan Khas

  • Syarat Am
    • Lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya lulus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.
    • Berumur antara 17 hingga 21 tahun pada 1 Januari tahun semasa.
  • Syarat Khas
    • Bidang STEM
      • Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
    • Bidang Sains Sosial
      • Sekolah Menengah Harian
        • Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
      • Sekolah Menengah Agama Di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)
        • Mendapat sekurang-kurangnya Gred D bagi mata pelajaran Bahasa Arab/Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah/Turath Bahasa Arab; dan
        • Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
      • Sekolah Menengah Agama Di Sekolah Berasrama Penuh bagi Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu
        • Mendapat sekurang-kurangnya Gred C dalam mata pelajaran Bahasa Arab/Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah/Turath Bahasa Arab; dan
        • Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.

Semakan Tawaran & Permohonan Kemasukan Ke Tingkatan 6 Tahun 2023

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin memaklumkan bahawa keputusan tawaran bagi kemasukan ke Tingkatan Enam tahun 2023 akan diumumkan pada 3 Julai 2023.

Murid lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 boleh membuat semakan keputusan tawaran dan pendaftaran kemasukan ke Tingkatan Enam tahun 2023 melalui kaedah berikut:

i. secara dalam talian menerusi aplikasi dalam talian Tingkatan Enam melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ atau

ii. murid lepasan peperiksaan SPM tahun 2022 yang tidak mempunyai capaian internet boleh menyemak keputusan tawaran melalui sekolah asal masing-masing.

Murid lepasan peperiksaan SPM tahun 2022 yang tidak menerima tawaran ke Tingkatan Enam boleh mengemukakan permohonan rayuan secara dalam talian melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ mulai 3 hingga 17 Julai 2023.

Bagi murid yang tidak mempunyai capaian internet pula, rayuan boleh dibuat melalui sekolah masing-masing.

Keputusan permohonan rayuan kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2023 akan dimaklumkan pada 24 Julai 2023 melalui portal yang sama.

Bagi murid yang tidak mempunyai capaian internet, keputusan permohonan rayuan akan dimaklumkan oleh pihak sekolah pada tarikh yang sama.

Murid yang ditawarkan ke Tingkatan Enam perlu melapor diri pada 16 Julai 2023 bagi sekolah-sekolah dalam negeri kumpulan A dan 17 Julai 2023 bagi sekolah-sekolah dalam negeri kumpulan B di Kolej atau Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran.

Bagi ambilan rayuan, tarikh lapor diri adalah pada 25 Julai 2023.

Tarikh-tarikh Penting Kemasukan & Pendaftaran Tingkatan 6 Tahun 2023

TARIKH TARIKH PENTING OPERASI KEMASUKKAN PELAJAR T6 RENDAH SESI 2023

  • SEMAKAN TAWARAN KEMASUKKAN : 3 JULAI 2023
  • RAYUAN KEMASUKKAN TINGKATAN 6 : 3 HINGGA 17 JULAI
  • KEPUTUSAN RAYUAN TINGKATAN 6 : 24 JULAI 2023
  • PELAJAR MELAPOR DIRI HARI PERTAMA : 16 JULAI 2023
  • PELAJAR RAYUAN MELAPOR DIRI: 25 JULAI 2023

Rayuan

3 Langkah Mudah Rayuan Tingkatan 6 Semester 1 Sesi 2023

Berikut adalah 3 Langkah Mudah Rayuan Tingkatan 6 Semester 1 Sesi 2023 bagi murid yang gagal ditawarkan ke Tingkatan 6:

1. Sila isi permohonan rayuan secara online bermula 3 Julai hingga 16 Julai 2023 melalui pautan: https://sst6.moe.gov.my

*Anda perlu membuat semakan keputusan tawaran Tingkatan 6 sebelum dapat membuat rayuan melalui laman web yang sama.

2. Buat semakan rayuan anda pada 24 Julai 2023 (Isnin). Keputusan rayuan adalah berdasarkan nilai mata unit dan pertimbangan markah kokurikulum.

