Jika anda seorang petani atau penternak di Malaysia, pastinya anda mengenali Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia atau lebih dikenali sebagai myGAP. Skim ini merupakan satu skim yang mengiktiraf ladang-ladang di Malaysia yang mengamalkan pertanian baik.
Bagi anda yang tidak tahu menahu berkenaan skim pensijilan ini, berikut kami kongsikan sedikit penerangan berkenaan skim ini seperti objektif, kelebihan dan cara memohon skim ini. Jadi jika anda berminat untuk tahu lebih lagi, pastikan anda membaca artikel ini sehingga ke penghujung.
Apa itu MyGAP?
MyGAP, atau Malaysian Good Agricultural Practices Amalan Pertanian Baik Malaysia), adalah skim pensijilan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia pada tahun 2002 untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik (APB).
Skim ini, yang merupakan penjenamaan semula Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM), bertujuan memastikan pengeluaran produk pertanian yang dihasilkan oleh para petani dan penternak di Malaysia selamat, berkualiti, dan mesra alam sekitar.
Skim ini merangkumi tiga subsektor utama iaitu tanaman, ternakan, dan akuakultur, dan dilaksanakan berdasarkan piawaian Malaysian Standard (MS) yang berikut:
- MS 1784:2005 (Crop Commodities – Good Agricultural Practice) untuk sektor tanaman.
- MS 1998:2007 (Good Aquaculture Practice) dan MS 2467:2012 (Code of Practice for Seaweed Cultivation) untuk sektor akuakultur.
- MS 2027:2006 (Good Animal Husbandry Practice) untuk sektor ternakan.
Tujuan dan Objektif
Tujuan utama myGAP adalah untuk meningkatkan kualiti dan keselamatan produk pertanian di Malaysia sambil mempromosikan amalan pertanian yang mampan. Objektif skim ini termasuk:
- Meningkatkan bilangan petani yang mengamalkan APB untuk menghasilkan produk ladang yang selamat dan berkualiti tinggi.
- Memelihara alam sekitar melalui amalan pengurusan ladang yang berkesan dan mesra alam.
- Menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja ladang dengan mematuhi standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
- Meningkatkan daya saing produk pertanian di pasaran domestik dan antarabangsa melalui pengiktirafan kualiti.
Faedah MyGAP
Pensijilan myGAP menawarkan pelbagai faedah kepada pengusaha, pengguna, dan alam sekitar, termasuk:
- Produk selamat dan berkualiti: Hasil ladang dianalisis untuk memastikan kandungan residu racun makhluk perosak, logam berat, dan mikrobial berada dalam paras yang selamat, meningkatkan keyakinan pengguna.
- Peningkatan produktiviti: Sistem pengurusan sumber yang lestari membantu meningkatkan hasil pengeluaran ladang.
- Daya saing pasaran: Pengusaha boleh menggunakan logo dan nombor pensijilan myGAP untuk tujuan promosi, membolehkan produk mereka menembusi pasaran domestik dan antarabangsa yang bernilai tinggi.
- Pemeliharaan alam sekitar: Amalan mesra alam memastikan kelestarian sumber semula jadi.
- Jaminan keselamatan pekerja: Skim ini mengutamakan keselamatan dan kebajikan pekerja ladang.
- Pengiktirafan rasmi: Pensijilan myGAP memberikan jaminan kerajaan terhadap kualiti dan keselamatan produk, meningkatkan kepercayaan pelanggan.
Cara Memohon
Berikut merupakan prosedur bagi permohonan pensijilan veterinar myGAP:
- Permohonan boleh dibuat melalui borang atas talian DVS/myGAP No.1
- Tuan/puan perlu menyediakan dokumen Good Animal Husbandry Practice (GAHP) mengikut senarai semak GAHP
- Tuan/puan juga perlu menyediakan dokumen sokongan tambahan iaitu:-
- Surat sokongan dari DVS Negeri;
- Salinan APC Doktor Veterinar ladang (jika berkaitan); dan
- Salinan lesen penternakan (jika berkaitan)
- Pihak ladang hendaklah mencetak salinan borang permohonan atas talian dan menyediakan dokumen GAHP yang lengkap dan disusun mengikut senarai semak GAHP yang diberi serta hendaklah dimasukkan dalam satu (1) RING FILE dan ditandakan (tagging).
- Dokumen GAHP yang lengkap perlu dihantar secara serahan tangan bersama-sama dengan dokumen sokongan tambahan ke alamat berikut:
Seksyen Pemeriksaan dan Pensijilan Veterinar
Bahagian Regulatori Veterinar
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia
Aras 5, Blok 4G1, Podium 1A, Wisma Tani
No. 28 Persiaran Perdana, Presint 4
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62630 PUTRAJAYA
Wilayah Persekutuan Putrajaya
*NOTA: Untuk perhatian pihak ladang, dokumen yang tidak lengkap, tidak bersusun dan tidak mengikut keperluan pihak kami boleh menyebabkan permohonan pihak tuan/ puan DITOLAK.
Kriteria Permohonan
Kriteria untuk memohon pensijilan myGAP termasuk:
- Kategori Pemohon
- Persendirian
- Syarikat swasta
- Peserta projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM
- Agensi/badan berkanun
- Peserta ladang kontrak,
- Pusat pertanian di bawah seliaan Jabatan Pertanian
- Peserta projek pertanian moden.
- Status Tanah
- Tanah yang diusahakan mestilah sah di sisi undang-undang (milik persendirian, sewa, atau pajakan).
- Operasi Ladang
- Ladang mestilah telah beroperasi sekurang-kurangnya satu tahun atau satu pusingan pengeluaran dengan rekod pengeluaran yang dikemas kini.
- Hasil Ladang
- Produk yang dihasilkan bertujuan untuk jualan domestik atau eksport, seperti sayur-sayuran, buah-buahan, atau makanan haiwan (contohnya napier dan jagung bijirin).
- Pematuhan Standard
- Pemohon perlu lulus pemeriksaan tapak, analisis sampel (residu racun, logam berat, mikrobial), dan verifikasi amalan ladang.
- Komitmen
- Pemohon perlu bersedia menerima teguran dan cadangan penambahbaikan serta mempunyai Program Jaminan Kualiti (QAP) untuk memastikan produk selamat dan berkualiti.
Tempoh Sah Laku Sijil MyGAP
Bagi anda yang telah memiliki sijil ini, anda perlu memperbaharui sijil ini setiap dua tahun. Hal ini demikian kerana, sijil ini hanya sah selama dua tahun dari tarikh kelulusan. Permohonan pembaharuan perlu dikemukakan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tamat tempoh sijil.
Anda juga perlu tahu bahawa jika anda mempunyai sijil ini, Jabatan Pertanian akan menjalankan audit survelan pada 6 bulan dan 12 bulan selepas kelulusan untuk memastikan pematuhan berterusan.
Sekiranya terdapat pelanggaran, langkah pembetulan perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu. Sijil ini boleh ditarik balik jika ladang gagal mematuhi syarat, menyalahgunakan logo myGAP, atau hasil melebihi paras sisa maksimum yang dibenarkan.
Maklumat Lanjut Tentang MyGAP
Bagi anda yang inginkan maklumat yang lebih terperinci anda boleh baca garis panduan yang disediakan di bawah: