Pendidikan Manusiawi KPM: Maksud & Pelaksanaan

pendidikan manusiawi
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek sebelum ini telah memperkenalkan agenda Pendidikan Manusiawi di dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selaras dengan matlamat di kementerian tersebut.

Agenda ini merupakan sebahagian daripada hala tuju KPM bagi memastikan akses pendidikan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Maksud Pendidikan Manusiawi

Pendidikan Manusiawi merujuk kepada konsep kemanusiaan yang dipraktikkan secara menyeluruh bagi memastikan akses pendidikan berkualiti untuk semua dan tiada sesiapa yang terpinggir.

Ini bermakna agenda ini menumpukan kepada memartabatkan pencapaian akademik di samping menekankan aspek kemanusiaan.

Konsep ini bukanlah konsep yang baharu tetapi sebenarnya sudah diamalkan dan diterapkan dalam KPM.

Ini juga merangkumi anjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Selain itu, konsep ini juga adalah bertepatan dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang mewajibkan kanak-kanak mendapat pendidikan formal sehingga Tahun Enam.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia merupakan hasil pelibatan masyarakat dan penyelidikan meluas yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Di dalam PPPM 2013-2025, agenda ini terangkum di bawah di bawah Aspirasi Murid dan Aspirasi Sistem iaitu Akses, Kualiti, Ekuiti, Perpaduan dan Kecekapan.

Terdapat 5 aspirasi sistem pendidikan Malaysia seperti yang digariskan iaitu:

  • AKSES: 100% enrolmen merentas semua peringkat pendidikan daripada prasekolah hingga menengah atas menjelang 2020. Setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing.
  • KUALITI: Semua kanak-kanak akan berpeluang mendapat pendidikan cemerlang berdasarkan keunikan sistem pendidikan di Malaysia, dan setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa. Aspirasi sistem pendidikan negara adalah untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun yang akan datang (TIMSS dan PISA menguji Bacaan, Matematik dan Sains sahaja). Pentaksiran tambahan yang menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila dimensi itu dibangunkan dan diterima di peringkat antarabangsa.
  • EKUITI: Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan yang terbaik kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, gender atau latar belakang sosioekonomi. Kementerian berhasrat untuk merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50% menjelang 2020.
  • PERPADUAN: Murid yang berusia antara 7 hingga 17 tahun menghabiskan lebih satu perempat daripada masa mereka di sekolah. Melalui interaksi bersama murid lain daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik, murid belajar memahami, menerima dan menghayati perbezaan. Keadaan ini mewujudkan suatu perkongsian pengalaman dan aspirasi bagi membina masa hadapan Malaysia. Kementerian berhasrat menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuhkan lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.
  • KECEKAPAN: Sistem pendidikan Malaysia telah menerima peruntukan yang tinggi, namun peningkatan keberhasilan murid masih tidak sepadan dengan sumber yang telah disalurkan ke dalam sistem. Pihak Kerajaan akan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, Kementerian berhasrat untuk memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

Pelaksanaan Agenda Pendidikan Manusiawi

Terdapat 6 perkara yang telah dilaksanakan KPM bagi memastikan agenda ini dapat dilaksanakan:

i) Sekolah Komprehensif (K9)

Program 9 tahun di 17 sekolah di seluruh negara terutama di kawasan pedalaman bagi murid Orang Asli dan Pribumi.

ii) Sekolah Komprehensif 11 (K11)

Projek rintis ini menyediakan akses pendidikan yang lebih menyeluruh selama 11 tahun dari sekolah rendah hingga menengah.

iii) Sekolah Integriti & Sekolah Henry Gurney

Program pendidikan untuk pesalah muda di seluruh negara, dengan kelulusan 100% dalam SPM.

iv) Sekolah Dalam Hospital (SDH)

SDH menyediakan pusat pembelajaran yang menyeronokkan dan fleksibel dalam persekitaran kondusif bagi murid yang menerima rawatan di hospital.

Selain itu, objektif SDH juga untuk merangsang murid terus belajar dan menggalakkan pertumbuhan psikososial yang normal serta membantu dalam proses penyembuhan.

Sejak 2011, terdapat 17 SDH di 11 negeri di seluruh negara.

v) Pendidikan Anak-Anak Orang Asli & Pribumi

Modul Latihan Intervensi Berfokus dan Terbeza (MoLIB) membantu guru di sekolah ini untuk persediaan Pengajaran dan Pembelajaran

vi) Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih

SBJK merupakan sekolah khas yang ditubuhkan pada 19 Ogos 2013, memenuhi aspirasi dari Unesco dari segi sistem pendidikan dan mempersiapkan murid dengan konsep ‘Pendidikan untuk Semua’.

Murid-murid yang mengikuti program ini ditempatkan dalam peringkat kelas berdasarkan penguasaan mereka terhadap 3M.

Sekolah ini mempunyai dua cawangan, iaitu di Chow Kit, Kuala Lumpur dan di Kota Kinabalu, Sabah.

Sekolah ini khusus untuk anak-anak yang tercicir, untuk mencapai kelulusan 100% dalam SPM.

Sebagai contoh, SBJK di Sabah ditubuhkan selepas sesi libat urus bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenal pasti lapan murid warganegara yang tercicir berpanjangan daripada sistem persekolahan disebabkan faktor seperti kemiskinan dan keluarga rentan.

Mereka yang terjejas hadir ke Pusat Aktiviti Kanak-kanak seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Am Sabah bagi murid mempelajari konsep asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Mereka kemudian didaftarkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, Kota Kinabalu, yang dipilih sebagai lokasi program SBJK memandangkan sekolah itu mempunyai 10 kabin yang tidak lagi digunakan sejak 2017, dan terletak berhampiran rumah lapan kanak-kanak itu.

Kanak-kanak di Sabah yang telah dikenal pasti untuk program ini akan didaftarkan di sekolah yang melaksanakan program tersebut, dan layak menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Peruntukan Bantuan Geran Per Kapita (PCG) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).

Bagi urusan pengangkutan pula, mereka akan dihantar dan diambil oleh keluarga mereka sendiri, atau menaiki kenderaan yang disediakan oleh JPN Sabah.

    Info Lanjut

    Info lanjut mengenai agenda Pendidikan Manusiawi, sila layari laman web KPM iaitu https://www.moe.gov.my.

    Baca juga: Biasiswa Pendidikan Maxis 2024: Syarat dan Cara Mohon

    Follow eCentral di WhatsApp Channel
    Ikut