20+ Idea Menu Hari Raya Haji Berasaskan Daging – Sedap & Mudah
Tidak lama lagi, umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidil Adha atau juga dikenali sebagai Hari Raya Qurban.
Berbanding Hari Raya Aidilfitri yang sinonim dengan kuih-muih dan baju baharu, Hari Raya Haji pula lebih dikenali dengan ibadah qurban.
Lazimnya, selepas selesai ibadah qurban, ramai antara kita akan menerima bahagian daging yang melimpah ruah. Haa, inilah masa terbaik untuk mencuba pelbagai resipi berasaskan daging qurban!
Jadi, kalau anda tercari-cari idea nak masak apa dengan daging qurban tahun ini, anda boleh rujuk 25 idea menu Hari Raya Haji berasaskan daging qurban yang dikongsikan di bawah.
BACA JUGA: 50 Menu Open House Raya: Menu Bajet, Ringkas, Rare, Jamuan Office
25 Idea Menu Hari Raya Haji Berasaskan Daging
Menu Tradisional
1. Rendang Daging
Rendang daging adalah salah satu menu wajib semasa hari raya. Jadi, anda boleh buat menu ini sebagai antara hidangan utama semasa Hari Raya Haji. Hidangan ini sangat sesuai dimakan bersama lemang, ketupat atau nasi impit.
2. Kerutuk Daging
Hidangan klasik dari Kelantan ini kaya dengan rasa rempah, kerisik dan santan. Ia pekat, berlemak dan sesuai dimakan dengan nasi putih atau nasi minyak. Gabungan manis, pedas dan lemak yang seimbang pasti membuatkan tetamu anda tambah berkali-kali!
3. Daging Masak Kicap Pedas
Daging Masak Kicap Pedas ni sangat sesuai untuk dijadikan menu Hari Raya Haji. Caranya buatnya ringkas dan mudah je. Daging dimasak bersama kicap pekat, bawang dan cili padi untuk rasa pedas manis yang menyelerakan.
4. Daging Masak Manis
Gabungan rasa manis, masin dan sedikit pedas menjadikan menu Daging Masak Manis ini kegemaran ramai. Sesuai dihidangkan sebagai menu Hari Raya Haji untuk anak-anak yang kurang gemar makanan terlalu pedas.
5. Daging Gulai Kerisik
Gabungan gulai lemak dengan kerisik menjadikan hidangan ini beraroma dan sangat kaya rasa. Daging dimasak hingga empuk dan sebati dengan santan serta rempah ratus pilihan.
Menu ini sangat sesuai dijadikan sebagai salah satu juadah utama sempena Hari Raya Haji dan dimakan bersama nasi putih atau nasi minyak.
6. Daging Salai Masak Lemak
Daging salai yang dimasak bersama santan pekat dan cili api menghasilkan rasa lemak pedas yang cukup menggoda selera.
Aroma salai yang tersendiri menjadikan hidangan ini lebih istimewa dan membangkitkan selera sesiapa sahaja. Kalau dijadikan menu utama Hari Raya Haji, konfem habis licin!
Menu Berasaskan Sup/Rebusan
7. Sup Daging
Sup daging adalah antara menu berasaskan daging yang paling mudah dihasilkan. Jangan lupa tambahkan rempah sup, kentang dan lobak merah untuk lebih umph. Makan panas-panas memang sedap!
8. Sup Daging Kimchi
Nak cuba menu berasaskan daging versi Korea? Haa anda boleh cuba buat Sup Daging Kimchi.
Daging perlu direbus hingga empuk bersama kimchi, bawang putih dan halia. Tambah tofu dan sayur-sayuran untuk rasa seimbang. Cubalah!
9. Semur Daging Berkentang
Masakan yang berasal dari Indonesia ini sangat sesuai untuk sajian keluarga semasa Hari Raya Haji. Ia merupakan hidangan berkuah yang dimasak dengan kicap manis, rempah, dan bawang yang ditumis garing.
Menu Nasi & Berkuah
10. Nasi Daging
Nasi Daging merupakan hidangan lengkap yang cukup popular di utara tanah air terutamanya semasa musim perayaan.
Setiap suapan nasi terasa berlemak dan aromanya sangat wangi. Manakala dagingnya pula lembut dan kaya dengan rasa rempah.
Hidangan ini sesuai sangat untuk santapan Hari Raya Haji lengkap dengan lauk sampingan seperti telur masin, air asam dan sambal cili yang pedas manis.
11. Nasi Briyani Daging
Nasi Briyani Daging terkenal dengan aroma rempah yang kuat di mana beras basmati dimasak bersama rempah ratus khas dan disajikan bersama daging yang lembut dan berempah.
Hidangan ini sangat sesuai dijadikan pilihan utama semasa Hari Raya Haji kerana keunikan rasanya yang menggoda selera. Lengkapkan juadah ini dengan acar timun dan dalca untuk pengalaman makan yang lebih sempurna.
12. Mee Bandung
Orang Johor mesti selalu masak menu ini sebab hidangan mee bandung ini popular di Johor.
Mee Bandung adalah hidangan mi yang padankan dengan kuah berempah, pekat dan beraroma. Ia menggunakan bahan seperti udang, daging dan telur rebus.
Hidangan ini sesuai dijadikan menu istimewa sempena Hari Raya Haji untuk mereka yang menggemari menu berkuah.
13. Bakso Daging
Kalau nak hidangkan bakso daging semasa Hari Raya Haji pun menarik juga kan. Hidangan ini sesuai dinikmati sebagai pembuka selera semasa Hari Raya Haji atau sebagai hidangan sampingan.
Tambah mi, sayur dan sambal cicah untuk menjadikan Bakso Daging anda semakin lengkap dan memuaskan semasa dimakan.
Menu Goreng & Ringkas
14. Daging Goreng Kunyit
Bila sudah makan macam-macam menu yang kompleks semasa beraya, menu daging goreng kunyit yang ringkas ini sangat membuka selera. Sesuai dimakan dengan nasi putih dan sambal belacan.
15. Daging Goreng Ketumbar
Selain daging goreng kunyit, daging goreng ketumbar pun sangat singkat dan mudah dihasilkan. Gabungan rempah ketumbar dan bawang menjadikan daging goreng ini harum dan enak dimakan panas-panas.
16. Daging Bakar
Menu daging bakar sangat sesuai dimasak beramai-ramai. Menu ini boleh dijadikan menu Hari Raya Haji bersama keluarga terdekat.
Jangan lupa buat perapan daging lebih awal agar perapannya menyerap masuk ke dalam daging untuk menghasilkan rasa yang sedap.
17. Sate Daging
Alang-alang buat daging bakar, bolehlah bakar sate daging sekali. Buat sendiri baru puas hati. Jangan lupa kuah hidangkan bersama kacang yang pekat dan nasi impit.
18. Murtabak Daging
Sesekali bolehlah cuba buat sendiri murtabak daging. Murtabak yang dimasak panas-panas sangat sesuai dinikmati bersama kuah kari atau acar timun. Hidangan ini pasti menjadi kegemaran keluarga dan tetamu semasa Hari Raya Haji nanti.
19. Roti Jala & Kuah Kari Daging
Roti jala dan kuah kari daging adalah kombinasi klasik yang tidak pernah mengecewakan. Tekstur lembut roti jala yang menyerap kuah kari menjadikan setiap suapan cukup sempurna. Hidangan ini sangat sesuai dihidangkan sebagai menu sampingan semasa Hari Raya Haji kelak.
Menu Fusion & Antarabangsa
20. Daging Masak Merah Ala Thai
Daging Masak Merah Ala Thai menggabungkan cita rasa pedas, manis dan sedikit masam hasil daripada bahan-bahan segar seperti cili, tomato dan sos Thai.
Daging dimasak sehingga lembut dan meresap segala perisa akan menghasilkan hidangan yang menyelerakan dan berbeza dari masakan tradisional biasa.
21. Daging Harimau Menangis
Daging Harimau Menangis ada beberapa versi. Ada yang dibakar terlebih dahulu, ada yang dimasak terus seperti biasa.
Hidangan ini menampilkan daging lembut dipotong nipis dan dihidang dengan sos pencicah pedas masam.
22. Roti Thai Inti Daging
Roti Thai Inti Daging adalah hidangan yang menggabungkan roti lembut dan sedikit rangup dengan inti daging yang berempah.
Hidangan ini juga sesuai dinikmati bersama sos cili manis atau kuah kari pekat untuk rasa yang lebih lengkap.
23. Bulbogi
Kalau nak cuba hidangan lain daripada lain, anda boleh cuba buat menu korea ini.
Bulgogi adalah hidangan daging perapan gaya Korea yang terkenal dengan rasa manis dan berempah. Daging diperap menggunakan campuran soya, bawang putih, gula dan rempah, kemudian dimasak atas kuali panas hingga harum dan sedikit karamelisasi.
Hidangan ini sangat sesuai dijadikan juadah bersama nasi putih panas atau sebagai pelengkap salad segar.
24. Japchae
Satu lagi menu korea berasaskan daging yang boleh dicuba ialah Japchae. Hidangan ini ringan tetapi cukup mengenyangkan.
Japchae adalah mi kaca Korea yang dimasak dengan teknik menumis bersama hirisan daging, sayuran segar seperti lobak merah, bayam, dan cendawan serta sos soya yang harum.
25. Kebab Daging
Selain itu, anda juga boleh cuba Kebab Daging yang tidak kurang menariknya. Hidangan ini lazat dinikmati bersama roti pita dan sos yogurt. Kalau anda suka hidangan yang dibakar, Kebab Daging adalah pilihan tepat untuk dicuba.