3. Tahniah! Sila daftar diri pada 25 Julai 2023 (Selasa) jika rayuan anda berjaya.

Pentaksiran & Yuran

Pentaksiran dilaksanakan melalui peperiksaan akhir berpusat (wajaran 60% – 80%) dan kerja kursus (wajaran 20% – 40%). Peratusan wajaran adalah berbeza mengikut mata pelajaran. Murid mesti menduduki peperiksaan akhir berpusat S1, S2 dan S3. Murid juga mesti melaksanakan Kerja Kursus.

Murid akan menerima keputusan peperiksaan setiap Semester. Mereka boleh memperbaiki keputusan peperiksaan S1 dan S2 dengan menduduki peperiksaan U1 dan/atau U2. Pentaksiran pencapaian murid dan keputusan peperiksaan adalah berdasarkan ketiga-tiga Semester. Keputusan keseluruhan peperiksaan STPM adalah kumulatif keputusan terbaik bagi ketiga-tiga Semester seperti yang berikut:

Terbaik [(S1 atau U1) + (S2 atau U2) + S3 +  Kerja Kursus]

YURAN

Yuran peperiksaan bagi empat atau / dan lima mata pelajaran adalah percuma bagi calon Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan, kecuali calon sekolah swasta dan persendirian individu.

Kod Etika Pakaian Murid Tingkatan Enam Semester 1 Sesi 2023

Etika Pakaian Murid Tingkatan Enam seperti yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Ke-203 adalah seperti berikut:

A. Penampilan Pelajar Lelaki

1. Baju kemeja (polos/jalur/petak)

  • Lengan pendek
  • Lengan Panjang (jangan lipat)
  • Tali leher

2. Seluar ‘slack’ gelap.

3. Berstoking melepasi buku lali.

4. Kasut Hitam (kasut kerja).

5. Baju Melayu lengkap dibenarkan (Jumaat).

6. Pakaian ketat/ jarang/ warna terang/ denim/jeans tidak dibenarkan.

7. Potongan rambut pendek dan tidak berfesyen.

8. Pakaian unit beruniform wajib untuk setiap hari Rabu (setelah ditetapkan unit beruniform).

B. Penampilan Pelajar Perempuan

1. Baju Kurung lengkap

2. Berstoking melepasi buku lali

3. Berkasut Hitam (kasut kerja bertumit rata atau tumit rendah)

4. Bertudung sehingga menutupi dada (pelajar Islam)

5. Pakaian ketat/ jarang/ warna terang/ kain terbelah/ purdah/ denim/jeans tidak dibenarkan.

6. Pakaian unit beruniform wajib untuk setiap hari Rabu (setelah ditetapkan unit beruniform).

tingkatan 6 pakaian
kod pakaian tingkatan 6

SURAT PEKELILING IKHTISAS BILANGAN 2 TAHUN 2014: ETIKA PAKAIAN MURID TINGKATAN ENAM

boleh dirujuk melalui pautan berikut:

Maklumat Lanjut

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pengajian Tingkatan 6, sila rujuk Soalan Lazim dan info di pautan berikut:

Latar Belakang 
Objektif
Matlamat
Piagam Pelanggan Kemasukan Murid Ke Tingkatan Enam
Kerangka Konseptual 
Syarat Kemasukan 
Penjenamaan Semula
Tempoh Pengajian
Pusat Tingkatan Enam
Kurikulum 
Kokurikulum 
Pentaksiran & Yuran
Adakah perlu memohon untuk masuk ke Tingkatan Enam Semester 1 selepas keputusan SPM diumumkan?

Tidak perlu. Calon lepasan SPM yang layak dan memenuhi syarat akan ditawarkan ke Tingkatan Enam.

Apakah syarat-syarat kelayakan masuk ke Tingkatan Enam?

a. Syarat am
• Lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.
• Berumur antara 17 hingga 20 tahun pada 1 Januari tahun 2021.
b. Syarat Khas
• Bidang Sains – Mendapat sekurang-kurangnya tiga kepujian dalam mata pelajaran sains dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit.
• Bidang Sains Sosial – Mendapat sekurang-kurangnya tiga kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 12 unit.

Bagaimanakah cara bagi membuat semakan keputusan dan pendaftaran ke Tingkatan Enam Semester 1 tahun 2022?

Murid lepasan SPM 2020 boleh membuat semakan keputusan tawaran dan pendaftaran ke Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2022 di portal Aplikasi Dalam Talian Tingkatan Enam (https://sst6.moe.gov.my).
Bagi murid yang tiada capaian internet, pihak sekolah akan memaklumkan keputusan tawaran serta menyampaikan surat tawaran ke Tingkatan Enam Semester 1 tahun 2022.

Sekiranya saya tidak memenuhi syarat kemasukan ke Tingkatan 6, adakah saya boleh membuat permohonan rayuan?

Boleh. Murid boleh membuat rayuan secara dalam talian di pautan https://sst6.moe.gov.my/ dengan mengisi borang rayuan ke Tingkatan Enam tahun 2022 bagi calon sekolah kerajaan berdasarkan pencapaian kokurikulum (T6BKK).

Bagi murid yang tiada capaian internet, pihak sekolah akan membantu menguruskan permohonan rayuan murid mengikut kaedah yang bersesuaian.

Bagaimanakah cara untuk membuat permohonan rayuan sekiranya seseorang yang telah ditawarkan ke Tingkatan Enam tetapi berhasrat untuk bertukar Kolej Tingkatan Enam/Pusat Tingkatan Enam atas sebab tertentu,
seperti mata pelajaran yang ingin diambil tidak ditawarkan di Kolej/Pusat Tingkatan Enam tersebut dan sebagainya?

Permohonan rayuan pertukaran Kolej Tingkatan Enam/Pusat Tingkatan Enam perlu dikemukakan secara emel ke Pejabat Pendidikan Daerah yang berkaitan dengan menggunakan Borang P.U.(A) 275 Jadual Ketiga [Permohonan untuk
Bertukar Sekolah oleh Murid Warganegara].

Bagi murid yang tiada capaian internet, pihak sekolah akan membantu murid membuat permohonan rayuan mengikut kaedah yang bersesuaian

Bolehkah saya menukar bidang (Sains atau Sains Sosial) pengajian yang ditawarkan dan bilakah tarikh permohonan tersebut?

Boleh. Murid boleh mengemukakan permohonan menukar bidang (Sains atau Sains Sosial) secara emel kepada Kolej/Pusat Tingkatan Enam yang ditempatkan.

Bagi murid yang tiada capaian internet, pihak sekolah asal akan membantu permohonan tukar bidang mengikut tarikh yang telah ditetapkan

Saya telah menolak tawaran Universiti Awam/ IPTA /IPTS / setara, bolehkah saya memohon ke Tingkatan Enam?

Boleh. Calon yang menolak tawaran Universiti Awam/IPTA/IPTS/setara perlu membuat permohonan rayuan secara dalam talian di pautan https://sst6.moe.gov.my/ dengan mengisi borang rayuan umum kemasukan ke
Tingkatan Enam (T6BRU).

Bagi murid yang tiada capaian internet, pihak sekolah akan membantu dengan menggunakan kaedah yang bersesuaian bagi membuat permohonan rayuan.

Kelulusan adalah berdasarkan kepada syarat kemasukan dan kekosongan tempat.

Apakah pakaian murid Tingkatan Enam?

Pakaian murid adalah berpandukan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 2 Tahun 2014 Etika Pakaian Murid Tingkatan Enam.

Pakaian murid lelaki ialah baju kemeja berseluar panjang lengkap dengan kasut dan stoking.

Pakaian murid perempuan ialah baju kurung, gaun, gaun labuh/jenis jubah/maksi, two-piece/three piece suit pants lengkap dengan kasut atau pakaian tradisional kaum masing-masing yang bersesuaian dan lengkap.

Sebarang pakaian yang menggunakan material jenis denim tidak dibenarkan. Jean, cargo pants, seluar pendek, atau legging tidak dibenarkan.

Apa-apa pakaian yang menutup muka tidak dibenarkan.

Murid dilarang memakai kemeja-T semasa menghadiri kelas.

Murid hendaklah berpakaian kemas, sopan dan tidak mencolok mata.

Pakaian yang jarang dan ketat juga tidak dibenarkan.

Walau bagaimanapun, murid juga boleh mengenakan
pakaian seragam sekolah sekiranya perlu (hak memilih terpulang pada murid)

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!