KPM | Lancar Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi
Kementerian Pendidikan, (KPM) melancarkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.
Pengenalan
Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bakal dijadikan panduan di semua peringkat sekolah bagi memupuk kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar Islam.
Pembangunan modul itu oleh Kementerian Pendidikan (KPM) membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis yang dibaca dan dihayati.
Menurut Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam KPM, Omar Salleh, pelaksanaan modul itu dilihat mampu melahirkan generasi pelajar cerdik.
Tujuan Pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi KPM
Modul dirangka dan dibina KPM serta melibatkan pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing terutamanya dalam bidang hadis, telah mengambil kira pendekatan meliputi semua peringkat sekolah termasuk sekolah dalam aliran perdana seperti sekolah rendah atau sekolah menengah harian biasa.
Omar berkata KPM berharap melalui modul itu, ia dapat menerapkan asas kefahaman agama dan keindahan akhlak Islam yang berupaya mengangkat martabat insan (karamah insaniah) dalam usaha untuk melahirkan anak baik lagi cerdik menerusi aktiviti pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah dengan berpandukan kandungan Hadis 40 Imam Nawawi.
Beliau berkata melalui penghayatan hadis 40, murid dapat memahami asas Islam, iman dan ihsan untuk dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian selain mempamerkan keindahan muamalat Islam dalam kehidupan bermasyarakat dengan meraikan kepelbagaian agama dan bangsa, di samping membudayakan nilai murni dalam kehidupan dengan melaksanakan tuntutan ajaran Islam yang melarang umatnya melakukan kerosakan di muka bumi.
Pelaksanaan Modul Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi KPM
Modul tersebut akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun 2024.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata modul itu membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca dan dihayati.
Modul tersebut dibangunkan selari dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kerajaan mengambil inisiatif melalui KPM dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk menerbitkan semula himpunan hadis 40 Imam Nawawi bagi diedarkan di seluruh sekolah.
Selain itu, modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dapat membantu guru melaksanakan aktiviti pengukuhan dalam dan luar bilik darjah dan tidak terhad kepada sekadar membaca hadis sahaja.
Pengenalan – Biografi Imam Nawawi
MARI KENALI HADIS 40 IMAM NAWAWI
Siri 1: Biografi Imam Nawawi dan pengenalan Hadis 40 Imam Nawawi.
Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi Edisi Kedua merupakan modul yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Bahagian Pendidikan Islam serta menjadi rujukan penting dan utama dalam pelaksanaan aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi untuk murid dan guru beragama Islam di semua institusi pendidikan bawah KPM.
Sebagai permulaan, mari kita kenali Imam Nawawi, pengasas Hadis 40 Imam Nawawi serta keistimewaan yang terdapat di dalam karya tersebut.
HADIS 1: KEUTAMAAN NIAT
Keutamaan Niat.
Niat adalah maksud atau tujuan untuk melakukan sesuatu perbuatan. Perlakuan individu yang dilakukan dengan niat kerana Allah SWT akan dikira sebagai ibadah. Sesiapa yang berniat mengerjakan amalan yang baik, maka niatnya itu sudah dikira pahala di
sisi Allah SWT.
Niat merupakan motivasi dalaman yang menggerakkan kita untuk beramal di samping faktor luaran yang mendorong untuk terus berjaya. Kita digalakkan untuk memperbanyakkan niat kerana seseorang itu diganjari pahala mengikut kadar niatnya.
Jom kita amalkan niat-niat yang baik dalam kehidupan kita seharian.
HADIS 2: Islam, Iman dan Ihsan
Islam ialah kepatuhan yang tertegak atas lima rukun. Iman ialah meyakini sesuatu tanpa keraguan, membenarkan dengan hati, melafazkan dengan lidah dan melaksanakan dengan anggota badan. Ihsan pula ialah melakukan amalan dengan sebaik-baiknya kerana meyakini Allah SWT sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Penghayatan kepada Islam, iman dan ihsan adalah kesempurnaan kehidupan beragama bagi seseorang Muslim.
Jom kita dalami tiga teras agama ini!
HADIS 3: Rukun Islam
Inti pati kandungan rukun Islam yang lima ialah mengucapkan dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadan.
Islam merupakan cara hidup sempurna yang menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Rukun Islam mampu membina hubungan yang jitu antara manusia dengan Allah SWT dan juga mengeratkan hubungan sesama makhluk. Contohnya ibadat zakat dapat membina tautan yang harmoni sesama manusia melalui bantuan terhadap golongan yang berhak menerimanya.
Setiap orang yang beriman mestilah patuh dalam melaksanakan segala tuntutan rukun Islam bagi mendapatkan keredaan Allah SWT serta dibuktikan dalam bentuk ketaatan terhadap segala perintah Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW.
HADIS 4: Penciptaan Manusia, Ketetapan Rezeki, Ajal, Amalan dan Ketentuan Syurga atau Neraka
Proses kejadian manusia bermula daripada air mani menjadi segumpal darah dan bertukar menjadi seketul daging kemudian tulang-belulang dibalut dengan daging. Proses ini menunjukkan kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.
Hadis ini juga menekankan berkaitan amalan manusia. Setiap yang berlaku adalah mengikut qadak dan qadar Allah SWT. Kita sebagai hamba hendaklah sentiasa memohon petunjuk dan hidayah supaya dapat mengakhiri kehidupan di dunia dengan kesudahan yang baik (husnul khatimah).
Jom kita istiqamah melakukan amalan yang baik dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang merugikan.
