Meteor Perseids 2024: Waktu & Lokasi Hujan Meteor di Malaysia

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Menurut Agensi Angkasa Negara (MYSA), Malaysia akan mengalami kemuncak fenomena hujan Meteor Perseids pada malam 12 Ogos 2024 sehingga keesokan paginya (13 Ogos 2024) dengan purata 110 meteor per jam.

Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lagi tentang fenomena ini, pastikan anda terus membaca sehingga ke penghujung artikel ini. Kami juga ada sediakan tips buat anda untuk lihat meteor dengan lebih jelas.

meteor perseid
Sumber: Agensi Angkasa Malaysia – MYSA

Apa itu Meteor Perseids?

Meteor atau tahi bintang ialah cahaya yang melintasi langit malam dengan begitu pantas dan secara tiba-tiba. Ia merupakan satu fenomena yang jarang terjadi, dan apabila ia memasuki atmosfera bumi ia menjadi habuk dan debu (meteoroid).

Meteor Perseids pula merupakan salah satu jenis meteor yang wujud. Pada tahun ini, pancuran meteor ini dianggarkan bermula pada 17 Julai sehingga 24 Ogos dan akan memuncak pada 12 Ogos sehingga 13 Ogos, bergantung pada tempat kemunculannya.

Ia dinamakan Meteor Perseids, kerana ia merujuk kepada titik kemunculannya di langit iaitu di kawasan buruj Perseus. Semasa kemuncak, kadar meteor ini boleh mencecah sebanyak 100 atau lebih dalam satu jam.

Hujan meteor ini muncul secara rutin apabila bumi beredar mengelilingi matahari dan planet ini perlu merentasi laluan orbit komet Swift-Tuttle yang nukleusnya berdiameter 26 kilometer.

Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri Matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut.

meteor perseids
Sumber: BERNAMA

Tarikh Hujan Meteor Perseids di Malaysia 2024

Di Malaysia, Agensi Angkasa Negara (MYSA) telah mengumumkan bahawa kemuncak hujan meteor perseids ini akan melintasi Malaysia pada 12 Ogos 2024 (Isnin) bermula pada 9 malam sehingga awal pagi, 13 Ogos 2024 (Selasa).

Bagi anda yang ingin melihat fenomena ini, anda tidak memerlukan peralatan canggih, kerana menurut MYSA kenampakan hujan meteor ini adalah baik kerana bulan akan terbenam pada tengah malam semasa waktu kemuncak fenomena ini berlaku.

Tips Mencerap Hujan Meteor

Bagi anda yang berminat untuk melihat lintasan meteor perseids ini, berikut merupakan beberapa tips yang dikongsi Agensi Angkasa Negara, bagi mendapatkan pemandangan meteor yang lebih jelas:

  • Pastikan anda berada di kawasan lapang yang selamat serta keadaan persekitaran dan langit yang gelap (tiada gangguan cahaya).
  • Pastikan andangan anda juga tidak terhalang dengan bangunan yang tinggi, pokok atau rumah.
  • Jauhi persekitaran yang bercahaya. Lebih gelap, lebih baik.
  • Sesuaikan mata anda dengan keadaan yang gelap selama 20 minit.
  • Tidak perlu memfokuskan ke arah buruj Perseus sahaja untuk melihat hujan meteor ini kerana ia boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa

NOTA KAKI

  • Komet merupakan pepejal gabungan antara batuan debu dan ais yang tersebar apabila mengorbit mendekati matahari.
  • Komet Swift-Tuttle pertama kali dijumpai pada tahun 1862 oleh Lewis Swift dan Horace Tuttle.
  • Perseus ialah buruj langit utara. Ia terletak di antara buruj Auriga dengan buruj Cassiopeia. Mirfak adalah bintang yang paling terang di Persues dan saiznya lebih besar daripada Matahari.

Sumber : Agensi Angkasa Malaysia – MYSA

Baca juga: 10 Pressure Cooker Terbaik & Berkualiti (2024)

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut