Terlupa cara lafaz niat puasa Ramadan?
Jangan risau di bawah kami kongsikan lafaz niat puasa harian atau sebulan sebagai rujukan anda.
Sebelum itu, kami mengucapkan selamat menyambut Ramadhan 1444H buat semua umat Islam di Malaysia.
Maksud Puasa
Puasa secara bahasa bermaksud “menahan diri“.
Dari segi istilah syarak puasa bermaksud “menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar shadiq sehingga terbenam matahari berserta niat“.
Lafaz Niat Puasa Ramadan Sebulan / Harian
Persoalannya, nak niat puasa setiap malam atau sebulan terus?
Berikut pandangan setiap mazhab akan hal ini.
MAZHAB SYAFI’IE
Wajib berniat puasa pada setiap malam Ramadhan kerana ia adalah ibadah yang bersendiri yang tak terikat antara satu sama lain.
MAZHAB MALIKI
Seseorang itu diharuskan niat puasa sebulan pada malam Ramadhan yang pertama dan tak wajib niat setiap malam.
PANDANGAN SEBAHAGIAN ULAMA MAZHAB SYAFI’IE
Boleh berpegang pada pendapat mazhab Maliki dalam hal ini sebagai langkah bejaga-jaga dan dalam masa yang sama tetap wajib berniat pada setiap malam Ramadhan.
1. Lafaz Niat Puasa Harian di Bulan Ramadhan
نـَوَيْتُ صَوْمَ غـَدٍ عَـنْ ا َدَاءِ فـَرْضِ شـَهْرِ رَمـَضَانَ هـَذِهِ السَّـنـَةِ لِلـّهِ تـَعَالىَ
- Bahasa rumi: Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-‘i, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil’lahi Ta’ala
- Maksudnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala
2. Lafaz Niat Puasa Sebulan di Bulan Ramadhan
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كُلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
- Rumi: Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala
- Maksudnya: Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan kerana Allah Ta’ala
Syarat-Syarat Niat Puasa Ramadan
Dalam berniat untuk berpuasa, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi agar ianya dinamakan dengan berniat. Kebanyakan kitab-kitab fiqh telah menggariskan beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminya. Antara yang disebutkan ialah:
- Al-Jazm (الجزم): yang dimaksudkan di sini adalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.
- Al-Ta’yiin (التعيين): iaitu penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ianya puasa Ramadhan, wajib (qadha’, kaffarah, nazar) ataupun sunat (Isnin-Khamis, hari Arafah, ‘Asyura dsb.). Tidak memadai dengan berniat secara mutlaq untuk berpuasa.
- Al-Tabyiit (التبييت): menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah. Ini berdasarkan sebuah hadith Nabi ﷺ riwayat Hafsah R.Anha:
مَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).
Riwayat Abu Daud (2454). Status Hadith: Sahih.
Kesimpulan
Berdasarkan dalil dan juga alasan yang diberikan dalam permasalahan ini, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri cenderung kepada pendapat jumhur dan ianya juga adalah pendapat mazhab kita, mazhab al-Syafi’ie iaitu niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa.
Adapun pendapat yang mengatakan boleh berniat sekaligus untuk berpuasa selama sebulan di permulaan niat, maka tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat juga pada setiap malam.
Sumber: IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN #74
Kami juga telah menyediakan jadual waktu berbuka dan panduan solat tarawih berdasarkan sumber rasmi JAKIM.
Sila rujuk : WAKTU SOLAT BANDAR-BANDAR UTAMA DI MALAYSIA