HADIS 5 : Amalan Yang Tertolak
Hadis kelima dalam himpunan Hadis 40 Imam Nawawi menjelaskan bahawa perbuatan mengada-adakan dan mereka-reka sesuatu berkaitan urusan agama serta tiada asas (dalil) dalam syariat Islam adalah tertolak. Ini menunjukkan amalan yang dilakukan oleh orang yang mukallaf adalah terikat dengan hukum syarak. Setiap amalan yang tidak berasaskan syariat Islam yang sebenar adalah batil dan tidak diterima oleh Allah SWT.
Islam merupakan agama yang telah sempurna seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW. Setiap Muslim mestilah menjauhkan diri daripada perbuatan yang bercanggah dengan syariat Allah SWT supaya tidak menjadi fitnah terhadap kesucian Islam. Setiap Muslim juga hendaklah memastikan amalan yang dilakukan hendaklah bersandarkan kepada petunjuk al-Quran dan al-Sunah.
HADIS 6 : Berhati-hati Terhadap Perkara Syubhah
Perkara halal dan haram itu jelas dan antara kedua-duanya ada perkara yang samar iaitu syubhah. Perkara syubhah ialah perkara yang ada kesamaran kerana tidak jelas hukumnya antara halal dan haram.
Contohnya: makanan atau minuman yang tidak jelas status halal atau haram atau keuntungan daripada pelaburan yang tidak jelas halal atau haram sesuatu perniagaan.
Kita juga diperintah untuk meninggalkan segala larangan Allah SWT dan sedaya upaya untuk menjauhi perkara syubhah agar tidak terjerumus kepada yang diharamkan.
HADIS 7 : Nasihat Tonggak Agama
Nasihat merupakan asas dalam agama. Menurut Ibn Daqiq al-Id, nasihat ialah segala bentuk kebaikan yang disampaikan kepada seseorang demi kebaikan dirinya. Nasihat meliputi peringatan untuk beriman kepada Allah SWT, mengesakan-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya, menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, beriman dengan kitab Allah SWT dan beramal dengannya.
Nasihat kepada ulama adalah dengan menghormati dan mengikut ajaran mereka. Manakala nasihat kepada pemimpin adalah dengan menyokong usaha kebaikan yang dilaksanakan selagi tidak bertentangan dengan agama. Nasihat kepada orang Islam pula boleh dilaksanakan dengan memberikan tunjuk ajar dan contoh teladan ke arah kebaikan.
HADIS 8 :
HADIS 9 : Larangan Pertanyaan dan Pertikaian Melampau
Kita mestilah sedaya upaya meninggalkan perkara yang dilarang dan melaksanakan perkara yang disuruh mengikut kemampuan.
Suruhan dan larangan yang ditetapkan oleh Allah SWT merupakan peraturan hidup bagi kebaikan manusia itu sendiri. Tanpa peraturan, kehidupan manusia akan menjadi sukar dan tidak terurus bahkan akan berlaku banyak keburukan. Ketaatan kepada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya adalah faktor kejayaan sesuatu kaum.
Bertanya adalah digalakkan agar lebih jelas dan difahami sesuatu perkara bagi melaksanakannya. Namun, sikap bertanya kerana mencari helah tidak mahu melaksanakan suruhan adalah sikap yang buruk. Apatah lagi jika bertanya hanya dengan tujuan sinis dan mempermainkan serta bermatlamat menimbulkan permusuhan dan pergaduhan.
HADIS 10 : Rezeki Halal Asas Penerimaan Doa
Allah SWT menerima amalan yang baik, suci dan bersih daripada segala keburukan amalan dan harta benda berdasarkan ketetapan syarak.
Setiap makanan, minuman dan pakaian yang digunakan hendaklah baik mengikut hukum, faedah dan khasiat serta sumber yang halal.
Orang yang makan, minum dan pakaiannya daripada sumber yang haram, doanya tidak diterima oleh Allah SWT.
Harapan Menteri Pendidikan
Memetik kata-kata YB Fadhlina Sidek di media sosial beliau:
Saya ingin memetik salah satu hadis di dalam Buku Hadis 40 Imam Nawawi, iaitu hadis yang ke 13:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksudnya: “Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri”
Hadis ini menekankan peri penting untuk setiap dari kita mengasihani dan mencintai saudara kita. Bila kita mengasihi orang lain, kita akan berbuat kebaikan dan tidak akan menyakiti mereka.
Keperluan yang sangat besar untuk Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang diluncurkan hari ini dibaca, dihayati dan diamalkan di sekolah-sekolah.
Kita mahu, Hadis 40 ini menjadi pengaruh kepada anak-anak, supaya mereka pegang sepanjang hidup sejak dari bangku sekolah lagi.
Sebab, kandungan hadis-hadis ini semuanya berpesan kepada kebaikan. Anak-anak yang berterusan dididik untuk menghayati hadis-hadis ini akan membentuk karakter dan akhlak mereka menjadi anak soleh/solehah yang didamba sepanjang zaman.
Anak-anak sekalian, dalam hidup ini, akhirnya nanti yang kita bawa ke akhirat hanyalah amalan-amalan kebaikan. Oleh itu, buatlah kebaikan sebanyak mungkin dan tinggalkan perkara buruk, keji dan mungkar.
Doa saya untuk semua anak-anak, semoga mendapat kebaikan di dunia dan akhirat serta diselamatkan dari seksaan api neraka.
Baca juga: