Kemakmuran yang dicapai oleh rakyat Malaysia kini pastinya tidak dapat dinikmati sekiranya kita tidak hidup saling bertolak ansur dan bersatu padu mempertahankan kedaulatan negara kita.
Terdapat pelbagai cara untuk kita memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan. Salah satunya adalah dengan berkongsi semangat kemerdekaan menerusi ucapan yang menarik.
Ditambah pula dengan kemudahan media sosial, kini anda lebih mudah untuk berkongsi dan membalas ucapan sempena sambutan Hari Merdeka.
Selain memberikan ucapan biasa, apa kata sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pada tahun ini kita gunakan pula Pantun Merdeka.
Bukan sahaja lebih menarik, malah cara ini dapat lebih menyerlahkan lagi budaya kita sebagai rakyat Malaysia.
Secara ringkas pantun mestilah karangan berangkap, terdiri dari jumlah baris yang genap. Separuh daripadanya pembayang dan separuh kemudian maksud.
Rima akhir pembayang mestilah berpadanan dengan rima akhir maksud.
Contoh Pantun Merdeka
Berikut merupakan koleksi Pantun Merdeka yang boleh anda kongsikan di akaun sosial media anda sempena bulan kemerdekaan bagi menyemai semangat patriotik cintakan negara kita Malaysia.
Setahun jagung penuhi harapan,
Semarak watan tekad perpaduan,
Anak madani penyambung Warisan,
Gilang Merdeka zaman berzaman.
Memang terbilang sebuah hikayat,
Kisah dahulu ramai yang suka,
Jalur Gemilang semangat rakyat,
Dikibar selalu tanda merdeka.
Burung bangau di sawah padi,
Luka berdarah diikat tali,
Jika patriotisme kurang disemadi,
Mungkin sejarah lampau berulang kembali.
Jalur Gemilang bendera Malaysia,
Berkibar megah kebanggaan kita;
Sambutan kemerdekaan besar ertinya,
Hindar dijajah, jauhi sengketa.
Aman bahagia rakyat sejahtera,
Rakyat sepakat membawa perpaduan,
Pelbagai kaum mewarnai Malaysia,
Malaysia megah di puncak kejayaan.
Langkah sumbang salahkan lantai,
Binasa badan bicara tak kawal,
Pinggirkan ketuanan negara tergadai,
Hilang maruah bangsa terjual.
Jalur Gemilang berkibar megah,
Lagu Negaraku berkumandang indah,
Apakah erti kemerdekaan dari penjajah,
Tapi budaya dan pemikiran masih dijajah.
Manis senyuman melanjut usia,
Bahagia dicipta terpancar di muka,
Kita semua keluarga Malaysia,
Bersama kita sambut Merdeka.
Mencari umpan menangkap ikan,
Buat santapan orang berkelana,
Laungan Merdeka menjadi kebanggaan,
31 Ogos peristiwa bermakna.
31 Ogos tarikh keramat,
Bersama kita menyambut Merdeka,
Bersatu berazam penuh semangat,
Mari pertahankan Kemerdekaan kita.
Hujan emas di negeri orang,
Hujan batu di negeri sendiri,
Jasa yang baik akan dikenang
Berbaktilah untuk Malaysia pertiwi.
Nama Malaysia sangat terbilang,
Melahirkan ramai tokoh dan wira,
Ayuh kibarkan Jalur gemilang
Tanda cinta pada negara.
Bunga raya bunga kebangsaan,
Warna merah indah menawan,
31 Ogos hari kemerdekaan,
Malaysia bebas dari penjajahan.
Meredah hujan untuk kembara,
Rehat sebentar menjamu juadah,
Hargai merdeka yang kita rasa,
Hilang ia sesal tak sudah.
Terbang tinggi si burung merpati,
Hinggap sebentar di atas dahan,
Sudah 67 tahun kemerdekaan dirai,
Negara sejahtera penuh kenangan.
Mudik ke hulu naik perahu,
Berhenti singgah di Kampung Indera,
Mari bersama berganding bahu,
Keharmonian bersama kekal sejahtera.
Sampan kolek menuju ke hilir,
Sarat muatan si buah kelapa,
Jangan berkata hanya di bibir,
Cintakan negara apa buktinya?
Artikel menarik: 25 Koleksi Pantun Teka-Teki Beserta Jawapannya (Susah Tau!)
Berbudi bahasa amalan murni,
Apa yang salah perlulah ditegur,
Semangat patriotik perlu dijiwai,
Dengan penuh rasa bersyukur.
Bendera berkibar di rumah Pak Agus,
Di halaman rumah pasang pelita,
Menjelang tiba 31 Ogos,
Tarikh kemerdekaan negara kita.
Pemimpin adil lagi bijak,
Naungan raja jadi pelindung,
Di mana pun bumi kita dipijak,
Di situlah langit kita dijunjung.
Bersyukur menjadi rakyat Malaysia,
Bumi bertuah indah permai,
67 tahun kita merdeka,
Rakyat hidup aman damai.
Sungguh indah Gunung Tahan,
Khazanah indah kurniaan tuhan,
Salam Kemerdekaan saya ucapkan,
Malaysia maju bergerak ke hadapan.
Kaum melayu, Cina dan India,
Hidup sejahtera bersatu padu,
Jasa pemimpin jangan dilupa,
Rakyat terbilang negara maju.
Tanah ini Tanah MELAYU,
Pedagang datang ingin berniaga,
Serahkan budi bukan TANAHmu,
Pertahankan NEGARA, pertahankan BANGSA.
Semoga perkongsian pantun Merdeka ini dapat memberikan inspirasi serta semangat untuk kita semua menghayati erti kemerdekaan yang dicapai oleh Malaysia.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-67!
Kredit: Facebook PD Titi Teras, Balik Pulau, Pulau Pinang, Azhafizah, The Inspirasi, Scribd, Perpustakaan Desa Kampung Sungai Gelam