Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025)

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) merupakan manifestasi transformasi kerajaan yang paling menyeluruh dan besar bagi murid dari pra sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi, dalam mendatangkan pulangan terbaik modal insan untuk memacu segala hasrat pembangunan negara

Pelan induk pendidikan ini telah menggariskan trajektori luar biasa untuk sektor pendidikan Malaysia, sekali gus membentuk masa depan yang lebih cerah demi generasi akan datang.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) atau singkatannya PPPM adalah cetusan ilham, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, merangkap Menteri Pendidika Malaysi pada ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PPPM telah dilancarkan pada 6 September 2013 oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sejarah dan latar belakang PPPM 2013-2025

Pada Oktober 2011, Kementerian Pendidikan telah melancarkan kajian semula sistem pendidikan negara secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang baharu.

Dalam tempoh 15 bulan (Oktober 2011 hingga Disember 2012), Kementerian telah memperoleh input daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Kajian ini juga melibatkan pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, murid, dan orang ramai di seluruh negara.

Hasilnya ialah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang telah menilai prestasi semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa.

Objektif PPPM

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia merupakan hasil pelibatan masyarakat dan penyelidikan meluas yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan.

Pelan ini dibangunkan dengan tiga objektif khusus, iaitu:

1. Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia dengan memberi tumpuan terhadap akses kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid, serta mengoptimumkan kecekapan sistem;

2. Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk setiap murid dan sistem pendidikan secara keseluruhan bagi tempoh 13 tahun akan datang; dan

3. Menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam Kementerian bagi memenuhi permintaan baharu dan harapan tinggi masyarakat, serta mencetus dan menyokong transformasi perkhidmatan awam.

Artikel berkaitan: Dasar Pendidikan Kebangsaan: Sejarah & Pelaksanaan

11 Anjakan dalam PPPM

pelan pembangunan pendidikan malaysia 2013-2025

Bagi mencapai matlamat yang digariskan dalam PPPM, kementerian telah menggariskan 11 anjakan yang perlu dilaksanakan seperti berikut:

  1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa
  2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris
  3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai
  4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan
  5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah
  6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan
  7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia
  8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan
  9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas
  10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit
  11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam

Pencapaian dan Laporan Tahunan PPPM

Bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) mencapai sasaran dan objektif sebenar, maka laporan tahunan PPPM diterbitkan setiap tahun bagi menilai pencapaian kerajaan.

Setiap tahun Kementerian akan menerbitkan laporan tahunan PPPM bagi :

  • Menguar-uarkan pencapaian pelaksanaan inisiatif PPPM pada setiap tahun daripada tahun 2013 sehingga 2025
  • Meningkatkan Ketelusan Untuk Kebertanggungjawaban Awam Secara Lansung seiring dengan Anjakan 11 PPPM
  • Menjadi dokumen panduan kepada pelaksanaan inisiatif tahun semasa dan tahun-tahun seterusnya
  • Melebar luas kepada semua pihak berkepentingan di dalam dan luar negara untuk memaklumkan status pelaksanaan dan kejayaan PPPM

Laporan tahunan PPPM boleh diakses melalui portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia di halaman https://www.moe.gov.my/pelan-pembangunan-pendidikan-malaysia

Bantu kami share artikel ini: