Madu Kelulut: Ciri-Ciri, Khasiat dan Cara Penggunaan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

 Madu kelulut atau stingless bee honey merupakan antara produk madu tempatan yang cukup popular.

Madu yang dihasilkan oleh lebah Meliponine sp ini mempunyai rasa masam-masam manis dengan sedikit rasa buah.

Berbanding madu biasa yang berwarna kuning keemasan, madu ini juga berwarna lebih gelap menunjukkan kandungan antioksidanya yang sangat tinggi.

Selain antioksida, madu kelulut ini juga sering diamalkan sebagai makanan tambahan disebabkan oleh kelebihan yang terkandung di dalamnya seperti antiradang, antikulat dan antimikrob.

Dengan pelbagai khasiat yang ditawarkan madu ini, kerajaan juga telah mewartakan jenama Madu Kelulut sebagai Superfood bagi Malaysia sejak tahun 2017.

Ciri-Ciri Madu Kelulut dan Perbezaannya Dengan Madu Biasa

Perbezaan lebah biasa dan lebah kelulut terletak pada ciri-cirinya iaitu :

Spesis Lebah

Terdapat lebih 80 spesis kelulut di Malaysia dan kurang dari 10 spesis yang sesuai diternak dan dikomersialkan. Spesis kelulut yang popular terdiri daripada Heterotrigona itama (Itama), Lepidotrigona terminata dan spesis Geniotrigona thoracica (Torasika).

Sementara itu, lebah madu di Malaysia pula dikenali dengan nama saintifik Apis spp dan terdiri daripada Lebah Keran (Apis cerana), Lebah Import (Apis mellifera) dan Lebah Hutan/ Lebah Tualang (Apis dorsata).

lebah madu kelulut

Warna Madu

Seperti yang dinyatakan tadi, kelulut biasanya menghasilkan warna madu yang sedikit gelap kehitaman berbanding warna madu biasa yang emas kekuningan.

Struktur Propolis

Struktur propolis juga hanya didapati madu kelulut. Ia juga menjadi punca sumber antioksidan yang cukup tinggi bagi madu ini berbanding madu biasa.

Sarang Lebah

Biasanya, kita mengenali sarang lebah dengan bentuk ruangan heksagon. Namun, lain pula bagi kelulut yang sarangnya berbentuk seperti tempayan dengan satu ruangan masuk yang diperbuat daripada propolis.

Ayuh kita sama-sama kenali manfaat madu kelulut untuk kesihatan tubuh dengan lebih lanjut.

sarang lebah madu kelulut

Khasiat Madu Kelulut

1. Sumber Antioksida Yang Sangat Baik

Madu kelulut mempunyai khasiat antioksida yang sangat luarbiasa iaitu 10 kali ganda lebih tinggi berbanding madu biasa.

Antara komponen antioksida yang boleh ditemui dalam madu ini adalah kompaun fenolik seperti flavonoid dan asid polifenik.

Ini menjadikan madu kelulut satu makanan tambahan yang cukup popular bagi mencegah aktiviti radikal bebas serta keradangan yang boleh melemahkan sistem daya tahan tubuh.

2. Baik Untuk Menyembuhkan Luka

Madu ini juga mampu bertindak sebagai penyembuh semulajadi yang baik disebabkan oleh manfaat antioksidanya yang luar biasa.

Pada masa yang sama, sifat antiradang serta antimikrob yang terkandung di dalamnya juga dapat membantu dalam mencegah jangkitan pada kawasan luka dan membantu luka untuk sembuh dengan lebih pantas.

3. Pengganti Gula Yang Bagus

Madu yang turut dikategorikan sebagai pemanis semulajadi ini juga dilihat cukup sesuai untuk digunakan oleh pesakit diabetes.

Sebuah kajian daripada University of Queensland mendapati madu kelulut yang dihasilkan di Malaysia mempunyai nilai glisemik yang rendah.

Ini menjadikan madu istimewa ini sesuai untuk diamalkan sebagai pengganti gula tanpa menyebabkan paras gula dalam darah meningkat secara mendadak.

4. Mencegah Pengumpulan Lemak Dalam Badan

Sebuah kajian ke atas tikus makmal mendapati madu kelulut mampu mencegah pengumpulan lemak berlebihan dalam badan.

Selain itu, kajian yangs sama turut mendapati madu ini mempunyai sifat anti-obesiti dan mempunyai potensi untuk menurunkan peratusan lemak dalam badan.

5. Untuk Menyihatkan Kulit

Seperti yang ramai tahu, madu yang kaya dengan antioksida sering menjadi pilihan untuk dijadikan komponen utama bagi pelbagai produk kecantikan.

Sebuah kajian membuktikan madu kelulut daripada Malaysia memiliki sifat antipenuaan yang baik serta dapat membantu merangsang penghasilan kolagen bagi mengekalkan keremajaan kulit.

Madu ini juga dikatakan dapat mengurangkan kemerahan jerawat serta mengelakkan pertumbuhannya.

khasiat madu kelulut

6. Berpotensi Untuk Mencegah Katarak

Katarak berlaku akibat kekaburan penglihatan atau pembentukan selaput mata akibat faktor usia.

Satu kajian ke atas tikus makmal menunjukkan madu ini dapat memperlahankan pembentukan selaput pada kanta mata yang menyebabkan katarak.

Namun, kajian mendalam masih diperlukan bagi membuktikan keberkesanannya pada manusia.

7. Berpotensi Untuk Tingkatkan Kesihatan Minda

Sebuah kajian juga mendapati madu kelulut mempunyai potensi yang tinggi bagi meningkatkan kesihatan minda seseorang.

Komponen phenylalanine yang ditemui dalam madu ini dapat merangsang perkembangan fungsi synaptik dalam otak yang berperanan dalam menguatkan daya ingatan seseorang.

Kajian lain turut menyatakan madu ini dapat memberikan manfaat kepada individu yang mengalami anxiety.

8. Membantu Tidur Lebih Lena

Pengambilan madu ini juga dapat menggalakkan pembebasan melatonin dalam otak serta meningkatkan imuniti.

Pada masa yang sama, ia juga dapat membantu membina semula tisu semasa sedang badan dalam keadaan berehat.

9. Mempunyai Sifat Antikanser

Sifat antioksidan yang didapati dalam madu ini juga berupaya bertindak sebagai antikanser dengan membantu menghalang pertumbuhan awal sel kanser.

10. Mencegah Pembiakan Mikrob

Salah satu sifat istimewa yang dimiliki oleh madu kelulut adalah antimikrob. Kelebihan ini turut menjadi tumpuan ramai para pengkaji.

Kajian mendapati madu ini mampu melawan pembiakan pelbagai jenis bakteria serta kulat seperti E.coli yang mengakibatkan cirit-birit serta jangkitan salur kencing, serta S.aureus dan Candida albicans yang sering menjadi punca kepada penyakit kulit.

11. Merangsang Kesuburan

Madu ini juga dikatakan dapat memberikan kesan positif kepada kesuburan lelaki dan wanita.

Namun, anda perlu ingat yang ia bukanlah kaedah utama bagi yang sedang berikthtiar mendapatkan zuriat.

Petua dan Cara Kegunaan Madu Kelulut

  • Anda boleh gunakan madu kelulut sebagai ganti kepada gula dalam minuman atau sebagai pemanis kepada hidangan seperti roti bakar, bijirin atau oat.
  • 1 sudu madu juga boleh dicampurkan bersama 1 cawan air untuk dijadikan minuman untuk memulihkan tenaga.
  • Boleh sapukan madu ini pada bahagian luka untuk mencegah jangkitan dan meningkatkan penyembuhan luka.
  • Seperti madu biasa, madu ini boleh diamalkan sebagai ubat batuk semulajadi yang membantu menyaluti tekak dan melindunginya daripada batuk berterusan.
khasiat madu kelulut

Aneka khasiat istimewa pada madu kelulut yang membuatkan ia sesuai untuk diamalkan sebagai makanan tambahan.

Namun begitu, anda disarankan untuk berbincang dengan doktor terlebih dahulu bagi memastikan sebarang alahan sebelum mengamalkannya.

Seperti makanan tambahan lain, anda juga tidak boleh bergantung padanya 100%. Sebaliknya, anda tetap perlu makan ubat dan menjaga kesihatan fizikal atas saranan doktor.  

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut