Kalau anda datang ke Sabah, boleh masukkan satu lagi ‘hidden gem’ di Sabah yang anda wajib dikunjungi, iaitu Kun-Kun Riverside Park!
Kun-Kun Riverside Park yang terletak di Tengkulap, Telupid, Sabah ini menawarkan pengalaman yang menenangkan di tengah kehijauan alam semula jadi.
Dikelilingi hutan hijau dan sungai yang jernih, tempat ni sesuai sangat untuk anda yang nak lari daripada kesibukan dan mencari tempat tenang untuk ‘healing’ atau ‘recharge’.
Jom baca lebih lanjut mengenai ‘hidden gem’ di Sabah ini.
BACA JUGA: 20 Tempat Menarik di Kudat, Sabah & Penginapan
Kun-Kun Riverside Park
Kun-Kun Riverside Park adalah sebuah kawasan rekreasi yang terletak di Tengkulap, Telupid, Sabah. Ia dikenali sebagai tempat percutian yang menawarkan pelbagai aktiviti seperti berkhemah, mandi sungai, berkayak dan sebagainya.
Selain itu, di sini juga terdapat pelbagai kemudahan seperti tandas, lampu solar, resthouse, serta kawasan perkhemahan yang luas untuk pengunjung yang ingin bermalam di sini.
Tempat ini juga sesuai untuk aktiviti keluarga, percutian santai dan sesi fotografi kerana keindahan landskap semula jadinya.
Yang paling menarik, kawasan ini tidak mempunyai ‘line’ telefon. Jadi, anda boleh betul-betul ‘disconnect’ daripada dunia luar dan fokus menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga atau kawan-kawan.
Waktu Operasi
Kun-Kun Riverside Park biasanya dibuka setiap hari, namun waktu operasi rasmi boleh berubah mengikut musim atau keadaan cuaca.
Pengunjung boleh datang seawal pagi sehingga lewat petang untuk menikmati pelbagai aktiviti di sungai dan kawasan sekitarnya.
Untuk yang ingin bermalam, resthouse dan tapak perkhemahan tersedia dengan tempahan awal bagi memastikan tempat mencukupi terutama pada hujung minggu atau musim cuti sekolah.
Kalau nak betul-betul puas hati, disarankan untuk tinggal sekurang-kurangnya 3 hari 2 malam untuk cuba semua tarikan yang ada di sini.
Lokasi &Cara Ke Sana
Kun-Kun Riverside Park terletak di Tengkulap, Telupid, Sabah. Telupid adalah sebuah pekan kecil yang terletak di antara Sandakan dan Kota Kinabalu. Untuk ke sini, anda boleh memandu dari Kota Kinabalu atau Sandakan.
Perjalanan dari Kota Kinabalu mengambil masa kira-kira 4-5 jam, manakala dari Sandakan sekitar 2-3 jam bergantung pada keadaan trafik.
Laluan ke Tengkulap sangat mudah diakses melalui jalan utama dan papan tanda ke Kun-Kun Riverside Park jelas dipaparkan sepanjang perjalanan.
Namun, untuk masuk ke kawasan Kun-Kun Riverside Park dari jalan utama, anda perlu melalui jalan kecil sepanjang 24KM dan akan melepasi 3 gerbang kawalan yang sebahagiannya masih belum berturap sepenuhnya. Laluan ini agak mencabar terutamanya jika hujan kerana jalan boleh menjadi licin dan berlumpur.
Harga Tiket Masuk
Untuk masuk ke Kun-Kun Riverside Park, Tengkulap Telupid, Sabah, pengunjung perlu melalui tiga gerbang kawalan kerana kawasan ini terletak di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Sabah.
Gerbang Kawalan
- Gerbang Pertama (Maxland Estate): Bayaran sebanyak RM30/kereta akan dikenakan. Resit rasmi akan diberikan dan perlu disimpan.
- Gerbang Kedua: Hanya perlu tunjukkan resit bayaran dari gerbang pertama.
Gerbang Ketiga: Tiada bayaran dikenakan di sini.
Caj Masuk ke Kun-Kun Riverside Park
- Dewasa: RM5/seorang
- Kanak-kanak: RM3/seorang
Caj Bermalam
Bagi pengunjung yang ingin bermalam (sama ada berkhemah atau menginap), caj tambahan akan dikenakan:
- Dewasa: RM5/malam
- Kanak-kanak: RM3/malam
Penginapan & Sewa Pondok
Bagi yang tak nak pasang khemah sendiri atau nak keselesaan ekstra, ada beberapa pilihan menarik:
- Sewa bilik: Bermula serendah RM80/malam
- Sewa pondok (untuk elak hujan): RM60/malam
NOTA: Maklumat rasmi mengenai harga tiket masuk ke Kun-Kun Riverside Park tidak tersedia secara dalam laman web rasmi. Untuk maklumat terkini dan tepat, disarankan untuk menghubungi pihak pengurusan Kun-Kun Riverside Park secara langsung sebelum merancang lawatan.
Harga yang dikongsikan adalah berdasarkan perkongsian pengunjung (Susanna Wilfred) di media sosial.
Tarikan Utama
1. Keindahan Sungai Kun-Kun dan Alam Semula Jadi
Kun-Kun Riverside Park terkenal dengan pemandangan semula jadi yang memukau serta kehadiran Sungai Kun-Kun yang airnya jernih. Di sungai ini pengunjung boleh bermandi-manda, bermain air, melakukan aktiviti seperti berkayak dan sebagainya.
2. Kawasan Perkhemahan dan Penginapan
Salah satu tarikan utama di sini ialah kawasan perkhemahan yang luas dan selesa di tepi sungai. Pengunjung boleh membawa khemah sendiri atau menyewa kemudahan yang disediakan. Terdapat juga rumah tradisional (resthouse) untuk penginapan, sesuai untuk mereka yang ingin bermalam dengan lebih selesa.
3. Melakukan Aktiviti Berkayak dan Memancing
Taman rekreasi ini juga menawarkan air seperti memancing dan aktiviti berkayak di sungai dengan kadar sewaan yang berpatutan. Selain itu, kawasan sungai ini juga menjadi lokasi kegemaran peminat memancing kerana keindahan dan ketenangan suasananya.
4. Tempat Berkelah dan Bersantai
Lokasi ini sangat sesuai untuk aktiviti berkelah bersama keluarga atau rakan-rakan. Terdapat kawasan lapang di tepi sungai yang boleh digunakan untuk memasang hammock, berehat, atau menikmati makanan sambil dikelilingi kehijauan alam dan pemandangan sungai yang indah.
5. Suasana Kampung dan Komuniti Mesra
Suasana kampung dan penduduknya yang mesra menjadikan pengalaman berkunjung ke sini menjadi lebih manis. Apa yang penting, pastikan anda sentiasa menjaga adab tatasusila dan kebersihan alam.
BACA JUGA: Pulau Mengalum, Sabah – Tarikan Utama & Aktiviti Menarik
Kemudahan
Antara kemudahan yang disediakan termasuk
- Tandas
- Restoran
- Tempat letak kereta
- Lampu Solar
- Renthouse
- Camping Site
- Kayak untuk disewa
Dengan pelbagai aktiviti menarik dan kemudahan yang disediakan, Kun-Kun Riverside Park adalah antara ‘hidden gem’ di Sabah yang sesuai untuk percutian keluarga, kumpulan rakan atau individu.
Jangan lupa jadikan Kun-Kun Riverside Park sebagai destinasi seterusnya dalam senarai tempat menarik di Sabah yang anda wajib dikunjungi!
BACA JUGA: 15+ Tempat Menarik Di Kota Kinabalu, Wajib Pergi Bila Datang Sabah!